2011-10-03

PARLIMEN MALAYSIA PEMBERITAHU PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

PERTANYAAN : LISAN
TARIKH : 3 OKTOBER 2011 (ISNIN)
DARIPADA : Y.B. TUAN ER TECK HWA [BAKRI]
SOALAN 5

SOALAN:

Y.B. ER TECK HWA [BAKRI] minta PERDANA MENTERI menyatakan berapakah peruntukan untuk Kedai Rakyat 1 Malaysia di seluruh negara .

a) Adakah perundingan secara terbuka diadakan sebelum MYDIN dipilih sebagai operator? Jika ya, Senaraikan pihak yang terlibat.

b) Kerugian/keuntungan bulanan untuk setiap KR1M di seluruh negara.

JAWAPAN

(Jawapan secara bertulis tidak dibagi oleh Kementerian, rakaman jawapan bertulis hanya berada di Kenyataan Rasmi)

DR 3.10.2011 MS17

■1050
5. Dato’ Seri Tiong King Sing [Bintulu] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyatakan:

(a) adakah kedai runcit 1Malaysia yang telah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan dipertimbangkan ke negeri Sabah dan Sarawak; dan

(b) bilakah pelaksanaan tersebut akan dijalankan atau apakah perancangan pihak kementerian terhadap pelaksanaan tersebut di negeri Sabah dan Sarawak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan [Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya mohon untuk menjawab soalan ini
bersekali dengan sepuluh soalan lain yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Bakri pada 5 Oktober, Yang Berhormat Ipoh Timur pada 10 Oktober, Yang Berhormat Mas Gading pada 20 Oktober, Yang Berhormat Serdang pada 25 Oktober, Yang Berhormat Kanowit pada 1 November, Yang Berhormat Lenggong pada 10 November, Yang Berhormat Sipitang dan Yang Berhormat Tanjong Piai pada 15 November, Yang Berhormat Kuala Nerus pada 21 November dan Yang Berhormat Gua Musang pada 22 November kerana ia menyentuh isu dan perkara yang sama iaitu Kedai Rakyat 1Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua: Sila.

Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob: Tuan Yang di-Pertua, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam memastikan rakyat terutamanya di bandar-bandar yang menghadapi tekanan berikutan kenaikan kos sara hidup dapat memperoleh produk keperluan pada harga rendah dan berkualiti. Ia juga sebagai medium kepada kerajaan untuk mengawal kenaikan harga barang dan mengurangkan monopoli produk yang didominasi oleh syarikat-syarikat pengeluar.

KR1M dibangunkan dengan konsep menjual produk keperluan pada harga rendah tanpa mementingkan jenama produk. Namun, kualiti produk tetap diutamakan. Harga produk yang dijual di KR1M telah ditetapkan antara 30% hingga 50% lebih rendah berbanding dengan produk serupa di bawah jenama lain. Jenama Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) telah didaftarkan tanda niaganya sebagai hak milik daftar Pejabat Perdana Menteri, Jabatan Perdana Menteri. Manakala bagi produk yang dijual di dalam KR1M dikenali dengan jenama 1Malaysia Kedai Rakyat.

Sebagai permulaan, pihak Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) telah diberi kebenaran untuk menggunakan logo 1Malaysia yang diberikan tanggungjawab sebagai cartelize untuk menjalankan operasi KR1M atas kepakaran dan keupayaan yang dimilikinya dalam bidang peruncitan dan pemborongan. Selain itu, pihak Mydin juga berperanan di dalam menjalankan operasi kedai tersebut seperti membekal barangan, menyusun atur barangan, melatih serta menyediakan kakitangan dan juga mentadbir urus sistem point of sales. Program ini juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat Mydin kepada masyarakat setempat.

Untuk makluman, KR1M telah mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai kerana kepelbagaian produk yang dijual dalam kuantiti yang lebih kecil bagi membolehkan pengguna yang berpendapatan rendah mendapatkan produk tersebut berdasarkan kemampuan dan keperluan mereka. Sebanyak 250 jenis produk keperluan pengguna dijual di KR1M. Antara produk yang mendapat sambutan daripada pengguna seperti biskut, susu krimer, lampin bayi pakai buang, sardin, mihun, air mineral dan minuman ‘malt chocolate’.

