2010-07-26

Jawapan Bertulis : pemulihbaikan pengurusan dan pembangunana kolam-kolam renang Muar dan Taman Ungku Tun Aminah

SOALAN-SOALAN LISAN YANG TIDAK HABIS DIJAWAB DI PERSIDANGAN DEWAN NEGERI JOHOR PADA HARI KAHMIS, 8 JULAI 2010

Y.B. DR. BOO CHENG HAU (SKUDAI)
SOALAN 11 (A53)

Apakah perancangan kerajaan Negeri untuk berkerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha memulihbaikkan pengurusan dan pembangunana kolam-kolam renang Muar dan Taman Ungku Tun Aminah, Skudai?

JAWAPAN Y.B. DATUK HAJI AHMAD ZAHRI BIN JAMIL

Kolam Renang Muar mula beroperasi pada tahun 1977 dengan kos pembinaannya berjumlah RM1.5 juta. Pengurusan kolam tersebut dilaksanakan oleh Majlis Daerah Muar Selatan (MDMS) ketika itu dan kini dikenali sebagai Majlis Perbandaran Muar (MPM) sebelum disewakan kepada syarikat swasta mulai tahun 1988 hingga 1993. Pengurusan kolam renang tersebut diambil alih semula MDMS sebelum ditutup pada tahun 1998 kerana kos penyelenggaraan yang sangat tinggi.

MPM telah mempelawa syarikat-syarikat atau individu yang berminat untuk menguruskan atau membangunkan kolam tersebut secara usahasama tetapi hingga kini tiada pihak yang berminat.

MPM tiada peruntukan untuk membaikpulih atau membangun semula kolam renang tersebut yang kini keadaan fizikalnya yang uzur dan tidak ekonomik untuk dibaiki. Kos untuk membangun semula kolam tersebut dianggarkan menelan belanja sebanyak RM2 juta.

Walau bagaimanapun Jabatan Balia dan Sukan Negeri Johor Cawangan Muar telah mengemukakan permohonan peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membangun semula kolam renang tersebut dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Dalam usaha memulihkan pengurusan dan pembangunan kolam renang di Taman Ungku Tun Aminah, Majilis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) telah menamatkan pengurusan penswastaan Kompleks Rekreasi (Kolam Renang) Taman Ungku Tun Aminah oleh Syarikat JB Sport Sdn. Bhd. pada bulan Disember 2009 kerana syarikat tersebut gagal menguruskan kempleks renang tersebut dengan sempurna. Oleh yang demikian, pihak MPJBT telah mengambil alih kompleks tersebut pada Januari 2010 dan ditutup selama lima bulan kepada orang awam bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih kolam tersebut. Kos penyelenggaraan dianggarkan berjumlah RM150,000.00.

Untuk makluman, kerja-kerja penyelenggaraan dan baikpulih telah disiapkan pada 1 Jun 2010. Kompleks Rekreasi (Kolam Renang) Taman Ungku Tun Aminah telah dibuka kepada orang awam dan diuruskan sendiri oleh pihak MPJBT. Kompleks tersebut beroperasi bermula jam 9.00 Pagi hingga 9.00 malam dan bayaran masuk untuk dewasa ialah RM5.00 dan kanak-kanak bawah 12 tahun dikenakan bayaran sebanyak RM3.00. Manakala bagi pas bulanan bagi dewasa sebanyak RM60.00 dan kanak-kanak bawah 12 tahun sebanyak RM30.00.

1 comment:

  1. it's good that they took over the pool... now all they have to do is to build more pools... god knows malaysians need to EXERCISE!

    ReplyDelete