2010-04-05

Kerajaan Kenal Pasti Tapak Pelupusan Sampah Baru di Pagoh

sumber:Khabar Orang Johor

Selesai...Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman mengumumkan pemindahan pusat pelupusan sampah Bakri ke satu tapak baru semasa lawatan kerjanya ke Parlimen Bakri.
MUAR: Kerajaan sudah mengenal pasti sebuah kawasan tapak pelupusan sampah di Pagoh bagi menggantikan tapak sedia ada di Bakri yang akan ditutup Jun ini.

Menteri Besar, Dato Abdul Ghani Othman, berkata, tapak seluas 60 hektar yang menelan belanja RM23 Juta itu dijangka akan mula beroperasi pada Jun 2011.

"Tapak pelupusan seluas kira-kira 6.8 hektar yang beropersi sejak tahun 17 tahun lalu di Bakri kini sudah hampir penuh dan sudah sampai masanya kita gantikan dengan yang baru.

"Oleh itu, kita akan tutup dan gantikannya dengan tapak pelupusan baru di Pagoh yang jauh dari kawasan kediaman," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerjanya ke Parlimen Bakri, Khamis lalu.

Abdul Ghani berkata, tidak seperti kawasan pelupusan sampah di Bakri, kawasan pelupusan sampah di Pagoh itu adalah dari jenis sanitary landfill atau sistem tertutup yang terbukti lebih efisyen dalam sistem pelupusan sampah.

"Ia akan mula dibina Oktober tahun ini, dan sementara menunggu ia siap, penduduk di kawasan ini akan terus menggunakan kawasan tapak pelupusan sampah di Bakri," katanya.

Beliau berharap projek berkenaan akan menyelesaikan isu tapak pelupusan sampah dan akan memberikan keselesaan kepada penduduk di Muar, khususnya di kawasan Bakri.

No comments:

Post a Comment