2010-11-03

Usual Menangguhkan Mesyuarat Di bawah P.M. 18(1) : Suruhanjaya Diraja Menyiasat Punca Kemalangan Bas Ekspres (pengemukaan)

DR.3.11.2010 25

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya, sila Yang Berhormat.

11.33 pg.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Dengan segala hormatnya saya ingin memberikan notis pemberitahuan di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) untuk mengemukakan usul seperti berikut.

Pada malam 29 Oktober 2010, sebuah bas yang membawa 44 orang pelajar dan dua orang pemandu telah hilang kawalan dan terbabas di Genting Sempah. Hal ini menyebabkan tujuh orang penumpang mati dan 39 orang lagi mengalami kecederaan. Saya telah mengemukakan Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18 pada 14 Oktober 2010 supaya membincangkan kemalangan melibatkan bas ekspres yang sering kali berlaku. Saya juga mencadangkan supaya satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat dan menyelidik perkara ini. Dalam usul tersebut penjelasan telah diberi supaya penyiasatan dan penyelidikan yang dijalankan oleh kerajaan terhadap kemalangan bas ekspres yang berlaku ternyata gagal dalam menghalang tragedi ini daripada terus berlaku.

Malangnya dalam masa kurang dari dua minggu selepas usul saya ditolak kemalangan yang melibatkan bas ekspres telah berlaku sekali lagi dan kali ini telah mengorbankan tujuh orang pemuda. Penjelasan yang diberikan oleh kerajaan telah gagal untuk meredakan kegelisahan rakyat kerana kemalangan bas ekspres kerap berlaku. Maka saya mencadangkan kerajaan harus menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja yang natural untuk menjalankan siasatan ke atas dua kemalangan yang disebut di atas untuk mengutamakan dan menghayati keselamatan rakyat. Memandangkan semua pihak serius dalam usaha menghindari keselamatan rakyat daripada ancaman sebegini maka saya berharap agar usul ini dapat dibahaskan oleh semua Ahli Dewan. Sekian, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ahli-ahli Yang Berhormat, saya telah menerima satu pemberitahu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) daripada Ahli Yang Berhormat kawasan Bakri pada hari Isnin, 1 November 2010. Teks usul itu adalah seperti yang dibacakan oleh Ahli Yang Berhormat itu sebentar tadi.

Bagi membolehkan perkara ini ditimbangkan oleh Majlis Mesyuarat hari ini, saya sebagai Tuan Yang di-Pertua hendaklah berpuas hati bahawa perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat itu memenuhi tiga syarat iaitu:

(i) bahawa perkara itu tertentu;
(ii) bagi kepentingan orang ramai; dan
(iii) ia berkehendak disegerakan.

Saya telah meneliti perkara ini dan saya dapati bahawa perkara ini adalah perkara tertentu. Kedua, kepentingan orang ramai. Ia adalah kepentingan orang ramai. Ketiga, berkehendak disegerakan. Perkara ini juga perlu disegerakan. Oleh yang demikian, saya membenarkan usul ini dibahaskan.

Mengikut Peraturan Mesyuarat 18(3)(b), “Usul ini hendaklah ditempohkan sehingga pukul 4.30 petang hari ini...” dan hendaklah ditangguhkan pada pukul 5.30 petang. Saya akan membenarkan pihak pencadang membahaskan selama 30 minit dan selepas itu pihak kerajaan menjawab selama 30 minit.

Saya jemput Yang Berhormat Menteri untuk membacakan usul.

No comments:

Post a Comment