Pelaksanaan Program KR1M tidak berorientasikan keuntungan semata-mata. Program ini lebih kepada usaha sama strategik antara kerajaan dan badan korporat untuk membantu mengekang kenaikan harga barangan dan sekali gus mengurangkan beban sara hidup rakyat. Penjimatan dari segi kos pengiklanan antara 20% hingga 30% dengan pembungkusan yang mempunyai label generik 1Malaysia serta pembelian secara pukal daripada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana dan tidak bergantung kepada orang tengah merupakan penyumbang kepada penurunan harga barang di Kedai Rakyat 1Malaysia. Pada tahun 2011, minimum sebanyak 25 premis KR1M akan dibuka di seluruh negara. Manakala bagi tahun 2012, minimum sebanyak 60 premis akan dibuka di seluruh negara. Sehingga kini, sebanyak empat premis telah beroperasi di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya iaitu di Stesen LRT Kelana Jaya, Pusat Komuniti Bandar Tun Razak Cheras, Projek Perumahan Rakyat Pantai Dalam dan juga Presint 2 Putrajaya.

Bagi menyebar luas manfaat daripada pelaksanaan program ini, kerajaan telah meminta agar semua kedai runcit yang terlibat di dalam Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) melibatkan 500 buah kedai di seluruh negara untuk turut menjual produk terpilih jenama Kedai Rakyat 1Malaysia. Kerajaan juga telah meminta agar semua 250 kedai D’Mart shop di tanah rancangan FELDA untuk menjual barangan jenama 1Malaysia selain barangan jenama generik Koop 1Malaysia. Selain daripada itu, Agro Bazaar Kedai Rakyat di bawah FAMA yang melibatkan 150 buah kedai di seluruh negara akan turut menjual barangan terpilih jenama Kedai Rakyat 1Malaysia ini.

Pihak kita juga sedang berbincang dengan syarikat-syarikat minyak untuk menjual di stesen-stesen minyak di seluruh negara dan kita juga sedang mengadakan perbincangan dengan pihak PERNAMA untuk menjualnya di kem-kem tentera dan sebagainya.

Untuk makluman Yang Berhormat, kerajaan memang sedang merancang untuk membuka KR1M di Sabah dan Sarawak. Pada waktu ini kita sedang mengadakan perbincangan melihat dan juga mengenal pasti lokasi-lokasi. Dalam masa yang sama sedang berbincang dengan pihak IKS di Sabah dan Sarawak supaya mereka juga boleh supply produk-produk tempatan di Sabah dan Sarawak bagi mengelakkan kenaikan harga jika kita membawanya daripada Semenanjung ke Sabah dan Sarawak. Kita masih lagi di dalam perbincangan.

Dato’ Seri Tiong King Sing [Bintulu]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih atas jawapan Yang Berhormat Menteri. Sesungguhnya konsep memang baik, idea pun baik untuk rakyat mengatakan ini Kedai Rakyat 1Malaysia yang diperkenalkan memang tepat pada masanya dan mendapat sambutan yang baik serta dapat mengurangkan kebimbangan rakyat dari segi kos hidup.

Soalan tambahan, Yang Berhormat Menteri sedar atau tidak bahawa golongan yang paling memerlukan Kedai Rakyat 1Malaysia adalah rakyat di kawasan luar bandar dan apakah sebab kerajaan tidak mengutamakan di kawasan luar bandar dan Program Kedai Rakyat 1Malaysia? Contoh tadi, Yang Berhormat Menteri kata di Sabah dan Sarawak kita masih lagi berbincang, berapa lama lagi mahu berbincang? Contoh seperti di kawasan Kinabatangan, Bintulu ini kawasan luar bandar mestilah memerlukan ini, disegerakan ini Kedai Rakyat 1Malaysia. Akan tetapi Yang Berhormat Menteri pun sudah melawat kawasan Bintulu, nampak kawasan banyak luar bandar. Kita pun, Yang Berhormat Menteri pun, Yang Berhormat Menteri kata ini kawasan banyak susah, naik bot, jalan kaki tetapi kedai 1Malaysia tidak ada. Minta, boleh jelas sedikit tidak? Terima kasih Yang Berhormat.

Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob: Terima kasih Yang Berhormat. Seperti yang saya sebutkan tadi bahawa memang di dalam perancangan kita untuk membuka di seluruh negara. Akan tetapi, buat masa ini kita tumpukan perhatian kita di kawasan-kawasan bandar besar kerana kos sara hidup di bandar besar jauh lebih tinggi daripada kos sara hidup di laur bandar dan sebagainya.

Akan tetapi, ini tidak bermakna kita tidak akan membuka kerana Kedai Rakyat 1Malaysia ada dua konsep. Pertama, kita buka kedai itu sendiri dan kedua kita supply barang kepada kedai-kedai yang telah pun wujud misalnya di Bintulu atau di mana sahaja. Peruncit-peruncit boleh membeli produk-produk tersebut dan menjual produk tersebut dengan harga murah seperti yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia ini. Saya ingin maklumkan misalnya di Kuala Lumpur ini, walaupun kita hanya mempunyai empat Kedai Rakyat 1Malaysia yang telah dibuka, tetapi sudah ada 17 kedai-kedai runcit di bawah rumah pangsa kos rendah yang bukan nama Kedai Rakyat 1Malaysia, kedai pemilik peruncit itu sendiri tetapi menjual produk Kedai Rakyat 1Malaysia.

■1100

Bagi pihak kerajaan yang penting adalah rakyat boleh membeli produk tersebut walau apa-apa nama sekali pun, Kedai Rakyat atau kedai-kedai lain. Yang penting produk itu. Jadi, soal Sarawak dan Sabah insya-Allah kita akan percepatkan untuk supply produk ini di Sabah dan Sarawak termasuk di Bintulu. Terima kasih.

Tuan Fong Kui Lun [Bukit Bintang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan. Oleh kerana Syarikat Mydin yang memonopoli pengedaran, adakah kerajaan mencadangkan bahawa syarikat lain ditawarkan untuk mengendalikan Kedai 1Malaysia? Jika tidak, apakah sebab-sebabnya? Terima kasih.

Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob: Seperti yang saya sebutkan, ini hanyalah peringkat awal kita bekerjasama dengan pihak Mydin. Kita menerima banyak permohonan daripada pihak-pihak lain untuk bersama-sama dengan pihak kerajaan di dalam mengedar ataupun menjual produk-produk ini.

Salah satu cara yang sedang kita bincangkan pada hari ini adalah untuk menjadikan program ini di bawah sebuah program francais supaya kalau program ini dijadikan program francais, ramai lagi pihak yang boleh menjalankan perniagaan seperti ini. Kita juga menggalakkan walaupun tidak menggunakan nama Kedai Rakyat 1Malaysia tetapi program produk tanpa jenama ini boleh diberikan kepada sesiapa sahaja. Akan tetapi tidak semesti namanya Kedai Rakyat 1Malaysia. Misalnya pihak koperasi sekarang ini, mengeluarkan produk tanpa jenama ini, no-frills product ini atas nama Koop 1Malaysia. Yang pentingnya adalah menjual produk tanpa jenama dengan harga yang rendah.

Saya sendiri pernah berjumpa, telah berjumpa dengan persatuan peruncit daripada kaum Cina misalnya untuk berbincang dengan mereka dan kita tawarkan, kalau mereka boleh mengeluarkan produk tanpa jenama dengan harga yang rendah, kita pun menyokong. Apa yang pentingnya ialah kita dapat mengeluarkan ataupun mengedarkan produk-produk murah kepada rakyat ketika keadaan harga barang yang naik pada waktu ini.

Jadi, tidak timbul soal monopoli dan sebagainya kerana produk-produk yang menggunakan nama lain pun dibenarkan dengan syarat ia harga rendah dan sebagainya. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment