2010-03-14

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN BAGI BUKAN JAWAB LISAN DEWAN RAKYAT

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN BAGI BUKAN JAWAB LISAN
DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : BUKAN JAWAB LISAN
DARIPADA : TUAN ER TECK HWA [ BAKRI ]
TARIKH
RUJUKAN : 2536

SOALAN :

Tuan Er Teck Hwa[Bakri] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan bilangan Along dan ahli sindiket perjudian empat nombor ekor haram yang ditahan sejak tahun 2000 ke 2010 di bawah Ordinan Darurat (KA/MJ). Nyatakan senarai nama-nama mengikut:

(a)tarikh tangkapan dan tarikh didakwa/ dilepaskan tanpa didakwa.; dan

(b)tempoh dipenjarakan dan jenis hukuman yang diterima.

JAWAPAN:

Tuan Yang Dipertua,

Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Bakri yang mengemukakan soalan.

Untuk makluman ahli Yang Berhormat, Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969, adalah suatu undang-undang yang berbentuk undang-undang pencegahan di mana di bawah Ordinan ini, mana-mana perintah yang dikeluarkan di bawah Ordinan ini adalah di bawah kuasa Menteri. Oleh itu, tidak timbul isu pendakwaan dibuat terhadap individu-individu yang telah ditangkap di bawah Ordinan ini memandangkan tangkapan di bawah Ordinan ini tidak melibatkan proses pendakwaan di Mahkamah.

Tuan Yang Dipertua,

Berdasarkan statistik dari tahun 2000 sehingga 28 Februari 2010, seramai 32 orang individu telah dikenakan Perintah Tahanan di bawah Ordinan ini atas penglibatan dalam kegiatan Along dan seramai 17 orang lagi telah dikenakan Perintah Sekatan. Manakala, bagi kesalahan melibatkan diri dalam sindiket perjudian empat nombor ekor haram, hanya Perintah Tahanan dikenakan iaitu seramai 10 orang.

Tuan Yang Dipertua,

Tempoh tahanan adalah selama dua (2) tahun dan orang tahanan akan menjalani program-program pemulihan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Penjara Malaysia serta juga agensi-agensi kerajaan lain. Tempoh tahanan akan dilanjutkan sekiranya tahap pemulihan orang tahanan tersebut belum memuaskan. Disamping itu, tahanan ini juga adalah bertujuan untuk menghalang orang tahanan daripada terus melakukan perbuatan atau kegiatan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam.

No comments:

Post a Comment