2010-03-30

Pmabahsan atas isu notis warden dari Amerika Syarikat terhadap Sabah

Penyata Rasmi 2010.03.30

MS02-04

JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN

1. Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading] minta Menteri Luar Negeri menyatakan, apakah polisi hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat hari ini. Apakah sikap sebenar Amerika terhadap negara apabila mengeluarkan arahan kepada rakyatnya agar tidak berkunjung ke Sabah baru-baru ini.

Timbalan Menteri Luar Negeri II [Dato' Lee Chee Leong]: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Sri Gading di atas soalan yang dikemukakan. Malaysia mempunyai hubungan dua hala yang baik dan akrab dengan Amerika Syarikat. Kerajaan Malaysia berpandangan bahawa hubungan kerjasama yang kukuh dengan Amerika Syarikat mendatangkan banyak manfaat kepada Malaysia.

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama telah menyatakan komitmen masingmasing untuk meningkatkan hubungan dua hala di antara Malaysia dan Amerika Syarikat semasa perbualan telefon mereka pada 26 Jun 2009.

Hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat akan terus dipertingkatkan lagi meliputi kerjasama politik, perdagangan dan pelaburan. Peluang membangunkan dan berkongsi teknologi baru terutamanya dalam bidang teknologi maklumat, komunikasi serta tenaga hijau. Usaha untuk mengadakan lawatan peringkat tinggi di Amerika Syarikat dan sebaliknya, akan terus dilakukan.

Kerajaan tidak mahu membuat sebarang spekulasi terhadap sikap sebenar Amerika Syarikat apabila Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Kuala Lumpur dan Jabatan Negara Amerika Syarikat telah masing-masing mengeluarkan Notis Warden atau dengan izin, Warden Notice dan amaran perjalanan atau dengan izin, travel alert pada 15 Januari 2010.

Notis Warden dan amaran perjalanan tersebut menasihati rakyat Amerika Syarikat supaya berwaspada dalam membuat sebarang perjalanan ke kawasan pedalaman timur Sabah termasuk Semporna, Mabul dan Sipadan. Di dalam menangani perkara ini, Kementerian Luar Negeri telah memanggil Duta Besar Amerika Syarikat pada 18 Januari 2010, untuk mendapatkan penjelasan mengenai tujuan pengeluaran amaran perjalanan tersebut. Pertemuan tersebut juga adalah bertujuan untuk memaklumkan pendirian kerajaan serta keadaan sebenar di Malaysia terutamanya di Sabah. Sekian terima kasih.

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih atas jawapan Yang Berhormat Timbalan Menteri Luar Negeri atas soalan asal saya. Kita tidak menafikan hubungan baik dua hala ini. Memang ini hubungan tradisi yang telah kita jalin selama ini. Kita tetap ikhlas dengan Amerika tetapi sejauh mana keikhlasan Amerika kepada kita? Ini kerana apabila mengeluarkan arahan perjalanan kepada rakyatnya untuk jangan pergi ke pantai-pantai terkenal di Sabah ini, terutama di kawasan Semporna - ini Menteri daripada Semporna pun ada.

Ia memberi kesan. Amerika ini Tuan Yang di-Pertua, arahan dia itu, walaupun ditujukan kepada rakyatnya, ia memberi kesan kepada negara-negara lain. Ini menjejaskan dari segi kedatangan pelancongan kepada negara Malaysia. Jadi di mana letaknya hubungan baik ini? Apakah Amerika tidak sedar bahawa kesan akibat ini boleh merugikan Malaysia yang dianggap sebagai sahabat? Jadi ini yang saya ingin bertanya soalan tambahan ini kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri kalau ada jawapanlah. Jadi sejauh mana keikhlasan Amerika kepada kita yang ikhlas kepada mereka. Terima kasih.
1010
Dato’ Lee Chee Leong: Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Sri Gading di atas soalan tambahan yang dikemukakan. Hubungan dua hala Malaysia dengan Amerika Syarikat adalah baik dan meliputi berbagai aspek. Amerika Syarikat merupakan rakan dagang yang ketiga terbesar dengan jumlah perdagangan dua hala sebanyak RM109 bilion pada tahun 2009. Amerika Syarikat juga merupakan salah sebuah negara pelabur yang terbesar dan juga terpenting di Malaysia dengan jumlah pelaburan sebanyak RM2.414 bilion pada tahun 2009.

Seperti yang saya telah maklumkan kepada Dewan yang mulia ini, Kementerian Luar Negeri telah memanggil Duta Besar Amerika Syarikat pada 18 Januari 2010 untuk mendapatkan penjelasan yang sewajarnya. Menurut Duta Besar Amerika Syarikat tindakan beliau mengeluarkan notis ‘warden’ tersebut adalah sebagai memenuhi tanggungjawab beliau untuk menjaga keselamatan warga Amerika Syarikat dan bukannya dirujuk kepada Malaysia. Malahan dalam perbincangan tersebut beliau telah mengatakan penghargaan beliau dan Amerika Syarikat terhadap segala tindakan yang telah diambil oleh pihak Kerajaan Malaysia dalam menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di kawasan-kawasan yang disebutkan iaitu di kawasan Timur Sabah.

Pihak kementerian juga telah mengambil tindakan-tindakan yang sewajarnya dalam menangani pertanyaan dari negara-negara asing dengan mengeluarkan kenyataan akhbar yang menjelaskan keadaan keselamatan yang sebenarnya di negara ini bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang selamat dan aman bagi menarik pelancong-pelancong luar untuk melawat khususnya di Sabah. Terima kasih.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya ialah apakah tindakan yang telah diambil oleh Kementerian Luar Negeri apabila notis ‘warden’ tersebut dikeluarkan? Adakah kementerian perlu mengadakan tindakan yang drastik untuk membuat perundingan diplomatik antarabangsa untuk menyelesaikan masalah ini? Apakah kesan keperluan kepada negara kita seperti pelancong dan pelaburan? Terima kasih.

Dato’ Lee Chee Leong: Terima kasih kepada Yang Berhormat Bakri atas soalan tambahan yang dikemukakan. Tuan Yang di-Pertua, notis ‘warden’ tersebut telah dikeluarkan oleh Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada Jumaat 15 Januari, 2010. Satu amaran perjalanan juga telah dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat pada hari yang sama. Kementerian Luar Negeri telah memanggil Duta Besar Amerika Syarikat pada hari Isnin, 18 Januari 2010 telah menggesa Duta Besar Amerika Syarikat untuk mengkaji semula notis warden tersebut kerana urusan keselamatan negara terutamanya di Sabah adalah terjamin. Amaran perjalanan Jabatan Negara Amerika Syarikat tersebut akan luput pada 15 April tahun ini.

No comments:

Post a Comment