2010-04-20

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN BAGI JAWAB BUKAN LISAN DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN BAGI JAWAB BUKAN LISAN
DEWAN RAKYAT MALAYSIA
PERTANYAAN : JAWAB BUKAN LISAN
DARIPADA : YB TUAN ER TECK HWA [BAKRI]

SOALAN :

YB TUAN ER TECK HWA [BAKRI] minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan penjelasan tentang konsep pembangunan bersama di Laut China Selatan.

(a)adakah konsep pembangunan bersama ini sebagai pilihan utama bagi Malaysia dalam penyelesaian pertikaian kedaulatan Spratly Island; dan

(b)Sila berikan sebab yang mendorong Malaysia menyokong konsep pembangunan bersama ini memandangkan sebelum ini negara kita tidak pernah menyokong konsep ini.

JAWAPAN

Terima kasih kepada Yang Berhormat Bakri di atas soalan yang dikemukakan.

Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, wujud tuntutan bertindih kawasan maritim dan tuntutan bertindih ke atas ciri-ciri geografi di kawasan maritim seperti pulau, terumbu dan sebagainya yang terletak di kawasan Laut China Selatan. Tuntutan bertindih di Laut China Selatan ini melibatkan Malaysia, Vietnam, Brunei Darussalam, Filipina dan Republik Rakyat China.

Republik Rakyat China menuntut keseluruhan Laut China Selatan termasuklah Kepulauan Spratly. Walau bagaimanapun, tuntutan Republik Rakyat China ini adalah dipertikaikan kerana ia tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa termasuklah peruntukan-peruntukan di dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (United Nations Convention on the Law of the Sea 1982- UNCLOS 1982). Malaysia berpendirian bahawa pulau dan terumbu di dalam kawasan Pelantar Benua Malaysia adalah milik Malaysia.

Sehingga kini, Malaysia tidak melaksanakan sebarang pembangunan bersama dengan mana-mana negara di kawasan tuar pantai Sabah dan Sarawak di Laut China Selatan.

Untuk makluman YB selanjutnya, isu berhubung tuntutan ke atas pulau-pulau dan terumbu ini ditangani berasaskan kepada semangat dan aspirasi yang terkandung dalam Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (DOC) yang ditandatangani oleh negara-negara ASEAN dan Republik Rakyat China pada 4 November 2002. Melalui Deklarasi ini, pihak-pihak yang mempunyai tuntutan bertindih di Laut China Selatan bertekad untuk menyelesaikan pertelingkahan dan perbalahan berhubung tuntutan wilayah maritim bertindih di Laut China Selatan dan mencari penyelesaian secara damai melalui jalan perundingan tanpa menggunakan kekerasan ataupun ugutan. Usaha-usaha juga diambil bagi membina keyakinan (confidence building) di antara negara-negara yang terlibat.

Malaysia sentiasa peka dengan isu-isu yang melibatkan tuntutan bertindih ke atas pulau-pulau dan wilayah Malaysia. Usaha-usaha sentiasa dilaksanakan demi mengukuhkan tuntutan Malaysia ke atas ciri-ciri geografi di kawasan maritim berkenaan. Malaysia sentiasa mewujudkan rundingan dua hala dengan negara jirannya bagi membataskan sempadan maritim di kawasan di mana belum ada lagi perjanjian sempadan maritim. Malaysia berpendirian bahawa tuntutan bertindih wajar diselesaikan melalui meja rundingan dan rujukan kepada pihak ketiga seperti Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atau Tribunal Timbang Tara adalah merupakan opsyen terakhir di dalam mencapai penyelesaian.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment