Ketika saya membahaskan isu cadangan  pembinaan Mercu Tanda Tarian Singa di Parlimen pada 18 Jun 2010 untuk  mengenangkan jasa Persatuan Tarian Singa Kun Seng Keng yang telah  berjaya mengharungi nama Malaysia di peringkat antarabangsa, Timbalan  Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan II, Datuk Maglin Dennis  D’cruz telah berjanjikan bahawa kementeriannya juga amat menghargai  sumbangan kejayaan tarian singa ini dan akan turut memberikan kerjasama  dalam usaha mendirikan Mercu Tanda tersebut di Muar supaya membolehkan  orang ramai lebih memahami kebudayaan tersebut. Saya amat menghargai  maklum balas yang positif daripada Kementerian Penerangan, Komunikasi  dan Kebudayaan dalam merealisasikan usaha pendirian mercu tanda  tersebut.
Datuk Maglin Dennis D’cruz berkata: " Berhubung dengan  cadangan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor tentang pembinaan  mercu tanda tarian singa di bandar Muar, Kementerian ini bercadang  adalah baik sekiranya mercu tanda tersebut dibina di sekitar  perkampungan persatuan."
Kenyataan daripada Timbalan Menteri  agak mengelirukan. Tarian Singa di Muar merupakan persembahan kebudayaan  nasional yang diiktiraf oleh kerajaan malah telah menerima pelbagai  tawaran pertunjukkan di upacara peringkat nasional dan antarabangsa.  Kenapa Timbalan Menteri berpendapat bahawa Mercu Tanda tersebut harus  didirikan di tapak swasta, bukan tempat awam? Adakah pendirian Timbalan  Menteri adalah bersamaan dengan pendirian Ketua Majlis Perbadaran Muar  sebelum ini yang menyatakan Mercu Tanda Tarian Singa mewakili simbol  keagamaan yang boleh menimbulkan sentiment keagamaan antara kaum?  Sekiranya ya, apakah logiknya Mercu Tanda tersebut yang telah diakui  sendiri oleh Timbalan Menteri bahawa tarian ini tidak mempunyai kaitan  langsung dengan keagamaan masyarakat Cina dalam jawapan lisan di dalam  Dewan Rakyat akan menimbulkan perbalahan kaum?
Tujuan pembinaan  mercu tanda tersebut adalah untuk mengenang jasa dan sumbangan  kebudayaan tarian singa, malah boleh dijadikan sebagai tempat lawatan  oleh pelancong luar. Tidak kira sama ada mercu tanda tersebut telah  mewakili kebudayaan Melayu, kebudayaan Cina, kebudayaan India,  kebudayaan Kadazan atau kebudayaan kaum asli lain, kesemuanya merupakan  kebudyaan unik rakyat Malaysia, mengapa kerajaan harus "menyembuyikan"  kebudayaan Malaysia yang dikenali di peringkat antarabangsa di tapak  swasta persatuan tersebut? Bukankah ia merupakan tugas kerajaan  persekutuan terutamanya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan  Kebudayaan adalah untuk mempromosikan kebudayaan unik yang diterima baik  oleh pelbagai kaum Malaysia ke arena antarabangsa?
Saya menyeru  supaya Kerajaan Pusat bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor untuk  mendirikan mercu tanda tersebut di kawasan orang ramai seperti Dataran  Tanjung Emas, persimpangan bulatan atau di mana-mana tempat kunjungan  orang ramai di bandar Muar, untuk membuktikan kejujuran kerajaan pusat  untuk mengiktirafkan kejayaan dan sumbangan Tarian Singa tersbut yang  telah mengharumkan nama baik negara.
Ahli Parlimen Bakri
Er Teck Hwa
 
 
No comments:
Post a Comment