Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin  menyentuh tentang cadangan Menteri Besar Negeri Johor untuk membina  mercu tanda tarian singa di Muar. Ini demi mengenangkan ketekunan dan  kejayaan Persatuan Tarian Singa dan Naga Kun Seng Keng, Muar yang telah  menaikkan nama Malaysia sebagai juara dunia dalam pertandingan  antarabangsa.
Menteri Besar Negeri Johor yang berjiwa rakyat dan  berpandangan jauh kagum dengan keunggulan tarian singa ini yang telah  terjelma sebagai budaya dan seni negara baru yang sebati dengan keunikan  masyarakat berbilang kaum. Sebelum tahun 90-an, di samping seni  mempertahankan diri kungfu, tarian singa dianggapkan sebagai seni dan  budaya negara China sahaja. Tidak pernah terlintas dalam fikiran bahawa  tarian singa akan berkembang pesat dan menyinar gemilang di arena  antarabangsa selepas munculnya pasukan Persatuan Tarian Singa dan Naga  Kun Seng Keng. Pasukan tersebut telah gigih menjalankan latihan dengan  tanggungan sendiri dan sedikit sumbangan daripada dermawan tempatan.  Satu kebanggaan negara, juara 30 kali di arena antarabangsa dan juara 39  kali di arena kebangsaan.
Pergerakan sukan tarian singa,  khasnya Sukan Tarian Singa Lompatan Atas Tiang Tinggi telah  diisytiharkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negara  sebagai warisan negara pada Julai 2007. Oleh itu sukan ini berpotensi  diperluaskan ke arena sukan kebudayaan antarabangsa dan menepati  semangat ‘Malaysia Boleh’. Pengiktirafan Kerajaan Malaysia terhadap  sukan tarian singa telah diakui dengan sukan ini diketengahkan di  pelbagai upacara rasmi.
Kewujudan Batik Singa menunjukkan  kebudayaan tarian singa negara ini telah mencipta satu keunikan  eksklusif yang mencerminkan masyarakat majmuk kita. Ia telah menjadi  lambang singa Malaysia. Sukan tarian singa ini bukan khas untuk satu  kaum sahaja. Satu bentuk tarian singa yang berasaskan kemalaysiaan,  iaitu tarian singa yang digabungkan dengan kompang telah sejati dalam  budaya kita. Akan tetapi, kenyataan yang dibuat oleh Yang di-Pertua  Majlis Perbandaran Muar baru-baru ini agak mengelirukan dan  mendukacitakan rakyat tempatan. Dikatakannya tarian singa ini merupakan  simbolik keagamaan. Jika mercu tanda singa dibina akan mengungkit  sentimen perkauman dan mengancam keharmonian masyarakat. Adalah tidak  masuk akal bahawa seorang pegawai tinggi kerajaan masih tidak dapat  membezakan makna agama dengan seni budaya. Lagi pula, kenyataan beliau  tidak selaras dengan pemahaman dan pengamatan Menteri Besar Negeri  Johor. Bagi seorang pegawai yang tidak serasi dengan wawasan dan hala  tuju ketua negeri mahupun pusat kerajaan, mustahil boleh menguruskan  pentadbiran tempatan dengan berkesan dan cekap.
Tuan Yang  di-Pertua, saya harap kementerian boleh berganding bahu dengan Kerajaan  Negeri dalam menjayakan pembinaan mercu tanda tarian singa dan  mengisytiharkan sebagai budaya dan seni negara. Selanjutnya memberikan  peruntukan tahunan yang setimpal untuk membangunkannya sebagai tarikan  pelancongan dan perpaduan kaum, malah boleh dibangunkan sebagai industri  baru yang boleh menguntungkan negara nanti. Terima kasih.
Timbalan  Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Terima  kasih. Yang Berhormat Menteri menjawab.
Timbalan Menteri  Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan II [Datuk Maglin Dennis D’cruz]:  Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan  ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Bakri atas ucapan penangguhan  beliau yang bertajuk ‘Pembinaan Mercu Tanda Tarian Singa di Bandar  Muar’.
Tarian singa adalah sebahagian daripada tarian  tradisional yang diamalkan oleh masyarakat Cina yang mana penari akan  meniru gerakan singa dengan menggunakan kostum singa. Meskipun tarian  ini berasal dari negara China, ia juga popular di negaranegara lain  seperti di Taiwan, Jepun, Korea, Thailand dan Vietnam. Setiap negara  tersebut mempunyai corak dan bentuk tarian yang berbeza. Tarian ini  tidak mempunyai kaitan langsung dengan keagamaan masyarakat Cina.  Walaupun berasal dari negara China, tarian ini telah diiktiraf sebagai  warisan kebangsaan pada tahun 2007, kerana tarian tersebut telah  berinovasi di negara ini. Di antara keunikan tarian singa yang dimainkan  di negara ini adalah, ia telah ditambah dengan pergerakan tarian atas  tiang. Sedangkan di negara China, tarian ini tidak dimainkan di atas  tiang. Kementerian ini amat menghargai usaha dan inisiatif Persatuan  Tarian Singa dan Naga Kun Seng Keng dalam memperkenalkan tarian singa  yang berciri tempatan. Usaha ini harus dipuji memandangkan semangat  gigih pasukan dalam mengangkat tarian warisan ini merupakan salah satu  daripada tarian yang telah diiktiraf sebagai warisan kebangsaan.
Berhubung  dengan cadangan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor tentang  pembinaan mercu tanda tarian singa di bandar Muar. Kementerian ini  bercadang adalah baik sekiranya mercu tanda tersebut dibina di sekitar  perkampungan persatuan. Pembinaan mercu tanda akan dapat memperkenalkan  keunikan seni dan budaya masyarakat berbilang kaum di negara ini dan  usaha ini juga dilihat sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat Cina,  khususnya Persatuan Tarian Singa dan Naga Kun Seng Keng.
Usaha  ini juga diharapkan jadi rangsangan kepada persatuan untuk terus  mengasah bakat agar terus berkembang di peringkat antarabangsa. Di  samping itu secara tidak langsung mercu tanda yang akan dibina ini akan  jadi tarikan pelancong untuk lebih mengenali sejarah perkembangan  persatuan seperti tokoh-tokoh berkaitan tempat latihan dan gambar-gambar  kejayaan yang telah dicapai oleh persatuan. Kementerian ini bersedia  memberikan kerjasama dalam usaha kejayaan pembinaan mercu tanda  tarian singa tersebut. Sekian, terima kasih.
 
 
No comments:
Post a Comment