2011-10-14

Maut kemalangan meningkat

Sinar Harian 14.10.2011

JOHOR BAHRU – Sebanyak 438 kematian melibatkan motorsikal direkodkan lapan bulan pertama tahun ini, berbanding 433 kematian bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri, Noormazura Mat Nawi berkata, bilangan kematian itu yang membabitkan penunggang atau pembonceng motorsikal meningkat 1.2 peratus.

“Kematian melibatkan motorsikal ini konsisten, dan menyumbang 60 peratus kadar kematian akibat kemalangan oleh penunggang atau pembonceng kenderaan ini.

“Bagi Januari hingga Ogos tahun ini keseluruhan kematian kemalangan ialah 717 dan lebih separuh daripadanya membabitkan motorsikal,” katanya yang ditemui pada majlis Pembukaan Cawangan Allianz JB Synergy, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad (AMB), Jens Reisch.

Noormazura berkata, kebanyakkan kematian yang melibatkan motorsikal ini mengalami kecederaan di kepala.

“Kesedaran mengenai pemakaian topi keledar yang menepati piawaian SIRIM dan memakainya dengan betul perlu diberi penekanan.

“Penunggang dan pembonceng motorsikal ini terdedah dengan risiko kemalangan yang tinggi, dan dengan perlindungan dan langkah-langkah pencegahan seperti pemasangan pelekat bercahaya, pemakaian topi keledar, dapat mengurangkan kadar kemalangan sekaligus kematian,” katanya.

Noormazura berkata, di Johor Bahru seramai 10,000 penunggang motorsikal yang menaiki kenderaan itu setiap hari.

Pada majlis sama, Allianz Malaysia Berhad turut memberi 50 topi keledar percuma kepada penunggang motorsikal yang melalui laluan utama pembukaan cawangan ke 19 syarikat tersebut menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Noormazura turut memuji inisiatif syarikat itu yang merupakan syarikat insurans pertama yang menandatangani persefahaman bersama JKJR dalam langkah mengurangkan kadar kemalangan ‘Zero Fatality’ sejak 18 Julai lalu.

No comments:

Post a Comment