2010-11-03

Usual Menangguhkan Mesyuarat Di bawah P.M. 18(1) : Suruhanjaya Diraja Menyiasat Punca Kemalangan Bas Ekspres (pembahasan)

DR.3.11.2010 MS70

USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH P.M. 18(1)
SURUHANJAYA DIRAJA MENYIASAT PUNCA KEMALANGAN BAS EKSPRES

4.29 ptg.
Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua memberikan saya peluang untuk mengemukakan usul ini di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1).

Tuan Yang di-Pertua, seperti yang saya mengemukakan pada usul berkenaan saya minta kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja terhadap tragedi-tragedi yang berlaku baru-baru ini. Iaitu kemalangan maut yang berlaku pada 14 Oktober 2010 dan 29 Oktober 2010 sejumlah 19 orang umum telah terkorban dalam kedua-dua kemalangan tersebut.

16:30

Sebelum saya meneruskan ucapan saya, saya ingin memperingatkan rakan-rakan saya di Dewan yang mulia ini insiden-insiden yang terkorban nyawa sejak tahun 2005. Tahun 2007, kemalangan jalan raya mengorbankan 20 nyawa dan enam orang tercedera. Tahun 2008, dua insiden iaitu sebuah bas ekspres telah jatuh ke gaung mengorbankan nyawa dua orang dan 17 orang tercedera. Satu insiden lagi melibatkan bas ekspres terlanggar pokok besar mengorbankan 10 nyawa dan 10 orang cedera. Tahun 2009, dua insiden iaitu sebuah bas ekspres terbabas ke dalam parit mengorbankan enam nyawa dan tiga orang cedera. Satu insiden lagi berlaku kerana pemandu membawa melebihi had laju dan telah mengorbankan 10 nyawa.

[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Ronald Kiandee) mempengerusikan Mesyuarat]

Dalam hujah-hujah yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan, sejak insiden-insiden tersebut berlaku saya tidak pernah nampak apa-apa perkataan dari kerajaan mengenai apakah tindakan terhadap pegawai-pegawai yang terlibat. Seolah-olahnya semua kesalahan berpunca dari individu-individu yang melakukan kemalangan. Malangnya kerajaan melarikan diri dari tanggungjawab mereka. Saya ingin meminta penjelasan dari kerajaan dalam kemalangan maut yang saya...

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Yang Berhormat Bakri. Bila kerajaan melarikan diri?

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat, biarkan sahaja Yang Berhormat.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Tidak mengapa, saya siapkan ucapan saya. Dari tahun 2005 sehingga kini, berapakah pegawai telah didakwa dalam mahkamah dan berapakah pegawai-pegawai telah diambil tindakan disiplin kerana kemalangan ini? Sila senaraikan nama-nama pegawai tersebut dengan pecahan tahunan dan sebab-sebab pendakwaan, hukuman yang diberi dan tindakan yang diambil terhadap pegawai-pegawai tersebut.

Tuan Yang di-Pertua, bagi pendapat saya tiga sektor perlu diambil perhatian untuk mengatasi isu ini. Pertama, saya ingin menyentuh tentang gaji pemandu bas ekspres. Seperti yang dimaklumkan ketika pemandu lori dan trak boleh membawa pulang RM4,000 atau RM5,000 sebulan, pemandu-pemandu bas yang tidak berpersatuan cuma memperoleh gaji bulanan serendah RM500. Gaji pemandu bas ekspres di Perhentian Bas Johor Bahru cuma mendapat RM17.50 sehari. Ekoran itu mereka bekerja lebih masa dan memandu lebih banyak trip. Ini bermakna mereka mengabaikan masa tidur mereka, malah sesetengahnya mengambil dadah untuk mengelakkan diri daripada mengantuk. Ramai berpendapat kekurangan tidur merupakan punca sebenar kemalangan maut bas ekspres berlaku.

Persatuan Pengusaha-pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) dan Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU) mengeluarkan satu kenyataan pada 29 Disember 2009 bahawa kira-kira 2,000 pemandu yang tidak berpersatuan berbanding lebih 4,000 pemandu yang berpersatuan. Kenyataan dari TWU juga berkata, rekod menunjukkan kebanyakan kemalangan yang berlaku melibatkan pemandu-pemandu yang tidak berpersatuan ini. Bermakna dalam keseluruhan jumlah pemandu bas ekspres di jalan raya di Malaysia, satu pertiga daripadanya adalah pemandu tidak berpersatuan. Angka ini amatlah serius kerana peratus kemungkinan kemalangan untuk setiap penumpang bas ekspres adalah 33.33%. Saya minta kerajaan mempertimbangkan supaya gaji pemandu bas ekspres, tidak kira ia berpersatuan ataupun tidak sepatutnya selaras dan ketetapan gaji seharusnya disesuaikan mengikut kadar inflasi tahunan.

Keduanya, isu penyelenggaraan bas ekspres. Mengikut berita Bernama berikutan dakwaan bahawa kenderaan yang terlibat dalam kejadian yang berlaku di Genting Sempah, sekumpulan pegawai dari PUSPAKOM semalam melakukan pemeriksaan terhadap bas yang terlibat dalam kemalangan. Saya cuma bertanya...

DR.3.11.2010 72

Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju]: Minta penjelasan boleh?

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Okey.

Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju]: Terima kasih Yang Berhormat Bakri. Yang Berhormat Bakri sedar atau tidak bahawa masalah-masalah kemalangan di jalan raya ini mengenai bas ekspres kerana masalah penguatkuasaan – enforcement oleh JPJ. Ini kerana ramai pegawai JPJ yang tinggi ini lebih berminat dalam kontrak-kontrak dan projek-projek seperti automated enforcement system. Hendak lantik syarikat ini, hendak lantik syarikat itu yang mungkin mereka ada kepentingan atau tidak saya tidak tahulah - sebelum Akta Trafik itu diluluskan oleh Dewan ini.

Ini menunjukkan bahawa pegawai JPJ ini lebih berminat dengan projek-projek daripada penguatkuasaan supaya tidak ada kemalangan sebegini berlaku. Akan tetapi nampaknya, setiap musim festival mesti ada nyawa rakyat terkorban kerana apa? Kerana tiada penguatkuasaan.

Itulah keyword, sama ada Yang Berhormat Bakri setuju ataupun tidak. Penguatkuasaan - masing-masing semua tidur. Projek – wah, bangun semua! Ya, terima kasih.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Wangsa Maju. Saya memang sokong Yang Berhormat Wangsa Maju. Ucapan Yang Berhormat Wangsa Maju masuk dalam ucapan saya.

Saya cuba tanya rakan-rakan saya di Dewan yang mulia ini. Sekiranya seorang suspek yang kononnya telah melakukan satu kesalahan, adakah anda biarkan suspek tersebut melakukan siasatan diri sendiri? Adakah anda akan percaya hasil siasatan tersebut? Kalaulah begitu apa gunanya kita mengadakan pentadbiran kerajaan? Lebih baiklah kita menswastakan seluruh kerajaan, termasuk Jabatan Perdana Menteri dan biarkan syarikat-syarikat swasta ini menjalankan siasatan mereka. Kita tidak perlu lagi kerajaan ini!

Peranan kerajaan ialah memantau dan menjaga supaya mekanisme pentadbiran negara kita dapat dijalankan dengan lancar. Saya ingin memperingatkan Kerajaan Barisan Nasional, penswastaan tidak bermakna anda boleh melarikan tanggungjawab anda dalam isu ini! Apabila kemalangan maut berlaku kerajaan menyalahkan semua pihak tetapi bukan dirinya sendiri. Saya cuba tanya, siapakah majikan pemandu bas ekspres ini? Mereka ialah subkontraktor dari syarikat-syarikat yang memegang lesen-lesen bas ekspres. Siapakah yang mengeluarkan lesen bas ekspres ini? Lesen-lesen ini dikeluarkan oleh LPKP. Siapakah yang menguruskan LPKP? LPKP ini di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri.

16:40

Siapakah yang mengetuai jabatan ini? Ianya Perdana Menteri. Sekiranya kerajaan kita menubuhkan satu kerajaan yang bertanggungjawab terhadap rakyat. Perdana Menteri seharusnya letak jawatan! [Ketawa] [Tepuk] Ini kerana pejabat Perdana Menteri yang menilai dan menguruskan lesen-lesen tersebut malahan gagal memberikan pemantauan yang mencukupi.

Saya ingin memperingatkan kerajaan dalam konteks ini, jikalau Jabatan Perdana Menteri rasa mereka sanggup mengambil alih tanggungjawab pengeluaran lesen kenderaan awam dari Kementerian Pengangkutan mereka seharusnya bertanggungjawab atas isu-isu yang berkaitan dengannya.

Tuan Yang di-Pertua, ketiga saya ingin menyentuh tentang penguatkuasaan ke atas kenderaan jalan raya. Pada masa dahulu kita hanya nampak polis trafik sahaja yang mengeluarkan kompaun atas kesalahan pengguna jalan raya. Kini kita boleh lihat berbagai-bagai pihak terlibat dalam isu ini. LPKP adalah anggota penguat kuasa sendiri. JPJ pun ada anggota penguat kuasa sendiri. LPKP, Kastam Diraja Malaysia dan PDRM pula ada anggota penguat kuasa sendiri.

Perkara ini bukan sahaja mengelirukan pengguna jalan raya, malangnya menyusahkan rakyat kerana pembayaran kompaun ini datang dari pihak yang berlainan. Apabila satu kemalangan maut berlaku, tidak pernah sekalipun kerajaan ada menyentuh tentang tanggungjawab penguat kuasa seperti yang saya sebutkan di atas, kesalahan-kesalahan ini semua dari pihak lain.

Apa yang saya dengar cuma ubah undang-undang ini, ubah undang-undang itu, menubuhkan lembaga ini, menubuhkan lembaga itu. Masalahnya bukan dari undang-undang kita akan tetapi masalahnya ialah penguatkuasaan. Kuasa penguatkuasaan adalah daripada pentadbiran kerajaan. Hujah ini bukan kali pertama saya bangkitkan di sini.

Rakan-rakan saya dari sebelah sana terutamanya saudara Yang Berhormat Sri Gading juga sering kali menekankan tentang hal ini. Sekali lagi saya ingin memperingatkan kerajaan, penguatkuasaan merupakan peranan yang paling penting dalam pentadbiran. Sekiranya kerajaan gagal dalam aspek ini bermakna kerajaan Barisan Nasional sudah gagal dalam pentadbiran. Bukankah kita sering dengar bahawa lesen pemandu kopi.

Baru-baru ini seorang sahabat saya baru memperoleh lesen memandunya di kawasan Batu Caves. Beliau berkata mengikut pasaran terkini calon-calon yang mengambil peperiksaan di institut-institut memandu di kawasan tersebut terpaksa menerima tawaran pakej rasuah penuh sebanyak RM200. Di sesetengah kawasan di Malaysia, institut memandu membenarkan calon-calon pemandu memberi rasuah dalam sebahagian daripada pemeriksaan. Adakah ini cerita yang mengejutkan rakan-rakan saya di Dewan yang mulia ini? Adakah rakan-rakan saya di Dewan ini berani menafikan fenomena ini yang sudah berpuluh-puluh tahun berlaku di negara kita?

Tuan Yang di-Pertua, perkara ini sudah lama berlaku sampai kita tidak perasan lagi. Inilah kita sebut open secret dengan izinnya. Apakah tindakan SPRM terhadap isu ini?

Berapakah pegawai yang berpangkat tinggi didakwa sejak tahun 2000? Sekiranya SPRM gagal dalam pencegahan rasuah, dalam isu lesen pemandu kopi ini. Siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab? Bukankah Ketua Pengarah SPRM dipilih oleh Perdana Menteri? Sekiranya SPRM gagal menjalankan tugas mereka untuk menghapuskan lesen kopi, lesen yang membanjiri negara kita. Sebagai pihak yang memilih Ketua Pengarah SPRM iaitu...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Bakri, tidak bagi peluang untuk kawan lain berucap kah Yang Berhormat?

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Perdana Menteri sepatutnya letak jawatan. Kerajaan seharusnya memberitahu Ahli-ahli di Dewan yang mulia ini, berilah senarai nama-nama pegawai yang didakwa atas perkara rasuah ini dengan pecahan nama pegawai, pangkat mereka, kawasan pegawai tersebut berkhidmat sebab pegawai tersebut didakwa –berikan senarai nama-nama ini mengikut pecahan tahun, dari tahun 2000 sehingga kini.

Akhirnya saya minta kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat perkara tersebut dan saya harap ketiga-tiga perkara yang saya bangkitkan dalam ucapan saya boleh dimasukkan dalam agenda Suruhanjaya Diraja tersebut. Sekian terima kasih.

4.46 ptg.

Tuan Loke Siew Fook [Rasah]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa yang terkorban dalam kemalangan di Simpang Ampat beberapa minggu yang lepas dan juga beberapa hari yang lepas di Genting Sempah. Lebih kurang 20 nyawa telah terkorban di atas jalan raya dalam dua kemalangan ini, yang tidak sepatutnya berlaku sama sekali dalam negara kita. Ini kerana pengangkutan awam, darat sepatutnya satu mode pengangkutan yang lebih selamat tetapi nampaknya ia telah mengorbankan banyak nyawa di atas jalan raya.

Kedua saya ingin menyokong usul yang dibawa oleh Yang Berhormat Bakri dan saya ucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Bakri kerana begitu prihatin terhadap keselamatan pengguna-pengguna jalan raya, terhadap keselamatan rakyat kita. Saya menyokong sepenuhnya usul yang dibawa oleh Yang Berhormat Bakri termasuk saranan beliau untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat punca kemalangan yang telah berlaku.

Akan tetapi saya juga ingin menambah Suruhanjaya Diraja ini sepatutnya ditubuhkan bukan sahaja menyiasat apakah punca yang menyebabkan dua kemalangan ini berlaku tetapi yang lebih penting ialah satu siasatan ataupun satu kajian yang lebih menyeluruh untuk mengkaji keselamatan bas-bas pengangkutan awam negara kita. Saya rasa terlalu banyak kemalangan telah berlaku di negara kita yang melibatkan bas-bas awam ini. Setiap kali kemalangan berlaku, kita pernah dengar banyak langkah-langkah yang telah diberitahu oleh pihak Kementerian Pengangkutan, pernah kata hendak wajibkan dua pemandu dalam bas, hendak buat black box, buat break system dan sebagainya.

Banyak yang pernah diumumkan tetapi semuanya tidak menampakkan satu tindakan penguatkuasaan dan tindakan untuk melaksanakan langkah-langkah tersebut, untuk dijadikan satu langkah untuk menjaga keselamatan pengguna jalan raya kita. Saya rasa kajian perlu dibuat, langkah perlu diambil tetapi yang lebih penting ialah bukan sahaja cadangan tetapi kita hendak melihat tindakan diambil. Kita hendak melihat pelaksanaan itu dilaksanakan bukan setakat bercakap sahaja, setakat setiap kali kemalangan berlaku heboh dua tiga minggu dalam surat khabar berbagai-bagai langkah, berbagai-bagai cadangan dibuat tetapi selepas itu tidak ada tindakan dan tidak ada pelaksanaan. Itu yang kita harap akan diambil tindakan. Satu perkara lagi yang saya ingin juga bangkitkan di sini ialah Kementerian Pengangkutan dengan pihak mungkin Lembaga Lebuh raya Malaysia dan juga operator-operator lebuh raya juga perlu melihat satu lagi aspek dalam kemalangan jalan raya. Setiap kali kemalangan jalan raya berlaku, terutamanya baru-baru ini di lebuh raya Utara Selatan, di Simpang Empat itu menyebabkan kesesakan lebuh raya yang begitu teruk sekali. Ramai pengguna lebuh raya tidak tahu bahawa kemalangan itu berlaku dan mereka terus pergi ke arah itu. Tidak ada satu sistem penyampaian maklumat kepada pengguna-pengguna lebuh raya ini supaya divert traffic mereka, supaya tidak menyebabkan kesesakan yang lebih teruk berlaku di kawasan itu.

16:50

Saya rasa ini perlu dibuat oleh pihak Lembaga Lebuh Raya dan mungkin Kementerian Pengangkutan boleh menyarankan kepada operator-operator. Kita nampak sekarang ini banyak teknologi canggih yang boleh diguna pakai yang tidak akan melibatkan apa-apa kos pun.

Sekarang kita ada Twitter, ada Facebook dan ramai pengguna lebuh raya kita, ramai rakyat kita ada Smartphone, ada Blackberry dan sebagainya. Kalau ada satu sistem komunikasi yang lebih efektif katakan Twitter ataupun Facebook, apabila ada sesuatu kemalangan berlaku maka pihak operator lebuh raya itu boleh menghantar satu Twitt ataupun mesej melalui Twitter ataupun Facebook supaya mereka yang mengikuti Twitter itu mereka tahu di mana kemalangan itu berlaku, di mana tempat itu. Kalau berlaku boleh ada divert traffic.

Katakan kalau berlaku di Simpang Empat mereka sudah tahu mereka boleh divert traffic di Seremban, di Senawang dan sebagainya. Jadi tidak perlu semua kenderaan masuk ke sana kerana semua kenderaan menghala ke tempat itu maka kesesakan lebih teruk dan ini akan menyusahkan lagi kerja-kerja untuk menyelamat. Ambulans mungkin lewat sampai, pasukanpasukan penyelamat mungkin kalau sudah sampai sana hendak balik dan pergi ke hospital akan lambat. Jadi ini mungkin akan mengeruhkan lagi keadaan dan saya harap aspek ini juga boleh dilihat.

Yang ketiganya saya juga ingin menyarankan adakah sudah sampai masanya kita perlu ada melaksanakan kursus khas untuk pemandu-pemandu bas ekspres ini kerana setakat ini saya rasa mereka yang layak untuk menjadi pemandu-pemandu bas ekspres ini hanya perlu mendapatkan lesen daripada pihak JPJ. Apakah sudah sampai masanya kita melaksanakan ataupun mewajibkan semua pemandu bas ini menghadiri satu kursus khas yang mementingkan aspek-aspek keselamatan. Sampai sekarang kemalangan yang berlaku baru-baru ini di Genting Sempah pemandu itu tidak ada lesen pun boleh berlaku. Saya rasa itu kita perlu mewajibkan dengan lebih ketat pemandu-pemandu bas ekspres ini yang layak bukan sahaja lesen tetapi juga perlu ada kursus khas daripada pihak JPJ dan sebagainya.

Yang terakhir sekali sebelum saya menyerahkan kepada Yang Berhormat Kepong.

Baru-baru ini kerajaan telah menubuhkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat. Seperti apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Bakri tadi saya rasa dalam sektor pengangkutan awam di negara kita terlalu banyak agensi. Terlalu banyak agensi yang mentadbir isu-isu berkenaan dengan pengangkutan awam darat. Contohnya sekarang kalau bas ekspres lesen untuk bas itu dikeluarkan oleh LPKP.

LPKP itu akan dimasukkan dalam Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bukannya dalam Kementerian Pengangkutan walaupun hal itu bersangkut-paut dengan pengangkutan awam darat tetapi Kementerian Pengangkutan tidak ada kuasa. Ini dimasukkan ke dalam SPAD. SPAD di bawah Jabatan Perdana Menteri bukan di bawah Kementerian Pengangkutan. Pemandu itu perlu mendapatkan lesen daripada JPJ di bawah Kementerian Pengangkutan. Jadi penguatkuasaan itu agak keliru kerana terlalu banyak agensi. Ada JPJ, ada LPKP, ada polis trafik dan sebagainya.

Saya rasa ini perlu dilihat bagaimana kita dapat menyelaraskan lagi penguatkuasaan kita dan sepatutnya agensi-agensi ini perlulah ada lebih banyak hubungan, lebih banyak integrasi supaya penguatkuasaan itu dapat dijalankan dengan lebih efektif dan efisien. Saya harap perkara-perkara ini dapat dilihat dengan lebih terperinci dan saya menyokong penuh cadangan yang telah dibawa oleh Yang Berhormat Bakri untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat dan mengkaji langkah-langkah keselamatan untuk memastikan keselamatan pengguna-pengguna jalan raya di negara kita. Sekian, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Baling.

4.54 ptg.

Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Bismillaahir Rahmaanir Rahiim. Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua atas kesempatan yang diberikan untuk turut sama membahas usul yang telah dikemukakan oleh Yang Berhormat Bakri.

Tuan Yang di-Pertua, kebelakangan ini memang tidak dinafikan sesuatu yang agak ngeri dan menakutkan. Berita-berita yang seolah-olah memperlihatkan bahawa lebuh raya-lebuh raya di Malaysia telah pun menjadi lebuh maut dan jalan-jalan raya di Malaysia telah tidak begitu terjamin dengan keselamatannya terutama sekali yang kita fokuskan dalam perbahasan ini ialah antara lain mengenai dengan pengangkutan-pengangkutan awam yang ada yang masih beroperasi dalam negara kita seolah-olah satu macam yang tidak boleh memberi jaminan kepada keselamatan.

Saya pada petang ini lebih fokuskan kepada tragedi yang berlaku kepada sebuah bas pada 29 hari bulan baru-baru ini yang melibatkan kematian tujuh orang dan sekarang masih ada kritikal ataupun dalam bahasa lain ialah rawatan rapi di hospital Selayang dan juga di general hospital seramai 11 orang. Tujuh orang meninggal dunia dalam usia yang muda. Ada usia 17, 16 dan yang agak tua sedikit 28 tahun. Yang lain yang masih di hospital ada 13 orang. Keadaan mereka cukup parah dan ada yang hancur tangan, ada yang terpaksa potong kaki, dan begitu juga ada yang masih dalam keadaan yang tidak menentu. Ini semua adalah terdiri daripada golongan belia dan sebahagian besar daripada mereka adalah pelajar-pelajar. Semuanya tadi adalah daripada kawasan saya sendiri dan saya terpanggil untuk turut serta membahaskan ini kerana kedudukan itu bukan sahaja daripada kawasan saya bahkan yang terlibat beberapa orang adalah daripada keluarga saya sendiri.

Saya ingin menyentuh mengenai dengan pertama sekali bas yang seusia itu yang difahamkan platnya pun RC. Maknanya tidak kurang daripada hampir 20 tahun masih dibenarkan beroperasi di atas jalan raya dan mempunyai lesen untuk buat pengangkutan awam yang digunakan untuk chartered atau untuk disewa lebih-lebih lagi untuk ke Genting Highlands. Genting Highlands ini kita tahulah kalau hendak naik hendak turun kalau kereta tua biarlah tidak naik dan kalau naik tidak turun. Ini yang ada. Dengan sebab itu kita tidak boleh terjemah dengan sebab brek, sebab apa sudah memang bas itu sendiri pun bas tua. Tua ini macam-macamlah boleh berlaku.

Begitu juga dalam keadaan di mana yang paling ralat sekali ialah apabila didapati pemandu tidak ada lesen memandu dan saya difahamkan bahawa bukan sahaja tidak ada lesen memandu, pemandu itu sendiri pun mempunyai kecacatan tangannya. Ini semua kelemahan yang dapat kita lihat lebih-lebih pula pihak yang menganjur menjanjikan sebuah bas yang baru dan tiba-tiba yang datang bas tua. Ada di kalangan mereka yang masa hendak menaiki bas itu sudah cuba tarik diri tidak hendak naik tapi oleh kerana ramai yang menjemput juga naik, maka naik. Jadi dalam perjalanan itu sendiri yang begitu lama daripada Baling hendak pergi ke Genting Highlands hendak turun balik ini memanglah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dan tidak dibenarkan bas seusia ini dengan keadaan pemandu yang macam itu beroperasi di jalan raya.

Yang saya ralat juga ialah apabila hampir semua mangsa adalah masih pelajar. Ada yang sedang hendak ambil SPM. Baru tengah hendak ambil SPM peperiksaan yang akan datang. Jadi inilah yang memperlihatkan bagaimana kecuaian ini kalau kita tidak atasi kita akan dipaparkan selepas ini dengan entah berbagai-bagai kemalangan yang lain pula. Sebab itu dalam kesempatan yang singkat ini saya merayu minta sangat kepada pihak berkuasa seperti JPJ, PUSPAKOM dan pelesenan kenderaan awam dan pihak-pihak keselamatan jalan raya dan sebagainya yang mempunyai kuasa dalam bidang ini agar memperketatkan kedudukan dan begitu juga saya merayu dan minta supaya oleh kerana keluarga ini di kalangan orang-orang susah, ada yang masih trauma ibu bapanya sampai hari ini memohon supaya dipertimbangkan sedikit pampasan kepada mereka dan ganjaran kepada keluarga-keluarga yang menghadapi keadaan ini.

Begitu juga saya minta supaya pihak-pihak yang terlibat terutama sekali pihak penganjur, pihak pengusaha bas atau syarikat berkenaan diambil tindakan yang sewajarnya supaya menjadi pengajaran kepada pengusaha-pengusaha lain selepas ini semoga kecuaian yang sebegini tidak berlaku lagi. Terima kasih.

17:00

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Ledang.

5.00 ptg.

Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya juga rasa ralat di atas kemalangan yang berlaku di Genting Highlands dan juga Lebuh raya Utara-Selatan di Rembau. Jadi saya mengambil kesempatan hari ini dalam Dewan yang mulia ini untuk mengucapkan takziah kepada semua keluarga yang terlibat yang kehilangan anggota keluarga, yang cedera, dan sebagainya. Ini saya ambil kesempatan pada petang inilah.

Tuan Yang di-Pertua, kemalangan yang melibatkan bas ini cuma 0.46% daripada keseluruhan fatality by road user dengan izin yang dilaporkan oleh MIROS. Walau bagaimanapun Tuan Yang di-Pertua, kepada saya walaupun satu nyawa tidak ada galang ganti atau diganti walau dengan ada sekali pun. Inikan 13 atau pun 20 nyawa, dan banyak lagi. Akan tetapi saya tidak setuju kalau Yang Berhormat Bakri hanya menjurus kepada bas sahaja kerana ia hanya mewakili tidak sampai pun 1% daripada keseluruhan kemalangan yang pada tahap fatal dengan izin di seluruh Malaysia. Umpamanya motosikal 60.34% dan kereta 20.9%. Oleh sebab itulah Tuan Yang di-Pertua, BNBBC sering berhujah dalam Dewan Rakyat ini tentang perlunya kita sentiasa serius dan istiqamah. Maknanya kita konsisten di dalam menangani setiap masalah kemalangan jalan raya yang berlaku saban waktu. Kita perlukan kerjasama daripada semua pihak dan pihak pembangkang.

Saya tidak setujulah apabila Yang Berhormat Bakri menyebut kerajaan perlu diswastakan, Yang Berhormat Perdana Menteri perlu letak jawatan. Saya fikir, ketua umum sebagai Ketua Pembangkang perlu letak jawatan dahulu kerana dia gagal menjadi Ketua Pembangkang yang positif dan proaktif pada saya. Kalau mahu kira sampai ke tahap itu tetapi tidaklah sampai kepada tahap mahu diswastakan pula kerajaan. DAP boleh swastalah tetapi Yang Berhormat Bakri mungkin boleh masuk PKR kalau DAP diswastakan. Mahu diswastakan perlu tender dahulu. Ini cadangan daripada Yang Berhormat Bakri tadi.

Jadi, Tuan Yang di-Pertua, kita sangat serius dalam bab ini. Saya yang menuntut kepada pihak kementerian supaya dapat melaporkan dengan sejelas-jelasnya tentang insiden atau kemalangan jalan raya yang serius tersebut terutamanya di Lebuh raya Utara-Selatan kilometer 233 dan juga di Genting Highlands baru-baru ini. Mungkin Kementerian Pengangkutan boleh bentangkan di sini berapa peratus sebenarnya faktor manusia yang menyebabkan kemalangan, faktor jentera - machine, faktor kaedah, faktor mungkin gaji tadi yang disebutkan, faktor lain-lain seperti pengurusan had laju, dan sebagainya. Ini perlu kita kongsi maklumat ini Tuan Yang di-Pertua supaya kita dapat sama-sama menjana satu penyelesaian yang paling positif untuk kita menyelesaikan masalah ini secara jangka masa panjang. Umumnya Tuan Yang di-Pertua, soal pemandu.

Oleh sebab itu Tuan Yang di-Pertua, yang berlaku baru-baru ini jelas tidak ada lesen. Sudahlah tidak ada lesen kerana digantung, banyak lagi melakukan kesalahan, dan salah satu saman yang dilaporkan itu adalah kerana memalsukan lesen. Betapa seriusnya pemandu tersebut. Ini pada saya sangat serius. Bukan lagi soal gaji. Gaji kalau RM2,000 pun kalau ada lesen tipu tidak ada maknanya. Maknanya kita perlu mengambil tindakan yang tegas kepada tuan punya syarikat tersebut. Saya setuju cadangan daripada beberapa rakan tadi, saya setuju. Oleh sebab itu Tuan Yang di-Pertua, kita perlu ada data providing system. Saya mahu tanya Yang Berhormat Menteri Pengangkutan pada waktu itu, pernah menyebut tentang data providing itu atau pun DPS.

Kita mahu tanya sejauh mana kemajuannya, pengaplikasiannya, dan kerjasama daripada semua kementerian yang terlibat. Kita ada tidak kurang daripada 11 agensi yang terlibat. Ini perlu kita combine kan dan selaraskan supaya kita dapat rumusan yang terbaik. Begitu juga saya pernah cadangkan dalam Dewan Rakyat ini supaya satu kajian juga dibuat tentang lesen vokasional dan kaitan antara lesen vokasional dengan soal kemalangan jalan raya yang berlaku beberapa tempoh yang terdekat ini yang melibatkan semua bukan sahaja bas. Kita jangan jurus kepada bas sahaja. Pada semua aspek motosikalnya, basikalnya, pedestriannya dengan izin dan lain-lain. Ini kerana kita mahu cari jalan penyelesaian. Saya yakin di peringkat JPJ pun ada SOP sendiri. Sejauh mana tentang pengurusan had laju, bagaimana kemajuan tentang KEJARA, bagaimana tentang senarai hitam pemandu-pemandu amaran. Akhirnya Tuan Yang di-Pertua yang paling penting kepada saya ialah appreciation atau pun satu pengiktirafan yang kita berikan kepada pemandu-pemandu yang selama ini memang cemerlang.

Rumusan saya Tuan Yang di-Pertua ialah salah satu penekanan NKRA ialah soal keselamatan jalan raya. Dalam hal ini, NKRA telah pun menjurus kepada MKRA di mana setiap Yang Berhormat Menteri ada tanggungjawab. Jadi dalam hal ini saya mencadangkan supaya Yang Berhormat Menteri Pengangkutan sendiri mengepalai MKRA tersebut supaya jalan penyelesaian nanti dapat dirumuskan dengan baik.

Tahniah juga kepada MIROS yang telah pun banyak membuat cadangan kepada pihak kerajaan dan saya ingin tahu sejauh mana kerajaan menerima cadangan-cadangan daripada MIROS yang selama ini telah pun dibuat kajian secara menyeluruh. Sekian, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Hulu Selangor.

DR.3.11.2010 80

5.07 ptg.

Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan [Hulu Selangor]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana sudi memberi peluang kepada saya untuk melibatkan diri dalam perbahasan tentang usul ini. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan takziah saya kepada keluarga mangsa-mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Rembau pada 10 Oktober dan juga di Genting Sempah baru-baru ini pada 29 Oktober. Banyak punca mengapa kita sedang mengalami kemalangan-kemalangan yang meragut bilangan nyawa rakyat khasnya kemalangan yang melibatkan bas awam. Masalah ini sebenarnya boleh diperbaiki jika kedua-dua belah pihak kerajaan, agensi-agensi yang berkenaan, dan juga orang awam bekerjasama untuk memastikan bahawa keselamatan jalan raya menjadi tanggungjawab bersama.

Punca utama kemalangan sebegini berleluasa adalah kerana sikap pengguna jalan raya tidak mematuhi peraturan jalan raya sedangkan kita menggunakan telefon bimbit walaupun dilarang. Ini juga merupakan aspek-aspek mengapa kemalangan berlaku. Kerajaan menetapkan had laju lebuh raya selepas menyelidik dengan dalam apakah had laju yang paling selamat. Akan tetapi had laju ini tidak diikuti maka kemalangan adalah kesudahannya. Saya mencadangkan kepada pihak kerajaan untuk mengenakan hukuman yang paling berat, seberat-berat yang boleh untuk memastikan bahawa yang terlibat memecahkan kelajuan ini mematuhi undang-undang lalu lintas.

Saya juga ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan untuk meningkatkan ceramahceramah, kempen-kempen untuk meningkatkan kesedaran tentang betapa pentingnya sikap...

Tuan Haji Mohd. Nor Othman [Hulu Terengganu]: Yang Berhormat...

Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan [Hulu Selangor]: Mematuhi undang-undang.


Tuan Haji Mohd. Nor Othman [Hulu Terengganu]: Yang Berhormat mencelah sedikit sahaja. Terima kasih Yang Berhormat dan Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin mencadangkan kalau kita lihat di mana-mana had laju telah pun ditetapkan oleh pihak kerajaan tetapi pemandu terus memecut dan kadang-kadang berlumba. Apa kiranya kita cadangkan supaya kenderaan itu sendiri dihadkan supaya kelajuannya tidak melebihi daripada had yang dibenarkan. Kita buatkan satu mekanikal supaya kenderaan-kenderaan itu tidak boleh memecut lebih daripada 90 kalau bas umpamanya atau pun tidak lebih daripada 110 atau 120 di lebuh raya supaya kalau ditekan minyak macam mana sekali pun kenderaannya hanya setakat itu sahaja. Bagaimana Yang Berhormat?

17:10

Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan [Hulu Selangor]: Cadangan yang baik.

Mungkin ia boleh dikuatkuasakan kepada kenderaan-kenderaan seperti bas. Memang cadangan yang baik, mungkin boleh masukkan dalam ucapan saya juga. Satu lagi punca kemalangan jalan raya amat memudaratkan adalah keadaan bas awam yang tidak diperiksa dan tidak dalam keadaan yang baik.

Di sini saya rasa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (DOSH) harus mengambil langkah yang sewajarnya. Saya dimaklumkan bahawa dalam kemalangan yang berlaku di Rembau itu, bas dua tingkat itu, atap bas itu runtuh terus. Ini merupakan sebab-sebab ramai orang yang meninggal dunia dalam kemalangan itu. Di manakah perginya tanggungjawab DOSH untuk memastikan bas yang ada di jalan raya itu selamat kita duduki, sangat penting.

Sistem jalan raya dan lebuh raya patut dikaji semula dan dikemaskinikan. Mungkin terdapat sesetengah jalan raya yang rawan, kemalangan yang boleh ditingkatkan kualiti dari segi kelebaran jalan raya, lampu isyarat dan lampu jalan raya. Langkah sebegini pastinya boleh mengurangkan kadar kemalangan yang drastik. Di sini saya ingin mencadangkan kepada Lembaga Lebuh raya Malaysia. Saya rasa kita sudah sampai ke tahap yang mana kita harus meningkatkan kualiti. Sekarang saya dimaklumkan guard rail dengan izin, yang digunakan di seluruh lebuh raya yang mana 823 km kebanyakannya menggunakan kualiti TL2.

Saya rasa sudah sampai masanya kita meningkatkan seboleh-bolehnya semua 823 km itu ...

Tuan Lim Lip Eng [Segambut]: Minta penjelasan?


Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan [Hulu Selangor]: Tidak boleh, tidak cukup masa.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Tidak ada masa Yang Berhormat.

Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan [Hulu Selangor]: 823 km itu, kita tingkatkan kepada TL3 dan black sport itu kita tingkatkan ke TL5. Saya rasa ini walaupun akan membabitkan kos yang begitu tinggi tetapi bagi kita di sini kita harap bahawa nyawa orang itu pun sangat penting dan tidak rugi kalau kita dapat memastikan benda ini dilakukan.

Satu lagi perkara yang harus ingin saya cadangkan di sini ialah saya ingin merakamkan tahniah dan terima kasih kepada PLUS kerana mereka telah berjaya menangkap gambar bas semasa kemalangan berlaku di Rembau itu, 4km sebelum kemalangan itu berlaku, mereka telah menangkap gambar bas yang memecut dan di mana satu lagi kereta memotong. Ini road bullylah cara dia membawa bas itu. Akan tetapi saya rasa kamera ini harus dipasang di banyak lagi tempat. Nasib baiklah hari itu kamera itu berfungsi dengan baik. Kita harus memastikan bahawa kamera ini berfungsi dengan baik dan ini akan membaikkan lagi keadaan ini.

Saya rasa kita tidak perlu mengadakan satu Suruhanjaya Diraja kerana saya rasa apa yang ada dengan kerajaan di sini saya harap Kementerian Pengangkutan akan mengambil langkah yang drastik untuk memastikan benda ini sekiranya disenaraikan dengan cara yang betul, kita boleh membetulkan perkara ini.

Akhir kata Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, saya ucapkan terima kasih kepada cadangan-cadangan yang saya terima melalui Facebook dan Twitter kerana ramai rakan-rakan saya mendapati bahawa ini adalah satu perkara yang penting yang mana kerajaan khasnya Kementerian Pengangkutan harus mengambil langkah yang proaktif, positif untukmemastikan perkara-perkara ini dapat dikurangkan. Mungkin tidak dapat diatasi tetapidikurangkan dalam masa yang terdekat.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Terima kasih Yang Berhormat.

Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan [Hulu Selangor]: Sekian, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya, sila Yang Berhormat Menteri.

5.13 ptg.

Menteri Pengangkutan [Dato’ Seri Kong Cho Ha]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat dari Bakri, Rasah, Baling, Ledang dan Hulu Selangor yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan usul ini di bawah perkara 18(1) Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Perkara ini memang menyedihkan kita semua dan kerajaan sememangnya memandang berat terhadap semua kes-kes kemalangan jalan raya dengan keseluruhannya. Ini juga termasuk yang melibatkan bas ekspres, bas shuttle seperti dua kejadian kemalangan bas yang berlaku baru-baru ini.

Untuk makluman Yang Berhormat, penyiasatan rapi telah dan sedang dijalankan oleh pelbagai pihak yang berkaitan seperti JPJ, PDRM, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kerja Raya, MIROS, LPKP dan juga PUSPAKOM bagi mengenal pasti punca kemalangan-kemalangan berkaitan dari pelbagai sudut. Setelah dikenal pasti punca-puncanya tindakan seterusnya ialah mengambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada serta langkah-langkah penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian berulang lagi.

Bagi kejadian kemalangan yang berlaku di Simpang Ampat pada 10 Oktober ini yang mengorbankan 13 nyawa, laporan interim telah pun dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 29 Oktober ini. Sementara bagi kejadian kemalangan bas charter pada 29 Oktober di susur keluar Genting Sempah, siasatan telah dimulakan oleh PDRM, MIROS, LPKP, JPJ dan PUSPAKOM sebaik sahaja kemalangan berlaku dan laporan siasatan sedang disediakan.

Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, kemalangan maut yang melibatkan semua jenis bas merupakan satu peratusan yang kecil tetapi itu juga penting. Jadi, untuk tahun 2006 sebanyak 39 nyawa terkorban dalam kemalangan bas berbanding jumlah 6,287 kes kematian kemalangan jalan raya kepada 2007 - 75 kematian yang merupakan 1.19% dari sejumlah 6,282 kes kematian. Untuk tahun 2008 - 48 kes kematian yang melibatkan semua jenis bas yang merupakan 0.74% jumlah kematian sebanyak 6,527 kes. Untuk tahun 2009 sebanyak 31 nyawa terkorban oleh kerana kemalangan yang melibatkan semua jenis bas yang merupakan 0.46% dari jumlah 6,745 kes kematian di atas yang melibatkan kemalangan jalan raya.

DR.3.11.2010 83

Sebenarnya, isu keselamatan jalan raya telah menjadi agenda utama kerajaan. Pada tahun 2006, kerajaan telah meluluskan pelan keselamatan jalan raya untuk 2006 hingga 2010 yang menggariskan...

Datuk Haji Baharum bin Haji Mohamed [Sekijang]: Yang Berhormat Menteri.

Dato’ Seri Kong Cho Ha: Sembilan strategi dan meliputi 52 untuk...

Datuk Haji Baharum bin Haji Mohamed [Sekijang]: Yang Berhormat Menteri mohon laluan.

Dato’ Seri Kong Cho Ha: Menjadikan jalan raya di Malaysia lebih selamat.

Datuk Haji Baharum bin Haji Mohamed [Sekijang]: Yang Berhormat Menteri, boleh?

Dato’ Seri Kong Cho Ha: Pelan ini akan dikaji semula untuk tahun 2011 hingga 2020.

Datuk Haji Baharum bin Haji Mohamed [Sekijang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya amat bersetuju dengan Yang Berhormat Menteri tadi menyatakan bahawa keselamatan jalan raya ini adalah tanggungjawab kita secara bersama. Tidak seperti mana yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Bakri tadi, tuduh orang sana, tuduh orang sini. Hendak suruh letak jawatan, hendak suruh apa semua sekali.

Ini tidak menyelesaikan masalah yang ada kerana kita kalau menuding jari antara satu sama lain, kita tidak akan selesai. Ini kerana kemalangan ini bila-bila masa sahaja boleh berlaku kepada sesiapa sahaja waima dalam teman kita pun sebagai mana contoh Yang Berhormat Batu Sapi, pun terlibat dalam kemalangan jalan raya. Jadi, kita jangan menuding jari kepada orang lain seperti mana kata Yang Berhormat Bakri tadi.

Mungkin juga, balik ini Yang Berhormat Bakri pula mungkin terlibat dalam kemalangan jalan raya. [Ketawa] Jadi, ini mungkin akan menyusahkan kita semua yang terpaksa kena byelection dan sebagainya.

17:20

Saya mintalah perkara ini Yang Berhormat Menteri, supaya kita tidak menuding jari dengan yang lain-lain kerana kita pun sudah baca dan kita tahu bahawa kerajaan telah menyediakan bermacam-macam cara untuk mengelakkan jalan raya ini – di dalam jabatan Kementerian Pengangkutan sendiri kita ada, Jabatan Keselamatan Jalan Raya, kita ada MIROS, kita ada kempen ke sekolah-sekolah, kita ada kempen dengan orang ramai dan sebagainya, tetapi masalah ini tidak selesai juga Tuan Yang di-Pertua. Jadi, apa lagi sebenarnya yang kita hendak buat ini, kita pun tidak tahu.

Cuma, saya hendak mencadangkan kepada Yang Berhormat Menterilah agaknya, bahawa kemalangan ini mungkin kita buat macam mana pun mungkin akan berlaku juga. Cuma, kepada mangsa-mangsa yang terlibat dengan kemalangan ini, kadang-kadang kita menghadapi masa yang agak lama untuk kita menyelamatkan. Seperti mana di Rembau dulu makan masa empat jam, lima jam baru dapat dibawa ke hospital dan sebagainya. Bila agaknya pengangkutan kecemasan udara ini boleh diadakan supaya dapat menyelamatkan mereka-mereka ini dalam masa dan tempoh yang terdekat? Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: [Bangun]

Dato’ Seri Kong Cho Ha: Terima kasih Yang Berhormat Sekijang.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Tuan Yang di-Pertua.

Dato’ Seri Kong Cho Ha: Duduk, Duduk.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Tidak, Yang Berhormat Menteri. Saya hendak bincang dengan Tuan Yang di-Pertua mengenai Peraturan Mesyuarat 18(1).

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat, Yang Berhormat Menteri tidak bagi jalan Yang Berhormat.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Saya harapkan...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat, Yang Berhormat Menteri tidak bagi jalan, tidak boleh cakap.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Bukan, saya harapkan dia boleh tarik. Jangan guna kawasan Bakri, sebab saya memang hidup sini. Guna kawasan lain macam Batu Sapi, Bukit Gantang, tidak apa. Jangan gunakan...

Beberapa Ahli: [Menyampuk]

Dato’ Seri Kong Cho Ha: Terima kasih Yang Berhormat Sekijang. Saya memang bersetuju dengan Yang Berhormat Sekijang berkenaan dengan pengurusan-pengurusan selepas kemalangan itu berlaku. Memang pengurusan dari segi penglibatan PLUS, ambulan, Jabatan Bomba dan Penyelamat itu semua perlu diselaraskan. Saya juga faham bahawa kejadian kemalangan di Simpang Ampat itu memang berlaku kesesakan jalan raya (traffic jam) yang amat serius dan itu mungkin juga melambatkan kerja-kerja menyelamat.

Juga, benar bahawa sikap manusia menjadi satu punca utama kemalangan. Dari kajian MIROS, lebih daripada 60% kemalangan itu terjadi kerana human factor ataupun human error. Ini adalah kerana di kalangan rakyat kita, kita belum wujud lagi satu budaya keselamatan jalan raya. Jadi ini adalah satu perkara yang harus...

Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju]: Minta penjelasan boleh tidak Yang Berhormat Menteri?

Dato’ Seri Kong Cho Ha: Kita tangani.

Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju]: Minta penjelasan. Sedikit sahaja. Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Memang saya faham kemalangan ini mesti melibatkan human error – kesalahan manusia. Akan tetapi puncanya yang penting sekali di sini, orang ini tidak layak atau tiada kelayakan untuk membawa kenderaan langsung.

Bukankah ini satu masalah dari segi enforcement di mana syarikat-syarikat bas ekspres mereka tidak takut langsung? Mereka tidak takut dan tidak mengambil kira terhadap undang-undang dalam negara ini. Ini kerana kelemahan enforcement (penguatkuasaan) oleh JPJ. Pegawainya saya dengarnya ada di sini juga – Ketua Pengarahnya Datuk Solah Mat Hassan. Juga dari pandangan saya, mereka lebih minat dalam kontrak dan projek-projek tertentu. Itu kelemahan. Terima kasih.

Dato’ Seri Kong Cho Ha: Tuduhan Yang Berhormat Wangsa Maju itu memang tidak benar sekali kerana dari rekod JPJ untuk tahun 2009, sebanyak 182,000 saman dikeluarkan. Jadi ini bermakna pegawai-pegawai JPJ melaksanakan kerja juga dengan mengeluarkan saman kepada mereka yang melanggar peraturan jalan raya. Untuk tahun 2010, sehingga bulan Oktober, 272,000 saman juga dikeluarkan.

Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju]: How about the two express buses? Yang Berhormat Menteri, bas ekspres. Ini keseluruhannya.

Dato’ Seri Kong Cho Ha: Untuk bas ekspres, permit-permit yang dikeluarkan oleh LPKP mempunyai syarat-syarat yang ketat dan syarat-syarat yang tertentu berkenaan dengan usia bas. Bukan seperti tadi yang dituduh bahawa bas itu berumur lebih daripada 20 tahun.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: [Bangun]

Dato’ Seri Kong Cho Ha: Sebenarnya berat bas itu didaftar pada tahun 1996 sahaja dari siasatan kita dan LPKP ada satu syarat di mana bas itu tidak boleh melebihi usia 15 tahun. Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Mahu bagi laluan Yang Berhormat?

Dato’ Seri Kong Cho Ha: Saya tidak cukup masalah.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya.

Dato’ Seri Kong Cho Ha: 5.30 sudah cukup masa.


Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya, tinggal empat minit lagi.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Kepong, Yang Berhormat Menteri tidak bagi jalan Yang Berhormat.

Dato’ Seri Kong Cho Ha: Jadi untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, strategi dan pelan selama ini yang dilaksanakan oleh kerajaan juga nampak hasilnya. Ini kerana kadar kematian akibat kemalangan jalan raya telah menurun walaupun bilangan kenderaan, bilangan pemandu, dan juga jarak perjalanan telah pun meningkat. Jadi sebagai contoh, kadar kematian bagi 10,000 kenderaan telah turun dari 4.18 kes pada tahun 2005 kepada 3.55 kes pada tahun 2009. Jumlah injury akibat kemalangan jalan raya juga telah menurun sebanyak 42% dalam tempoh lima tahun sejak penubuhan Jabatan Keselamatan Jalan Raya.

Jadi, tanggungjawab untuk keselamatan jalan raya melibatkan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, pihak pengusaha sendiri, industri pengangkutan dan juga industri kenderaan, pengguna jalan raya sendiri dan juga masyarakat keseluruhannya.

Saya ingin menarik perhatian Ahli Dewan Rakyat ini – bas ekspres dan bas charter adalah dua daripada jenis kenderaan perdagangan di bawah Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan ataupun Akta LPKP 1987. Oleh itu, semua urusan pelesenan dan pemantauan dilakukan secara bersama oleh JPJ dan LPKP. Walau bagaimanapun, bas pelancongan adalah diletakkan di bawah Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999.

Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, terdapat dua jenis penguatkuasaan iaitu penguatkuasaan hal-hal syarat permit dijalankan secara bersama oleh JPJ dan LPKP dan penguatkuasaan hal-hal peraturan kenderaan dan pemandu yang dijalankan oleh JPJ dan PDRM sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987.

Apabila berlaku kemalangan maut yang serius, usaha-usaha untuk menyelaras aktiviti siasatan dijalankan oleh Kementerian Pengangkutan. Kementerian Pengangkutan melalui MIROS menjalankan penyelidikan dan membuat rekonstruksi kemalangan berdasarkan data yang dikumpul bagi mengenal pasti masalah dan langkah penyelesaian yang perlu dilaksanakan oleh semua pihak yang berkepentingan.

17:30

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat kena habiskan Yang Berhormat.

Dato’ Seri Kong Cho Ha: Tuan Yang di-Pertua, analisis terhadap kemalangan yang melibatkan bas ekspres dan bas carter mendapati bahawa terdapat beberapa masalah utama iaitu masalah integriti faktor kenderaan, pengoperasian, kompetensi pemandu bas dan sistem pentadbiran operator bas. Analisis juga mengenal pasti beberapa isu yang lain menjadi penyebab masalah keselamatan bas ekspres termasuklah penguatkuasaan yang tidak berkesan, pengusaha dan pemandu yang tidak mementingkan keselamatan dan kelemahan sistem pengangkutan awam.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat kena habiskan Yang Berhormat.

Dato’ Seri Kong Cho Ha: Ya. Jadi untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, jadi mulai dari tahun 2007, LPKP telah pun mengguna pakai kod amalan keselamatan, kesihatan dan persekitaran untuk melesenkan dan memberi permit kepada semua jenis kenderaan perniagaan. Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat terima kasih Yang Berhormat. Kita sudah tempoh masa sehingga 5.30 petang. I cannot extend ya.

Dato’ Seri Kong Cho Ha: Okey. Jadi akhir sekali Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pandangan dan cadangan yang disampaikan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat yang mengambil bahagian dalam perbahasan sebentar tadi dan semua cadangan itu adalah untuk saya adalah bernas. Akan tetapi kita memandangkan langkah-langkah untuk mencegah kemalangan yang telah lama kita melaksanakan itu masih berkesan, jadi tidaklah perlu untuk kita menubuh suruhanjaya diraja untuk membuat siasatan atas kedua-dua kemalangan ini. Sekian, terima kasih.

DR.3.11.2010 87

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ahli-ahli Yang Berhormat masa sudah cukup di dalam perbahasan di bawah peraturan 18(1) dan saya dengan demikian menutup perbahasan ini. Ahli-ahli Yang Berhormat dengan ini kita menyambung semula giliran Menteri-Menteri menjawab ke atas perbahasan Bajet 2011 di peringkat dasar. Yang Berhormat Ledang boleh dengar atau tidak suara dari belakang sana? Dengar?

Dato’ Haji Ismail bin Mohamed Said [Kuala Krau]: Dengar, dengar.

No comments:

Post a Comment