2010-06-22

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : LISAN
DARIPADA : TUAN ER TECK HWA[BAKRI]
TARIKH : 22 JUN 2010

SOALAN

Tuan Er Teck Hwa [ Bakri ] minta PERDANA MENTERI menyatakan bilangan kakitangan (awam) kontrak yang diambil sejak tahun 2005:-
(a)senaraikan perbelanjaan pengupahan kakitangan aware kontrak mengikut Kementerian; dan
(b)apakah perancangan Kementerian ini untuk mengurangkan pergantungan kepada kakitangan awam kontrak.

JAWAPAN :YB. DATO' SERI MOHAMED NAZRI ABDUL AZIZ
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

Tuan Yang di-Pertua,
(a)Sehingga 31 Disember 2009, jumlah kakitangan awam atau pegawai lantikan kontrak yang masih berkhidmat dalam perkhidmatan awam adalah seramai 33,827 orang. Jumlah ini melibatkan pelbagai skim perkhidmatan antaranya Pegawai Perubatan, Pensyarah Universiti, Pegawai Tadbir dan Diplomatik, Jururawat, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma, Pembantu Penerangan (JASA) dan Pembantu Pembangunan Masyarakat (KEMAS). Pegawai lantikan kontrak layak menerima gaji, elaun dan kemudahan berdasarkan syarat-syarat yang telah dipersetujui dalam perjanjian kontrak. Perbelanjaan yang diperuntukkan bagi tujuan pembayaran emolumen (pengupahan) kepada pegawai lantikan kontrak untuk tempoh 5 tahun mulai 2005 hingga 2009 dianggarkan sebanyak RM522juta dengan purata sebanyak RM104.4juta setahun. Sebanyak 90 peratus daripada anggaran perbelanjaan tersebut dibuat oleh tiga kementedan iaitu Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

(b)Bagi mengurangkan pergantungan kepada pegawai lantikan kontrak, Kementerian telah dan akan membuat perancangan berikut:

(i)mengkaji kesesuaian tugas-tugas yang dilaksanakan oleh pegawai lantikan kontrak bagi tujuan diwujudkan jawatan tetap;
(ii)meningkatkan kemahiran dan kepakaran pegawai tetap dan menambah baik pelaksanaan pelan penggantian bagi mengurangkan kebergantungan kepada pegawai lantikan kontrak dari kalangan pesara; dan
(iii)meningkatkan peluang kepada warganegara untuk mengikuti pengajian dalam bidang kritikal seperti perubatan dan penyelidikan supaya pergantungan kepada pegawai kontrak bukan warganegara dapat dikurangkan.

Walau bagaimanapun, terdapat Kementerian tertentu yang masih memerlukan perkhidmatan pegawai lantikan kontrak berdasarkan fungsi dan skop tugas jawatan yang lebih sesuai dilaksanakan secara kontrak seperti Pembantu Penerangan (JASA) dan Pembantu Pembangunan Masyarakat (KEMAS).
Sekian. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment