2010-07-05

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT MALAYSIA
PERTANYAAN : LISAN
TARIKH : 5 JULAI 2010 (ISNIN)
DARIPADA : Y.B. TUAN ER TECK HWA (BAKRI)

SOALAN :-

Y.B. TUAN ER TECK HWA (BAKRI) minta MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan:-
a)apakah piawaian yang digunakan untuk memilih Bukit Pagoh sebagai tapak pelupusan sampah yang baru di Muar; dan
b)adakah Kementerian mengambil kira Iokasi Loji Penapis Air Panchor berdekatan yang merupakan punca air untuk kawasan Muar dan Melaka semasa mendirikan tapak pelupusan sampah tersebut.

JAWAPAN :-

Tuan Yang DiPertua,

a)Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, tapak pelupusan sanitari Bukit Pagoh di lot 354 dan sebahagian lot 4081, 4083 dan 5482. Seluas 149 ekar telah dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Johor melalui Majlis Perbandaran Muar. Keperluan untuk menyediakan sebuah tapak pelupusan sisa pepejal baru yang sanitari amat kritikal di kawasan Muar memandangkan tapak pelupusan sedia ada di Bukit Bakri telah penuh dan mencemarkan alam sekitar. Tapak pelupusan sisa pepejal yang akan dibina ini adalah bertaraf sanitari iaitu lengkap dengan loji rawatan leachate, sistem liner untuk menangani masalah aliran keluar leachate, sistem pengumpulan gas dan pelbagai kelengkapan untuk menangani sebarang masalah pencemaran.

b)Bagi memastikan tapak tersebut menepati isu perlindungan alam sekitar, Jabatan telah melantik perunding Biro Inovasi UTM, Johor untuk menjalankan kajian penilaian impak alam sekitar terperinci (DEIA). Kajian EIA terperinci dijangka akan dimulakan pada awal bulan Julai 2010. Kajian ini akan mengenalpasti dan mencadangkan langkah-langkah pengawalan pencemaran pelepasan effluen pada tahap yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar termasuklah kesan terhadap Loji Penapis Air Panchor yang terletak kira-kira 20 km di hilir tapak pelupusan Bukit Pagoh.

No comments:

Post a Comment