2011-10-06

Pembentangan mengenai isu fasiliti Hospital Segamat

DR-06102011 MS10

4. TUAN ER TECK HWA [BAKRI] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan adakah Hospital Segamat menyediakan kemudahan sistem ultrasonik untuk pesakit. Jika ya, sebutkan bilangan mesin yang ada dan jumlah kakitangan yang kini bertanggungjawab. Jika tidak, adakah sistem ini akan diberi kepada pihak hospital.

Timbalan Menteri Kesihatan [Datuk Rosnah binti Haji Abd. Rashid Shirlin]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Bakri di atas soalan yang dikemukakan. Tuan Yang di-Pertua, Hospital Segamat ada menyediakan perkhidmatan pemeriksaan ultrasound untuk pesakit-pesakit. Pada masa ini terdapat lima unit mesin ultrasound yang berfungsi dengan baik yang ditempatkan di Jabatan Pengimejan Diagnostik iaitu sebanyak dua unit, Klinik Obstetrik dan Ginekologi dua unit dan dewan bersalin satu unit.

Mesin-mesin ultrasound di Klinik Obstetrik dan Ginekologi dewan bersalin digunakan oleh dua orang pakar Obstetrik dan Ginekologi dan empat orang pegawai perubatan. Di antaranya untuk mengesan yang pertama sebarang abnormality di dalam organ reproduktif pesakit wanita seperti ketumbuhan dan yang kedua untuk mengesan keadaan janin di dalam rahim ibu hamil termasuklah kedudukan uri. Mesin ultrasound di Jabatan Pengimejan Diagnostik digunakan oleh pakar radiologi pelawat daripada Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar untuk lain-lain kes yang dirujuk daripada pelbagai jabatan seperti kes-kes batu karang dan ketumbuhan dalam sistem perkumuhan meliputi buah pinggang, pundi kencing dan uretra serta hati, pundi hempedu, pankreas dan sebagainya.

Mesin ultrasound adalah selamat digunakan dan tidak memerlukan sebarang perlindungan khas kepada kakitangan yang menyediakan, mengendalikan mesin dan pesakit.

■10.38 pg.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri di atas penjelasan yang dibagi tadi. Soalan tambahan yang saya ingin bangkitkan di sini ialah mengenai masalah kelengkapan perubatan di Hospital Segamat. Walaupun Daerah Segamat merupakan daerah yang paling tua di negeri Johor, pembangunan infrastruktur di daerah tersebut agak tidak memuaskan berbanding dengan daerah lain yang tumbuh selepas Daerah Segamat.

Kedudukan geografi Segamat yang terperinci di mana pesakit-pesakit di kawasan tersebut terpaksa pergi ke hospital-hospital di luar kawasan tersebut untuk mereka memperoleh rawatan selanjutnya. Penduduk-penduduk dari Segamat bahkan berang kerana terpaksalah datang ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar yang terletak di bandar Muar dengan perjalanan berjarak 88 kilometer. Dengan latar belakang yang saya sebut tadi, saya minta Yang Berhormat Timbalan Menteri senaraikan sehingga kini ada berapa jenis rawatan yang tidak dapat dijalankan di Hospital Segamat dan pesakit-pesakit terpaksalah datang ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar.

Senaraikan projek naik taraf yang akan dilaksanakan di Hospital Segamat dalam RMKe-10 dan tarikh untuk projek tersebut dilaksanakan. Adakah kementerian mengadakan rancangan untuk membina atau menaik taraf hospital-hospital di kawasan utara tengah di negeri Johor supaya mengelakkan jarak perjalanan yang panjang untuk pesakit-pesakit di kawasan pedalaman. Terima kasih.
■1040
Datuk Rosnah binti Haji Abd. Rashid Shirlin: Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya untuk pengetahuan Yang Berhormat Bakri, pakar radiologi dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar melakukan perkhidmatan lawatan pakar sebulan sekali ke Hospital Segamat. Semasa ketiadaan pakar ini, terdapat juga pesakit-pesakit yang dirujuk di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar dan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk pemeriksaan ultrasound. Pada masa ini Yang Berhormat, sebenarnya seorang pakar radiologi sedang menjalani proses pewartaan di Hospital Batu Pahat dan dijangka akan memulakan khidmatnya di Hospital Segamat pada bulan Disember 2011. Oleh sebab itu tidak ada keperluan lagi untuk Hospital Segamat mendapatkan lawatan daripada pakar dari hospital yang lain. Mereka akan mempunyai pakar radiologi mereka sendiri bermula Disember 2011.

Untuk menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat, suka cita saya memaklumkan bahawa kemudahan mesin CT-Scan telah pun diluluskan dan dijangkakan akan memulakan perkhidmatan di Hospital Segamat pada awal tahun 2012. Pada masa ini pihak hospital masih dalam proses untuk membina bangunan khas dan seterusnya pemasangan peralatan tersebut. Untuk pengetahuan Yang Berhormat juga, penggantian peralatan perubatan akan dibuat secara berterusan mengikut keperluan dan keutamaan.

Untuk senarai Rancangan Malaysia Kesepuluh, saya akan berikan secara bertulis kepada Yang Berhormat. Terima kasih.

Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sebenarnya yang hampir dengan Segamat ini ialah Ledang, sempadan sahaja tetapi Ledang lebih mudah ke Muar, lebih dekat.

Tuan Yang di-Pertua, soalan saya begini. Daripada jawapan Yang Berhormat Timbalan Menteri tadi, membuktikan bahawa Hospital Segamat sudah pun bertukar taraf daripada hospital biasa kepada hospital pakar sebenarnya. Kalau dahulu ada lima hospital pakar, sekarang sudah ada 11 buah. Tadi pun sudah disebutkan. Cuma isunya Tuan Yang di-Pertua ialah, Hospital Pakar Segamat tersebut yang sudah naik taraf perlu pembesaran bangunan dan daripada maklumat yang saya dapat, masalah utamanya ialah kawasan yang sempit dan memerlukan tanah sebelah. Tanah sebelah itu adalah tanah RTM. Oleh kerana ini masalah yang dahulu telah dibangkitkan, adakah pihak Kementerian Kesihatan sudah mendapat persetujuan daripada RTM untuk mengambil alih tanah tersebut bagi tujuan memudahkan lagi operasi dan perkhidmatan hospital pakar tersebut? Sekian, terima kasih.

Datuk Rosnah binti Haji Abd. Rashid Shirlin: Terima kasih kepada Yang Berhormat Ledang di atas soalan yang dikemukakan. Untuk pengetahuan Yang Berhormat Ledang, di dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia bercadang untuk menaik taraf Hospital Segamat kepada hospital pakar major iaitu akan mempunyai kepakaran sebanyak 20 kepakaran. Pada masa ini Hospital Segamat hanya mempunyai sembilan kepakaran dan katil untuk Hospital Segamat adalah sebanyak 314 tambahan daripada jumlah katil sebelum ini.

Sama ada kerajaan ataupun jabatan kesihatan negeri telah mendapat persetujuan daripada RTM mengenai tanah tersebut, saya akan maklumkan secara bertulis kepada Yang Berhormat. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment