2011-10-17

ucapan diberi dalam peringkat dasar Bujet 2012


DR 17.10.2011 MS137

■7.47 mlm.
Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh sedikit tentang Muzium Bukit Kepong. Bukan isu Mat Indera cuma Muzium Bukit Kepong. Pada bulan lepas saya telah menulis satu artikel yang bertajuk ‘Bangsa Yang Tidak Menghargai Sejarah Sendiri, Ia Tidak Akan Menjadi Bangsa Yang Berjaya’. Kalau sesiapa yang berminat, boleh melawat ke laman blog saya untuk membaca selanjutnya.

Saya cuma ingin bertanya kepada rakan-rakan saya di Dewan yang mulia ini, adakah mesyuarat ini tujuannya untuk perbahasan pentadbiran kerajaan atau perbahasan akademik sejarah? Mengapa tiba-tiba rakan-rakan saya semua menjadi pakar-pakar sejarah? Adakah rakyat pilih kita berdiri di Dewan yang mulia ini kerana kepakaran kita dalam sejarah atau kepakaran kita dalam bidang politik, pengurusan dan pentadbiran?

Ahli-ahli politik campur tangan dalam sejarah atau cuba tulis semula sejarah bukanlah satu perkara baru, ia berlaku di seluruh dunia. Namun sedemikian, rejim-rejim yang cuba campur tangan dalam sejarah mempunyai ciri-ciri tertentu iaitu pentadbiran kuku besi dan fikiran fasis. Satu cara yang terkesan untuk mengawal fikiran rakyat ialah melalui tulis semula kandungan sejarah.

Saya telah mengadakan lawatan ke balai Muzium Bukit Kepong dua minggu selepas bencana Johor 2011 dan membuat pertanyaan mengenai isu pembaikpulihan di dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat berhubung perkara ini pada bulan Mac. Malah, Timbalan Menteri secara sinis mengatakan beliau tidak menyediakan jawapan lisan sebaliknya jawapan bertulis yang diberikan oleh pihak Timbalan Menteri adalah isu ini bukan di bawah tanggungjawab Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, sebaliknya ia merupakan tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri.
■1950
Persoalan adakah Jabatan Warisan Negara terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri? Ini sebenarnya satu soalan saya dalam artikel yang saya sebut di atas. Saya minta Yang Berhormat Menteri memberikan penjelasan yang tepat mengenai isu ini. Janganlah lepas tangan atas tanggungjawab Kerajaan Persekutuan terhadap isu warisan negara seperti apa yang berlaku pada tahun lepas di mana saya telah membangkitkan isu kubur-kubur beragama Hindu yang kononnya beratus-ratus tahun telah dimusnahkan secara sistematik. Menurut jawapan daripada Yang Berhormat Menteri, beliau menjawab perkara ini adalah di atas kuasa negeri.

Kalau demikian, apakah sebenarnya peranan Jabatan Warisan Negara? Saya minta penjelasan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai pusat khidmat Ahli-ahli Majlis Perbandaran Muar, MCA atau Lao Chu yang terletak di Jalan Bakri. Pusat khidmat tersebut merupakan salah satu fasiliti yang diperuntukkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan berapakah perbelanjaan dan peruntukan yang diberi oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai fasiliti ini.

Di dalam jawapan lisan yang saya terima mengenai isu tapak pelupusan sampah Bukit Bakri. Baru-baru ini dinyatakan bahawa tapak alternatif masih belum dapat dibina dan sementara tapak baru dikenal pasti dan dibina. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menutup selamat sebahagian besar tapak, manakala sebahagian lagi akan dinaik taraf bagi menangani masalah pencemaran air dan bau. Pada 30 Jun 2011, Yang Berhormat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, “Tapak pelupusan sampah Bukit Bakri dengan keluasan kawasannya 37 ekar, sebahagiannya masih belum digunakan lagi. Demi rancangan yang betul anggaran kegunaannya boleh dipanjangkan selama dua tahun.”

Saya cuma memperingatkan perkembangan isu ini dari tahun lepas sehingga kini, pada 1 April 2010, Menteri Besar Johor mengumumkan tapak pelupusan tersebut akan ditutup sepenuhnya pada akhir tahun 2010. Pada 20 Ogos 2010, satu keputusan telah dibuat oleh Majlis Perbandaran Muar bahawa penutupan secara berperingkat akan bermula pada November 2010 dan penutupan sepenuhnya akan dilaksanakan pada 2011. Pada 29 Oktober 2010, bekas YDP Majlis Perbandaran Muar Tuan Haji Muhamad Fuad Bin Haji Radzuan pula berkata, “Tapak pelupusan tersebut akan ditutup separuh dan separuh lagi akan digunakan sehingga kawasan pelupusan di Pagoh siap dibina.” Soalan saya ialah saya minta kementerian berkenaan memberikan satu tarikh yang tepat bilakah ia akan ditutup sepenuhnya memandangkan surat EIA perlu disiapkan pada bulan Julai tahun ini dan menurut laporan EIA tersebut, mengapa sehingga sekarang kementerian masih sebut bahawa tapak tersebut belum dikenal pasti dan dibina.

Pelan Draf Daerah Muar 2002 menunjukkan dengan jelas bahawa tapak pelupusan tersebut akan sampai tahap penuh pada 2008 dan tapak baru juga sudah dirancang dan dikenal pasti di satu blok tanah di Sengkang, Pagoh. Dalam pelan draf tersebut, jawapan yang saya terima baru-baru ini kementerian perlu membelanjakan sebanyak RM8.7 juta untuk kos projek naik taraf supaya ia boleh digunakan lagi sepanjang dua tahun. Soalan saya ialah sekiranya projek pembinaan ini sudah dikenal pasti sembilan tahun lepas dan kerajaan pun sudah tahu bahawa tapak pelupusan sampah Bukit Bakri akan sampai tahap penuh pada 2008, mengapa sehingga kini kerajaan tidak mengikut pelan awal dan terpaksalah membelanjakan RM8.7 juta untuk projek naik taraf.

Adalah difahami bahawa kos pembinaan satu tapak pelupusan sampah RM30 juta secara purata dan kini kerajaan perlu berbelanjawan RM8.7 juta iaitu hampai 1/3 daripada kos penuh untuk penyediaan tapak pelupusan sampah yang baru. Apa sebabnya rancangan awal tidak dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan dan siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab atas kos naik taraf sebanyak RM8.7 juta ini?

Seterusnya saya ingin membangkitkan dua isu mengenai infrastruktur umum di Muar. Saya minta Menteri Belia dan Sukan menjelaskan apakah status kolam renang Muar? Menurut satu jawapan yang dikeluarkan oleh Dewan Undangan Negeri Johor, Pada 26 Jun 2010, di mana Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor cawangan Muar telah mengemukakan permohonan peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan bagi membangun semula kolam renang tersebut dalam RMKe-10. Di sini saya ingin menanyakan Yang Berhormat Timbalan Menteri yang berasal dari kawasan Muar. Saya harap beliau boleh menjawab soalan ini. Adakah kementerian sudah menerima permohonan peruntukan tersebut dan apakah perkembangan terhadap isu ini.

Pada 17 Jun 2010, dalam ucapan penangguhan saya yang bertajuk, “Pembinaan Mercu Tanda Tarian Singa di Bandar Muar.” Yang Berhormat Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menyatakan kementerian berkenaan bersedia memberikan kerjasama dalam usaha kejayaan Pembinaan Mercu Tanda Tarian Singa tersebut. Pada 6 Julai 2011, Majlis Pecah Tanah telah dilaksanakan dan akan siap dibina pada Disember tahun ini. Adalah difahamkan bahawa mercu tanda tersebut dibina di atas satu lot tanah swasta dan perbelanjaan keseluruhannya dari masyarakat Cina tempatan.

Di sini saya ingin bertanya dua kementerian iaitu Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan apakah sumbangan dari segi kewangan dan sebarang usaha yang diberi oleh kedua-dua kementerian ini kerana Yang Berhormat Timbalan Menteri pernah sebut bahawa beliau bersedia memberikan kerjasama dalam kejayaan pembinaan mercu tanda tersebut.

Soalan kedua, saya ingin kementerian memberikan penjelasan mengapa dalam jawapan lisan yang bertarikh 4 Oktober 2011 bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan hanya menyediakan peruntukan untuk membantu PBT membina kemudahan-kemudahan awam yang berkepentingan kepada rakyat. Adakah Yang Berhormat Menteri cuba mengimplikasikan kejayaan Persatuan Tarian Singa dan Naga Kun Sen Keng Muar yang telah menaikkan nama Malaysia sebagai Juara Dunia sebanyak 30 kali di dalam Pertandingan Antarabangsa adalah tidak penting kepada rakyat terutamanya rakyat di Muar. Bukankah kewujudan kebanyakan tarian singa negara ini telah mencipta satu keunikan eksklusif yang mencerminkan masyarakat majmuk kita seperti apa yang dikenalkan oleh slogan dan konsep 1Malaysia.
■2000
Saya harap kedua-kedua kementerian yang saya sebutkan di atas boleh memberikan penjelasan yang memuaskan kepada penduduk-penduduk di Muar. Saya minta penjelasan mengenai satu soalan yang saya bangkitkan pada 23 Jun 2011 di Dewan yang mulia ini. Oleh kerana soalan ini tidak dijawab dan saya tidak terima sebarang jawapan secara bertulis dari Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, maka saya terpaksalah mengulang soalan saya di sini dan berharap Menteri berkenaan boleh jawab dengan betul.

Senaraikan nama pemilik sebuah syarikat bernama Southern Ads Sdn. Bhd. (No.Pendaftaran 627954-B). Adakah Majlis Bandaraya Johor Bahru sudah menyerahkan kuasa mengeluarkan permit untuk papan tanda, banner dan pengutipan yuran kepada syarikat ini? Sejak bila Majlis Bandaraya Johor Bahru menyerahkan kuasa ini kepada syarikat swasta ini? Apakah dasar KPKT dalam penyerahan penguatkuasaan ini? Satu soalan pendek yang saya minta penjelasan dari Kementerian Dalam Negeri bahawa berapakah kes sumbang mahram atau inses yang telah didakwa di negara kita dari tahun 2001 sehingga tahun ini? Senaraikan dengan pecahan umur, bangsa, kaum dan negeri.

Berhubung dengan permasalahan bekalan air di Mukim Air Hitam kawasan Bukit Naning, Bakri. Jawapan yang diberikan oleh pihak kementerian adalah sangat tidak memuaskan. Ini tidak mencerminkan amalan pengurusan yang baik. Hanya perenggan pertama sahaja yang memenuhi kehendak soalan saya. Yang lainnya adalah maklumat tambahan mengenai projek-projek bekalan air yang dilaksanakan di Mersing, Simpang Renggam dan Labis. Jawapan panjang lebar yang diberikan ini adalah merupakan maklumat yang tidak berkenaan di dalam isu ini. Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyatakan bahawa permohonan pembinaan tangki dan rumah paip air bagi kawasan ini telah disenaraikan di bawah rolling plan kedua RMKe-10. Namun begitu, tiada penjelasan lanjut mengenai perkara ini. Saya ingin memohon pihak kementerian untuk memperjelaskan perkara ini.

Apabila pihak kementerian menyatakan bahawa terdapatnya perancangan di dalam rolling plan kedua untuk melaksanakan projek pembinaan tangki dan rumah paip. Seharusnya, pihak kementerian telah mempunyai perancangan yang rapi. Pihak kementerian boleh menyatakan mengenai spesifikasi isi padu tangki dan tarikh yang spesifik bagi pembinaan tangki dan rumah paip ini agar perkara ini boleh diperhalusi untuk melihat kesesuaian kawasan ini.

