2010-04-21

Pembahasan atas isu Jalan Lintas Muar

Penyata Rasmi 19.04.2010

MS 56~57

Tuan Pengerusi [Datuk Ronald Kiandee]: Kepala Bekalan B.27 di bawah Kementerian Kerja Raya terbuka untuk dibahas. Yang Berhormat Bakri.

2.37 ptg.
Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Di sini saya ingin membangkitkan tentang jalan pintas Muar.

Syarikat Ranhill tentu berterima masih kepada Yang Berhormat Menteri melanjutkan bon pelaksanaan projek jalan pintas Muar sebanyak dua kali untuk kerja pembaikan yang menelan perbelanjaan RM60 juta. Sungguhpun Yang Berhormat Menteri pernah turun padang dan menjalankan bon pelaksanaan Ranhill dirampas. Akan tetapi memandangkan Ranhill merupakan syarikat besar yang melakukan perniagaan di merata dunia dan menanggung sepenuhnya kos pembaikan demi menjaga imej dan kredibiliti syarikat mereka.

Menteri dengan murah hati tidak merampas bon pelaksanaan dan melanjutkan setahun lagi tempoh bon itu sehingga September tahun 2010. Adakah keselamatan pemandu akan terjamin bila gunakan jalan pintas Muar yang bernilai kos sebenarnya RM285 juta? Tentu tidak.

Keselamatan para pemandu bagai ’abu di atas tungku‘. Nasib orang Muar agak malang kerana terpaksa melalui laluan ‘cross country daily’ yang mencabar ini setahun lagi sehingga kerja pembaikan yang dikatakan akan beres sepenuhnya pada tahun depan. Sekarang ini nasib kontraktor tidak terbela.

Bila dan bagaimanakah nasib dan keselamatan para pengguna akan dibela dan dijamin
atas jalan pintas ini yang telah siap pada tahun 2005 yang sepatutnya telah menepati piawaian pembinaan dan keselamatan; apakah kriteria yang digunakan semasa mengurniakan projek ini kepada pihak Ranhill; dan apakah perjanjian yang terjalin dalam pelaksanaan projek ini? Terima kasih.
1440
Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang]: Terima kasih, Tuan Pengerusi. Minta maaf tadi kerana lambat bangun. Terus kepada Maksud B.27.

Tuan Pengerusi, saya menjurus kepada satu peruntukan sejumlah RM120 juta untuk penyelenggaraan jalan persekutuan di Semenanjung. Sepanjang yang kita maklum kebanyakan ataupun hampir kesemua peruntukan ini digunakan untuk menyelenggara Jalan Persekutuan di Semenanjung dan melalui syarikat konsesi ataupun syarikat swasta. Saya tidak menolak kaedah ini kerana sekarang ini sudah tidak ada lagi kumpulan pekerja yang boleh maintain jalan secara departmental. Kita fahamlah kita tidak tolak. Sekadarkan saya ingin bertanya tentang kualiti selenggara jalan tersebut. Kalau kita bandingkan kebanyakan jalan tersebut dari segi kualitinya jauh ke belakang jika kita bandingkan dengan Lebuh Raya PLUS, LEKAS dan sebagainya umpama langit dengan bumi. Saya faham ia mungkin kekurangan peruntukan tetapi apabila diserahkan kepada syarikat konsesi sewajarnya impaknya mesti tinggi. Dari segi kualiti tinggi, kurang kemalangan dan sebagainya - pengguna melihat sekurang-kurangnya hampir-hampir sama tarafnya dengan Lebuh Raya PLUS, LEKAS dan sebagainya.

Tuan Pengerusi, saya ingin bertanya kalaulah duit yang menjadi masalah – kerana kekurangan peruntukan, saya mengesyorkan supaya Kementerian Kerja Raya lebih convince, lebih dapat meyakinkan Kementerian Kewangan dalam bidding budget supaya dapat peruntukan yang lebih sesuai dan memadai kepada Kementerian Kerja Raya dalam usaha untuk meningkatkan kualiti Jalan-jalan Persekutuan yang diswastakan ini. Impaknya, seperti yang saya sebutkan tadi mestilah tinggi dari segi kualiti dan sebagainya.

Pada masa yang sama juga Tuan Pengerusi, saya ingin bertanya, apakah alternatif lain yang terbaik selain daripada soal kekurangan peruntukan tadi. Kalau sekiranya peruntukan kurang, kita minta peruntukan tambahan, tetapi saya yakin Kementerian Kerja Raya ada pilihan yang lain untuk meningkatkan kualiti. Mungkin dengan jumlah peruntukan yang kurang itu kita faham, tetapi apakah tidak ada alternatif lain atau pilihan lain yang boleh Kementerian Kerja Raya guna pakai daripada banyak kajian. Ini melibatkan keselamatan jalan raya, melibatkan kualiti yang rakyat sentiasa melihat setiap hari. Ia melibatkan keselamatan jalan raya, kemalangan dan sebagainya.

