2010-11-01

Jawapan Peringkat Dasar Bajet 2011

JAWAPAN BERTULIS
Y.B. DATO' SERI MOHAMED NAZRI BIN ABDUL AZIZ,
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
SEMASA MENGGULUNG PERBAHASAN BAJET 2011
PERINGKAT DASAR PADA 1 NOVEMBER 2010

Tuan Yang di-Pertua,

Yang Berhormat Kuala Langat, Yang Berhormat Sungai Petani, Yang Berhormat Kuala Krau dan Yang Berhormat Bakri mencadangkan agar gaji dan elaun Ahli-Ahli Parlimen dikaji semula dan diberi seorang penyelidik. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, menyedari akan tugas dan tanggungjawab Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua serta Ahli-Ahli Dewan pada masa ini yang semakin mencabar, maka Kerajaan bersedia menimbang untuk mengkaji cadangan menaikkan gaji Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta elaun bulanan Ahli-Ahli Dewan. Namun, ia akan dilaksanakan pada masa yang sesuai dengan mengambil kira kemampuan dan kedudukan kewangan Kerajaan.

Berhubung cadangan agar setiap Ahli Parlimen diberi seorang penyelidik pula, buat masa kini Kerajaan belum lagi berhasrat berbuat demikian. Parlimen telah diperuntukkan 15 jawatan pegawai penyelidik yang pada masa ini telah diisi seramai 13 orang untuk membantu Ahli-Ahli Yang Berhormat. Pegawai-pegawai ini ditempatkan di Unit Penyelidikan Parlimen dan Ahli-Ahli Yang Berhormat boleh pada bila-bila masa untuk mendapatkan bantuan dan perkhidmatan mereka.

No comments:

Post a Comment