2011-10-04

Jawapan Kementerian mengenai isu bekalan Air di Mukim Air Hitam

Beberapa minggu lepas, saya telah membangkitkan permasalahan bekalan air di Mukim Air Hitam, Kawasan Bukit Naning kepada pihak Syarikat Air Johor (SAJ) ekoran daripada aduan dan laporan yang diterima Pusat Khidmat saya daripada penduduk setempat. Permasalahan ini turut saya utarakan sebagai soalan saya kepada pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat, Parlimen Kedua Belas Tahun 2011 bertarikh 3hb Oktober 2011.

Adalah sangat tidak memuaskan jawapan yang diberikan oleh pihak Kementerian berhubung masalah ini. Ia sebenarnya tidak menepati persoalan yang saya kemukakan. Ini tidak mencerminkan amalan pengurusan yang baik. Hanya perenggan pertama sahaja yang memenuhi kehendak soalan saya yang lainnya adalah maklumat tambahan mengenai projek-projek bekalan air yang dilaksanakan di Mersing, Simpang Renggam dan Labis. Jawapan panjang lebar yang diberikan ini adalah merupakan maklumat yang tidak berkenaan di dalam isu ini. Maklumat teliti seperti kapasiti tangki, jangka masa projek siap, tarikh, dan jangkaan projek tangki ini boleh merangkumi berapa ramai penduduk serta jumlah penggunaan air? Maka, jawapan panjang lebar yang diberikan ini adalah sangat tidak professional.

Malahan, tiada penjelasan lanjut diberikan mengenai apakah yang dimaksudkan dengan “Rolling Plan RMK-10.” RMK-10 merupakan satu pelan rancangan pembangunan untuk tempoh lima (5) tahun bermula dari 2011 dan berakhir pada tahun 2015. Menurut penyelidikan dan pemahaman saya, peruntukan program dan projek pembangunan RMK10 akan dibuat untuk setiap dua tahun bermula dengan 2010-2012 dan "rolling plan" pertama akan dikeluarkan pada akhir Ogos 2010.

Sekiranya projek pembangunan RMK-10 akan dibaut untuk setiap dua tahun mengikut apa yang dikatakan "Rolling Plan" ini, ia membawa kepada persoalan adakah pembinaan tangki dan rumah pam bagi kawasan Bukit Naning ini akan dilaksanakan pada tahun 2013 atau tahun-tahun berikutnya? Tiada penjelasan yang konkrit berhubung terma "Rolling Plan" malah ia semakin mengelirukan orang ramai. Kementerian perlu bertanggungjawab untuk menyatakan secara terperinci berhubung perkara ini.

Apabila pihak Kementerian menyatakan bahawa terdapatnya perancangan di dalam “Rolling Plan Kedua” untuk melaksana projek pembinaan tangki dan rumah pam, seharusnya pihak Kementerian telah mempunyai pelan perancangan yang rapi. Pihak Kementerian boleh menyatakan mengenai spesifikasi, isipadu tangki dan tarikh yang spesifik bagi pembinaan tangki dan rumah pam ini agar perkara ini boleh diperhalusi untuk melihat kesesuaian kawasan ini.

Hal ini berupaya untuk membantu hasrat Kerajaan dalam melaksanakan “Rolling Plan” iaitu menyesuaikan perancangan setiap projek pembangunan dengan realiti semasa. Ia turut berupaya membantu mengelakkan berlakunya ketirisan dan juga projek-projek terbengkalai atau projek-projek “Mee Segera” yang hanya dijanjikan menjelang Pilihanraya Umum namun dilupakan selepas itu. Akhirnya, rakyat kawasan Bukit Naning hanya mampu menelan air liur melihat harapan dan impian mereka seolah-olah janji tinggal janji sahaja.

Sehubungan itu, saya akan terus menjalankan kempen mengumpul Tandatangan Penduduk yang akan disertakan di dalam Memorandum Masalah Bekalan Air Mukim Air Hitam ini untuk diserahkan kepada pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebelum Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat ini selesai serta pihak Syarikat Air Johor (SAJ) agar masalah ini mendapat perhatian dan dilaksanakan seperti yang dijanjikan dalam Rolling Plan Kedua RMK-10.

Er Teck Hwa
Ahli Parlimen Bakri
04.10.2011

No comments:

Post a Comment