Pihak Syarikat Air Johor dalam jawapan e-mel yang dihantar kepada saya telah menyatakan sejak tahun 2003 pihak SAJ telah melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan terhadap sistem bekalan air di kawasan tersebut. Pemasangan paip 500mm sepanjang 10km yang siap telah pada tahun 2003 dengan kos berjumlah RM4.1 juta dan pemasangan paip berukuran 400mm sepanjang 3.5km dengan kos berjumlah RM4.7 juta yang siap pada Ogos 2009 membantu penduduk kawasan Bukit Naning menerima bekalan air bersih dengan tekanan air sewajarnya.

Ini bermakna penduduk di kawasan tersebut boleh menerima bekalan air secara terus dari tangki air Bukit Dinding tanpa melibatkan pembinaan tangki baru di Bukit Naning. Terdapat percanggahan di dalam kedua-dua jawapan ini. Pihak kementerian menyatakan permohonan telah disenaraikan dalam rolling plan kedua RMKe-10. Namun, dalam masa yang sama, SAJ telah menyatakan bahawa tiada keperluan untuk pembinaan tangki baru.

Ini semakin mengelirukan mengenai hasrat sebenar pihak terbabit sama ada ingin membina ataupun tidak. Dalam e-mel yang sama juga, pihak SAJ telah menyatakan bahawa tekanan air terutamanya di kawasan tinggi bagi kawasan Bukit Naning mematuhi piawaian yang ditetapkan iaitu 10 meter dan SAJ juga telah menjalankan kerja-kerja naik taraf paip bekalan air bernilai RM8.6 juta pada tahun 2003 dan 2009. Namun, masalah yang dihadapi oleh penduduk setiap kali musim perayaan tetap juga berlaku saban tahun. Setelah berbelanja jutaan ringgit, namun masalah tetap berlaku. Kenapa? Satu penjelasan yang telus perlu diberikan berkaitan perkara ini.

Seterusnya, saya ingin menyentuh isu Senai-Desaru Expressway atau diperkenalkan sebagai SDE. SDE dengan panjangnya 77km merupakan satu infrastruktur yang amat penting dalam pembangunan Johor Selatan. Projek ini bukan sahaja memudahkan penduduk-penduduk dari sekitar Pengerang, Bandar Penawar untuk ke Ulu Tiram dan Pasir Gudang Johor Bahru namun memendekkan perjalanan dari dua jam ke setengah jam.

Selepas lebuh raya tersebut dirasmikan pada 10 Jun 2011, saya menerima banyak komen mengenai isu-isu di SDE. Kebanyakan komen-komen tersebut menggunakan perkataan pelik untuk menggambarkan keadaan jalan raya di SDE khususnya laluan Cahaya Baru ke Desaru. Menurut komen-komen yang saya terima kesimpulannya adalah seperti berikut:-
(i) inilah kali pertama rakyat menjumpai lebuh raya dengan satu lorong satu hala dari Cahaya Baru hingga Desaru. Ramai rakyat menganggap lebuh raya satu lorong ini sebagai satu bahan ketawa kepada dunia dan ia seharusnya dimasukkan sebagai Malaysia Book of Records; dan
(ii) sekiranya jalan raya tersebut dikategorikan sebagai lebuh raya seperti apa yang dinyatakan oleh Lembaga Lebuh Raya Malaysia, yang mana piawaian surat diikuti. Sila jelaskan bagaimana sesebuah kereta dapat memotong kereta depan dengan kelajuan 90km seperti apa yang ditetapkan di satu lebuh raya dengan satu lorong satu hala.

Seterusnya, saya hendak bangkitkan lagi satu isu iaitu Profesor Dr. Syeikh Yusuf Al-Qardhawi dalam khutbah Jumaat bertarikh 12 April 2002 seperti disiarkan di dalam fatwa, hakam dan...‘muhadaroh’ telah menyeru umat Islam dan negara Islam untuk memboikot semua produk dan membatalkan hubungan dagangan dengan Israel. Beliau menegaskan bahawa perbuatan mengadakan hubungan dagangan dengan Israel adalah tergolong dalam dosa-dosa besar dan kerajaan adalah bertanggungjawab untuk melaksanakan dasar tersebut.

Malaysia sebuah negara yang kononnya tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel. Itulah persepsi yang cuba diwujudkan kononnya kerajaan Barisan Nasional ini membentuk polisi anti-Israel dan pro Palestin. Akan tetapi sedar atau tidak kita sebenarnya mempunyai hubungan dagangan secara langsung dan tidak langsung dengan Israel dan ini merupakan pengkhianatan terhadap polisi negara ini. Malah, ia seperti menipu dunia dan rakyat Malaysia berkaitan hal ini. Sebelah tangan kita anti-Israel tetapi sebelah tangan lagi kita membantu ekonominya.
■2010
Berdasarkan satu artikel dalam laman web anakmudamalaysia.com, Solidariti Anak Muda Malaysia telah menyatakan secara jelas bahawa, Dalam satu sesi pemerintahan ini memunculkan imej anti-Israel dan pro Palestin. Malah pemerintah ini pula me’wajah’kan lawan politik dalam negara sebagai agen Yahudi dan Israel dalam pelbagai imej seolah-olah anti Islam. Namun dalam wajah yang lain, Malaysia ialah antara negara umat Islam yang dipimpin oleh pemimpin Islam telah menjadi rakan dagang penyumbang kepada ekonomi Israel. Beberapa bukti seperti borang kastam yang membuktikan bahawa Malaysia merupakan rakan dagang yang memastikan ekonomi Israel terus segar dan terus berupaya membeli senjata untuk membunuh umat Islam Palestin turut telah didedahkan kepada umum.

Dahulu sememangnya Malaysia mempunyai satu undang-undang yang dipanggil Akta Larangan Perdagangan yang menghalang sebarang hubungan dagang secara langsung dan tidak langsung dengan dua buah negara iaitu Israel dan Afrika Selatan kerana dasar Apartheid. Namun sebaik sahaja dasar Apartheid di Afrika Selatan runtuh maka pada tahun 1994 di bawah Kabinet Tun Mahathir dasar kerajaan telah diubah dengan meluluskan pindaan Akta Larangan Import (Pindaan Bil.7) yang bukan sahaja menarik balik sekatan larangan dagangan dengan Afrika Selatan. Akan tetapi kesempatan diambil untuk menjalinkan hubungan dagangan dengan Israel. Sejak daripada itu Malaysia menjadi antara rakan dagangan utama dan penyumbang kekuatan ekonomi kepada negara haram Israel ketika kebanyakan negara memboikot Israel.

Di perpustakaan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Antarabangsa dengan jelas terdapat banyak bahan-bahan mempromosi produk Israel seperti majalah Israel-Asia Trade, Israel Review, buku Advantage Israel, Trade Policies Review Israel, Advance Technology From Israel, Opportunity Israel, The Economics of Israel, Douanes (iaitu buku kod tarif perdagangan Israel) dan beberapa lagi.

Micha Harish, Israel Minister of Industry and Trade, Israel-Asia Chamber of Commerce pernah menulis kata-kata aluan yang dipetik dalam satu majalah promosi perdagangan Israel seperti berikut dengan izin, “The public declaration of the Malaysian Prime Minister and Minister of International Trade and Industrial that their country intends to pursue economic relations with Israel is another milestone in the development of trade this continent. “

Micha Harish menggambarkan bahawa Perdana Menteri Malaysia telah menyatakan hasrat dengan kementeriannya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bahawa Malaysia ingin mewujudkan hubungan ekonomi dengan negara Israel. Benarkah kenyataan ini? Sekiranya tidak benar Perdana Menteri harus menafikan kenyataan Micha Harish ini. Sekian terima kasih.

No comments:

Post a Comment