Jadi, itulah perkara yang ingin saya tekankan. Pada masa yang sama saya juga meminta Kementerian Kerja Raya melihat. Pertamanya saya bersetujulah dengan pandangan Yang Berhormat Bakri tadi walaupun ia daripada pembangkang. Soal jalan yang dibina oleh Ranhill di Muar itu – Muar Bypass itu kalau naik kereta samalah seperti naik kuda ataupun roller coaster. Saya sebutkan sekali lagi dalam Dewan ini supaya jalan di kawasan saya sendiri – sebab ini termasuk dalam penyelenggaraan Jalan Persekutuan. Jalan bertol Tangkak, sampailah ke Sungai Mati yang baru diselenggarakan, tetapi ramai yang mengadu kepada saya kualitinya sangatlah rendah tidak sampai ke tahap yang kita harapkan. Sekian, Tuan Pengerusi. Saya menyokong.

MS 64~66

Dato’ Yong Khoon Seng: Yang Berhormat Bakri, ciri-ciri keselamatan memang adalah menjadi keutamaan bagi kita dan untuk projek yang disebutkan tadi, memang projek ini dijangka akan disiapkan sepenuhnya pada September 2010.

Yang Berhormat, saya mengikut senarai yang tadi. Yang Berhormat Ledang, memang kalau kita membandingkan kualiti penyelenggaraan di antara Jalan Persekutuan dengan lebuh raya, memang dari segi peruntukan untuk penyelenggaraan memang adalah berbeza sangat.

Bagi penyelenggaraan jalan di Semenanjung, memang kita unjurkan RM1,550 per kilometer satu bulan. Akan tetapi kalau dibandingkan penyelenggaraan yang diperlukan untuk lebuh raya, peruntukan yang diwajibkan untuk penyelenggaraan adalah 40% dari tol yang mereka kutip untuk penyelenggaraan jalan. Itulah perbezaannya tetapi kita perlu terus mempertingkatkan kualiti jalan kita.

Kita juga memang perlukan wang dan sampai hari ini, kita pun tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membuat penyelenggaraan di seluruh negara. Saya tahu di Jalan Tangkak, masalah di sana saya akan memberikan jawapan secara bertulis bagaimana kita akan memperbaiki jalan di Tangkak sana. Yang Berhormat Gombak, ada minta...

Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang]: Saya minta laluan, laluan. Minta maaf Tuan Pengerusi. Tadi saya menyebut tentang apakah alternatif yang Kementerian Kerja Raya boleh buat di dalam menyelenggarakan jalan-jalan persekutuan kerana saya yakin dengan kepakaran yang sedia ada dan moden, kita mungkin boleh selenggara jalan dengan kos yang lebih murah. Saya tidak percaya, kalau kita menggunakan kaedah atau teknologi yang terkini, kita terpaksa menggunakan kos yang tinggi, itu satu.

Keduanya Tuan Pengerusi, adakah kementerian ataupun JKR berpuas hati dengan prestasi syarikat konsesi ini? Misalnya kalau kita tengok papan tanda. Adakah mereka benar-benar telah cuci papan tanda tiga bulan sekali ataupun telah potong rumput di tepi jalan mengikut jadualnya? Ini termasuklah penyelenggaraan parit-parit di tepi jalan dan sebagainya. Adakah kementerian atau JKR berpuas hati dengan prestasi syarikat tersebut sebab saya menjangkakan syarikat tersebut mampu untuk memuaskan hati semua pihak dan bukannya soal peruntukan semata-mata. Tentang peruntukan kita faham adalah kurang dan kita menyeru supaya Kementerian Kewangan memberi lebih, tetapi dari segi prestasi syarikat perlu juga diambil kira.

Sekian, terima kasih.

Dato’ Yong Khoon Seng: Tuan Pengerusi, Yang Berhormat Ledang memang selalu mencadangkan perkara yang baik untuk Kementerian Kerja Raya - Terima kasih. Dengan sokongan dari Yang Berhormat, kita akan pohon lebih banyak peruntukan untuk maksud ini.

Sebenarnya cara terbaik ataupun alternatif untuk kita membuat jalan atau penyelenggaraan jalan, memang adalah dengan melaksanakan teknologi baru seperti yang list diberikan kepada saya iaitu, Cold In-Place Recycling (CIPR), The Hot-in Place Recycling (HIPR) serta dengan stone mastic asphalt. Teknologi ini sangat berkualiti dan mempunyai jangka hayat yang panjang berbanding kaedah turapan konvensional. Akan tetapi kos ini agak tinggilah dan kita perlukan sokongan dari pihak Yang Berhormat.

Berkaitan dengan papan tanda or signage di tepi-tepi jalan di mana kita di pihak JKR, JKR akan menelitinya dengan memberi arahan teknik supaya semuanya mengikut arahan-arahan teknik yang dikeluarkan oleh pihak JKR.

Saya tahu ini memang akan menjadi masalah kerana kalau kita tidak menjaga papan-papan tanda di tepi jalan dengan baik, ia mungkin akan memberikan signal yang salah. Saya tahu, kita akan menghentikan semua ini dan Yang Berhormat Gombak ada menyentuh perkara penyelenggaraan jalan melalui Skim MARRIS.

Sebenarnya Kerajaan Persekutuan memberikan peruntukan untuk jalan-jalan di negeri mengikut berapa panjang jalan-jalan tersebut dengan kadar RM22,000 satu kilometer. Jikalau kita hendak tambah, kita boleh memohon kepada pihak Pusat untuk menambahkan duit ini.

No comments:

Post a Comment