2010-04-21

Pembahsan atas Pencemaran bekalan air di Johor

Penyata Rasmi DR. 19.4.2010 MS 96~97

5.12 ptg.
Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Terima kasih, Tuan Pengerusi. Saya hendak merujuk kepada Butiran 060000. Saya ingin membangkitkan tentang kualiti air di kawasan Batu Pahat dan Yong Peng. Sejak beberapa bulan ini kita telah menerima banyak aduan daripada penduduk tempatan bahawa bekalan air yang berbau dan menyebabkan sakit selepas minum. Minggu lepas kita sudah mengambil contoh air daripada pusat penapisan air di Sungai Bekok, Bandar Yong Peng, Taman Batu Pahat, Taman Kurnia Batu Pahat dan Taman Rekreasi Hutan Lipur Batu Pahat untuk pemeriksaan dan mendapat contoh air ini di bawah kadar pH yang selamat.


Antaranya, contoh air daripada Sungai Bekok mencapai kadar pH 2.3 di mana pH yang boleh diterima sebagai tahap keselamatan yang sesuai untuk diminum oleh manusia ialah di antara 6.5 ke 9. Daripada contoh air yang diperoleh dari Taman Batu Pahat dan Taman Kurnia, kandungan magnesium mencapai 20.83 dan 23.43 di mana tahap selamat ialah daripada 1 hingga 5. Keputusan pemeriksaan contoh air daripada Empangan Sungai Bekok pula menunjukkan indeks merkuri setinggi 130 dalam kandungan 100 mililiter contoh air yang diperoleh daripada empangan tersebut. Daripada keputusan pemeriksaan yang kita peroleh sudah menunjukkan bekalan air di kawasan tersebut sudah tidak selamat diminum. Saya ingin memaklumkan di Dewan ini jumlah penduduk di dua daerah tersebut adalah seramai 640,000. Adakah kerajaan kita mahu rakyat kita minum bekalan air yang beracun.

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Eh, saya orang Batu Pahat – airnya itu selamatlah.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Masalah ini amat membimbangkan dan telah berlaku selama satu bulan lebih dan menjejaskan kehidupan penduduk-penduduk tempatan di daerah Batu Pahat dan Kluang. Saya minta penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri apakah tindakan sudah diambil untuk mengatasi masalah ini. Adakah Yang Berhormat Menteri mengemukakan dan menjelaskan kepada penduduk-penduduk umum di Johor apakah sebabnya masalah ini boleh berlaku.

Akhirnya, saya minta Yang Berhormat Menteri senaraikan angka-angka kualiti air bulanan..

Dato' Noraini binti Ahmad [Parit Sulong]: Yang Berhormat Bakri.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Sekejap lagi.

Dato' Noraini binti Ahmad [Parit Sulong]: Sekejap lagi? Ini mengenai air.

Tuan Pengerusi [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, dia sudah habis, Yang Berhormat.

Dato' Noraini binti Ahmad [Parit Sulong]: Saya di daerah Batu Pahat.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Kualiti air bulanan di Pusat Penapisan Air Sungai Bekok, Bandar Yong Peng, Taman Batu Pahat, Taman Kurnia Batu Pahat...

Dato' Noraini binti Ahmad [Parit Sulong]: Di daerah Batu Pahat semua air sudah clear. Sudah tidak ada warna kuning, bau pun sudah elok. Yang Berhormat daerah Muar, bukan daerah Batu Pahat...

Tuan M. Kula Segaran [Ipoh Barat]: Jangan kacaulah!

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: [Menyampuk]

Tuan Pengerusi [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat.

Dato' Noraini binti Ahmad [Parit Sulong]: Yang ini fakta daripada mana Yang Berhormat? Kita daripada daerah Batu Pahat.

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Tuan Pengerusi, saya hendak Yang Berhormat Bakri bagi saya. Bagi saya.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Saya habiskan ucapan saya ini.

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: No, no. Tidak. Ini cerita pembohongan. Dulu musim kemarau, tiada hujan yang turun.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Saya minta penjelasan sahaja. Tidak mengapa, nanti Yang Berhormat Menteri jawab.

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Hari ini sudah pulih, apa ada masalah? Jadi, kalau soal air tidak selamat ini, saya selamat kat Parlimen ini. Saya minum air itulah.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Tidak apa. Tidak apa. Sekejap lagi Yang Berhormat Menteri akan jawab. Saya minta Yang Berhormat Menteri beri penjelasan.

Akhirnya, saya minta Yang Berhormat Menteri senaraikan angka-angka kualiti air bulanan di pusat penapisan air Sungai Bekok, Bandar Yong Peng, Taman Batu Pahat, Taman Kurnia Batu Pahat dan Taman Rekreasi Hutan Lipur Batu Pahat dari bulan Jun 2009 sehingga bulan April 2010. Terima kasih.

MS 101

5.29 ptg.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air [Dato' Seri Peter Chin Fah Kui]: Terima kasih Tuan Pengerusi, terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat. Enam daripada Ahli-ahli Yang Berhormat telah berbahas mengenai tajuk ini. Sebenarnya Tuan Pengerusi, memang saya setuju bahawa kita hanya berbincang dengan tajuk IWK dan tidak berkaitan dengan air bersih atau kualiti air seperti yang dibawa oleh Yang Berhormat Bakri. Sebab itulah saya tidak akan jawab mengenai apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat Bakri tadi.

No comments:

Post a Comment