2010-04-02

Percanggahan Kenyataan : Jawapan Bertulis Dari Dewan Rakyat vs Kenyataan Akhbar Oleh YAB Menteri Besar Johor. Mana Yang Betul ?

Jawapan bertulis dari Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan yang bertarikh 01hb., April, 2010 mengenai permasalahan tapak pelupusan sampah di Bukit Bakri, berbunyi seperti berikut;-

“…..tapak ini hampir penuh kapasitinya dan usaha untuk membina tapak sanitari yang baru di Pagoh, Muar bagi menggantikan tapak di Bukit Bakri ini sedang dijalankan. Sementara menunggu tapak baru tersebut siap dibina, tapak pelupusan di Bukit Bakri sedang dinaiktaraf bagi menampung sisa pepejal selama tiga tahun lagi. Usaha menarik taraf ini adalah usaha sementara bagi menangani pencemaran alam sekitar dan melindungi kesihatan awam. Sebaik sahaja tapak alternative di Pagoh beroperasi dalam tempoh 3 tahun lagi, tapak di Bukit Bakri ini akan ditutup selamat lengkap dengan lapisan HDPE (high density polyethylene) dan loji rawatan yang akan melindungi sumber air dan kawasan sekitar daripada tercemar oleh air larut resap disamping kelengkapan menangani pelepasan gas metana. Tapak ini akan diwartakan sebagai tapak pelupusan sisa pepejal dan di masa hadapan hanya digunakan sebagai kawasan lapang atau rekreasi. Pembangunan lain tidak akan dibenarkan.”

Pada hari yang sama, sempena lawatan ke Bukit Bakri, Menteri Besar Johor, Dato Abdul Ghani pula mengumumkan bahawa tapak pelupusan sampah yang telah beoperasi selama 17 tahun akan mula ditutup secara berperingkat-peringkat pada bulan Jun ini sehingga bulan Jun tahun 2011 ditutup sepenuhnya sementara tapak baru di Pagoh siap dibina. Kos penutupan tapak lama ini adalah sebanyak RM 1 juta tetapi tidak terangkan tujuan pengendalian dan penggunaan secara terperinci.

Rakyat tempatan memang mengalu-alukan kenyataan penyelesaian permasalahan tapak pelupusan sampah di Bukit Bakri di samping menaruh harapan besar untuk membebasakan mereka daripada mimpi ngeri yang telah mengancam kehidupan harian yang swudah sekian lamanya. Tetapi kebinggungan telah timbul atas percanggahan kenyataan yang dibuat oleh kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri pada hari yang sama, kebetulan tarikh 01hb., April yang mungkin ditaksirkan sebagai “April Fool”. Akan tertanya-tanya dalam hati mereka, “ Mana Yang Betul ?”.

Tiada keserasian yang jitu antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri Johor dalam membuat kenyataan tentang penyelesaian dan tarikh yang ditetapkan. Tarikh penutupan yang diberikan oleh Timbalan Menteri KPKT ialah 3 tahun lagi, manakala Menteri Besar Johor memberikan tarikh yang lebih awal iaitu akan ditutup secara berperingkat-peringkat mulai bulan Jun ini. Jikalau Menteri Besar boleh melaksankannya seperti yang dinyatakan berpandukan kepada kepentingan dan kebajikan rakyat tanpa agenda yang tersirat, rakyat tentu tetap menyayangi beliau. Tetapi hakikatnya kenyataan itu berbau agenda politik iaitu cuba meredakan kemarahan rakyat tempatan yang lama terpadam sehingga kerusi parlimen Bakri telah bertukar tangan pada PRU ke-12. Mungkin beliau tidak sedar dengan gula-gula politik yang sebegini sudah tidak lali lagi untuk menutup kelemahan mekanisme pemerintahan kerajaan tempatan.

Apakah yang dimaksudkan dengan kos penutupan tapak pelupusan sebanyak RM 1juta itu ? Wang itu digunakan untuk naik taraf kelengkapan yang sedia ada, kos pembinaan tapak lapang atau rekreasi selepas penutupan ! Tidak dihuraikan secara terprinci. Lagipun Menteri Besar tidak pernah melawat ke tapak tersebut selama beliau memegang jawatan teritinggi dalam kerajaan tempatan. Biarpun berhujah di dewan raya di Bukit Bakri, jejaknya tidak berganjak ke tapak pelupusan sampah tersebut. Alangkah peliknya tindak-tanduk seorang tokoh yang dikatakan penyayang rakyat !

Biar masa yang akan membuktikan kesahihan kenyataan tersebut. Kita tunggu sahajalah bulan Jun ini untuk merayakan penutupan berperingkat-peringkat yang dijanjikan. Alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment