DR.24.6.2010
UCAPAN-UCAPAN PENANGGUHAN
Kuasa Menteri  Membuat Peraturan Dalam Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78)
5.30  ptg.
Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Kuasa Menteri membuat  peraturan-peraturan dalam Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78). Terima  kasih Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh tentang kuasa yang  diperuntukkan kepada menteri membuat peraturanperaturan dalam Akta  Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78).
Saya juga ingin berterima  kasih kepada Yang Berhormat Menteri yang telah memberikan jawapan  bertulis untuk menjelaskan kekeliruan yang timbul akibat tercatat  tulisan Cina oleh ibu bapa atas sijil kelahiran anak mereka. Seksyen  7(3) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) telah  memperuntukkan bahawa pendaftar boleh, selepas mencatatkan dalam  butir-butir yang ditetapkan mengenai kanak-kanak tersebut, membenarkan  pemberitahu yang layak untuk memasukkan dengan cara yang boleh  ditetapkan nama kanak-kanak itu dan nama bapanya dan ibu kanak-kanak  tersebut dalam tulisan Cina. Walau bagaimanapun, nama kanak-kanak di  dalam Sijil Kelahiran didaftarkan dengan tulisan Rumi (Roman) tanpa  mengira keturunan dan bangsa kanak-kanak bagi tujuan penyeragaman.
Tuan  Yang di-Pertua, saya ingin membuat huraian ringkas kenapa ibu bapa kaum  Cina mencatatkan nama Cina atas Sijil Kelahiran anak-anak mereka. Nama  ibunda ataupun “surname” kaum Cina adalah sebutan loghat ataupun  keturunan, yang menggambarkan asal usul nenek moyang, bukanlah sebutan  Mandarin yang jitu. Kaum Cina mempunyai beratus keturunan seperti  Hokkien, Hainan, Teochew, Kantonese dan sebagainya mempunyai loghat dan  sebutan yang berbeza, mungkin sebutan dalam tulisan Rumi adalah sama.  Contohnya, Ong Tee Kiat and Ong Kang Ting, sebutan Ong adalah sama dalam  bahasa Rumi tetapi maksud Mandarin adalah lain kerana perbezaan  keturunan, iaitu Hainan dan Hokkien.
Bahasa Mandarin adalah dalam  bentuk “heuroglifa” ataupun dikenali sebagai tulisan lambang. Masyarakat  Cina adalah berpegang teguh kepada asal-usul nenek moyang mereka dengan  sebutan loghat yang dapat membuat perbezaan keturunan. Mengikut  taksiran Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78), peraturan-peraturan  6(1) bahawa menteri boleh membuat peraturan-peraturan bagi maksud akta  ini. Fasal C pula menyatakan bahawa maklumat dan dokumen yang diberikan  bagi maksud pendaftaran dan fasal E pula menyatakan pengeluaran dan  bentuk kad pengenalan dan butir-butir yang hendaklah dicatatkan  dalamnya.
Ini bermakna menteri berkuasa dalam membuat peraturan  baru dalam sijil pendaftaran mengikut akta. Saya minta Yang Berhormat  Menteri mempertimbangkan untuk mewujudkan satu ruang tambahan untuk nama  Cina dalam Sijil Kelahiran supaya ia nampak lebih seragam untuk  kemudahan pengenalpastian asal keturunan mereka.
Begitu juga ruang  tambahan ini boleh digunakan oleh kaum India, Kadazan, Iban dan  sebagainya dan pelbagai bahasa ibunda yang mempunyai loghat yang lain  dengan tujuan yang sama. Ini secara langsung memberi kemudahan kepada  masyarakat majmuk yang berbilang kaum dan keturunan mengenang kembali  asal usul mereka yang dapat melambangkan suatu keunikan kemasyarakatan  yang mana semua kaum yang berlatarbelakangkan pelbagai keturunan boleh  hidup aman dan harmoni di bawah satu bumbung. Terima kasih.
Timbalan  Menteri Dalam Negeri II [Dato’ Lee Chee Leong]: Saya mengucapkan  terima kasih di atas keprihatinan Yang Berhormat Bakri berkenaan isu dan  permasalahan ini.
Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang  Berhormat, Jabatan Pendaftaran Negara adalah agensi di bawah Kementerian  Dalam Negeri yang bertanggungjawab mengurus data kependudukan bagi  tujuan keselamatan dan perancangan pembangunan negara. Dalam konteks ini  Jabatan Pendaftaran Negara memainkan peranan utama untuk mendaftar,  menyelenggara, menyimpan dan mengeluarkan rekod pengenalan diri yang  sahih bagi semua rakyat Malaysia.
Sejak Akta Pendaftaran  Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) dikuatkuasakan pada 1 Ogos 1958,  Sijil Kelahiran telah dikeluarkan secara manual dan menggunakan tulisan  tangan. Oleh yang demikian, jabatan pada masa ini tidak mempunyai  masalah untuk memasukkan butiran nama mengikut tulisan bahasa selain  daripada tulisan Rumi seperti tulisan Cina, Tamil dan Jawi. Walau  bagaimanapun merujuk kepada akta ini juga, sebelum mendaftarkan sesuatu  kelahiran, pendaftar kelahiran perlulah berpuas hati dan memahami  butiran yang hendak didaftarkan. Oleh yang demikian tulisan Rumi telah  diguna pakai pada semua dokumen rasmi jabatan termasuk Sijil Kelahiran.
Untuk  makluman Ahli Yang Berhormat, seksyen 7(3) Akta Pendaftaran Kelahiran  dan Kematian 1957 ada memperuntukkan bahawa dalam hal kanak-kanak  keturunan Cina, pendaftar boleh selepas mencatatkan dalam daftar  butir-butir yang ditetapkan mengenai kanak-kanak membenarkan pemberitahu  yang layak untuk memasukkan dengan cara yang boleh ditetapkan, nama  kanak-kanak itu dan nama bapanya dan ibu kanak-kanak tersebut dalam  tulisan Cina. Walau bagaimanapun seksyen tersebut tidak mewajibkan  perkara ini dilaksanakan seperti yang dijelaskan dalam versi bahasa  Inggeris Akta 299 iaitu, “In the case of a child of the Chinese race the  Registrar may, after entering in the register the prescribed  particulars of such child, permit a qualified informant”.
Jabatan  juga tidak bercadang untuk melaksanakan semula peruntukan ini kerana di  dalam Sijil Kelahiran telah tercatat ruangan keturunan sebagai salah  satu maklumat yang tercatat di dalam Sijil Kelahiran dan boleh  memberikan pengertian mengikut sebutan atau loghat sesuatu keturunan.  Contoh, nama surname kanak-kanak adalah mengikut pilihan pemohon seperti  Lee – L.E.E. atau Lee – L.Y.E yang sebutannya adalah sama tetapi  berbeza mengikut keturunan selain ianya turut mengambil kira apa yang  dipersetujui oleh keluarga pemohon.
Selaras dengan pelaksanaan  sistem pengkomputeran JPN di seluruh negara pada tahun 1998, Sijil  Kelahiran yang dikeluarkan oleh jabatan telah diseragamkan tulisannya  kepada tulisan Rumi dan bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa  pengantara. Penambahbaikan yang telah dilaksanakan kepada sistem sedia  ada, jabatan telah membolehkan Sijil Kelahiran dikeluarkan secara  digital menggunakan tulisan Rumi selaras dengan peruntukan di dalam  Perlembagaan Malaysia perkara 152(1). Perlembagaan Malaysia perkara  152(1) menyatakan bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu dan hendaklah  ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan  undang-undang oleh Parlimen.
Perkara 152(6) pula menyatakan  maksud “rasmi” ertinya apa-apa jua maksud kerajaan sama ada Kerajaan  Persekutuan atau kerajaan negeri dan termasuklah apaapa maksud sesuatu  pihak berkuasa awam. Asas penggunaan bahasa Melayu diperkukuhkan dengan  wujudnya seksyen 2, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Akta 32), bahasa  kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi. Sehubungan dengan itu  pendekatan yang telah diambil oleh jabatan selama ini merupakan satu  pendekatan untuk menjaga sensitiviti kepelbagaian kaum dan masyarakat  majmuk yang ada di Malaysia. Dalam masa yang sama jabatan juga sedang  mengkaji untuk melaksanakan pindaan undang-undang selaras dengan  perkembangan serta keperluan semasa.
Di samping itu, pelaksanaan  peruntukan ini juga boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati kaum-kaum  di Malaysia dengan memberi keutamaan kepada sesuatu kaum sahaja tanpa  melihat kesannya kepada masyarakat Malaysia secara keseluruhannya  sejajar dengan Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Yang Amat  Berhormat Perdana Menteri Malaysia yang keenam. Sekian, terima kasih.
Timbalan  Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Terima  kasih Yang Berhormat. Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan bersidang semula  pada pukul 10.00 pagi pada hari Isnin 28 Jun, 2010.
 
 
No comments:
Post a Comment