MS191-195
7.03 mlm.
Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua mengizinkan saya untuk turut membahaskan dan menjunjung kasih Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Pertama sekali, saya ingin membangkitkan satu isu mengenai pengumuman rasmi high speed broadband (HSBB) Telekom Malaysia yang berada pada 24 Mac 2010 di Dataran Merdeka. Saya memang faham projek HSBB yang bernilai RM11.3 bilion yang dimeterai pada September 2008 adalah usaha awam – swasta antara Telekom Malaysia dan kerajaan. Ini memang satu usaha yang baik untuk membangunkan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dan membolehkan rakyat menikmati aplikasi internet dengan kelajuan lebih daripada 10Mbps. Soalan saya ialah di bawah konsep 1Malaysia ini, mengapa dalam pengumuman rasmi ini, tandas yang disediakan untuk Perdana Menteri yang begitu canggih dan mewah sekali sebaliknya tandas awam yang disediakan untuk orang awam bukan sahaja kecil, panas, busuk dan tiada bekalan air. Di sini saya tunjuk satu gambar. [Menunjukkan sekeping poster] Perbezaannya Perdana Menteri dan orang awam. [Ketawa]
Seorang Ahli: Hebat, hebat, hebat. [Tepuk]
Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Saya harap poster ini boleh memperingatkan Perdana Menteri kita tandas VIP yang direka bentuk lima bintang yang digunakan oleh beliau pada hari itu. Gambar kecil, adakah tandas awam? Cuba bandingkan kedua-dua tandas ini. Soalan saya ringkas sekali. Berapakah kos yang terlibat dalam pembinaan tandas yang berhawa dingin ini? Mengapa tandas awam tidak ada bekalan air, aliran udara dan tidak ada pembersihan?
Saya minta kerajaan senaraikan dari tahun 2000 sehingga bulan ini, Ahli-ahli Kabinet yang menggunakan helikopter tentera untuk menjalankan kerja rasmi.
Senaraikan kos yang terlibat, jenis helikopter yang digunakan, tarikh dan tempat bertolak dan destinasinya.
Tuan Yang di-Pertua, saya kerap menemui beberapa kes di kawasan saya. Terdapat beberapa orang ibu bapa kaum Cina menghadapi masalah...
Tuan Liew Chin Tong [Bukit Bendera]: [Bangun]
Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Semasa mereka mencetak nama Cina anak-anak mereka di atas sijil kelahiran. Apabila mereka cuba...
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat.
Tuan Liew Chin Tong [Bukit Bendera]: Boleh celah sedikit?
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat Bukit Bendera bangun.
Tuan Liew Chin Tong [Bukit Bendera]: Adakah Yang Berhormat Bakri bersetuju bahawa kerajaan harus memberitahu berapa jumlah kos launching HSBB. Bukan sahaja kos tandas itu tetapi jumlah kos yang dibiayai oleh Telekom ataupun dibiayai oleh kerajaan dan siapa biayai? Terima kasih.
Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Di sini, saya hendak sambung ialah apabila mereka cuba memohon pasport untuk anak mereka, pegawai-pegawai imigresen menolak permohonan mereka atas alasan sijil kelahiran tidak boleh diconteng. Saya ingin meminta penjelasan dari kerajaan adakah kerajaan boleh mempertimbangkan supaya menyediakan satu ruang di sijil kelahiran supaya ibu bapa kaum Cina boleh memberikan nama kepada bayi mereka dalam tulisan huruf bahasa Cina.
Tuan Yang di-Pertua, di sini saya ingin menyentuh tentang tempoh masa yang diperlukan oleh kementerian menjawab soalan secara lisan bertulis yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Parlimen. Untuk makluman, Parlimen UK hanya mengambil masa tiga hari untuk menyiapkan jawapan soalan lisan dan satu minggu untuk jawapan bertulis. Ahli-ahli Parlimen hanya perlu mengemukakan soalan lisan tiga hari sebelum diberikan jawapan. Sistem Parlimen kita sekarang perlukan soalan bertulis dan lisan diserahkan tiga minggu sebelum sidang berlangsung. Bagi jawapan bertulis pula diterima selepas tiga bulan.
Parlimen UK boleh melakukan dalam masa tiga hari berbanding dengan tiga bulan yang diamalkan oleh Parlimen kita. [Tepuk] Adakah ini memenuhi kehendak KPI yang dimaksudkan oleh kementerian? Apakah rasional untuk mengambil masa yang begitu panjang untuk menyiapkan jawapan. Adakah kerajaan mempunyai inisiatif untuk memperbaiki isu ini?
Tuan Yang di-Pertua, dari jawapan yang diberikan oleh pihak pengurusan Parlimen pada akhir tahun lepas, dimaklumkan bahawa setiap komputer touch screen yang berada di depan meja kita ini berharga RM11,233, keyboard, mouse dan pemegangnya berharga RM320 dan 80G hard disk pula berharga RM363.
1910
Saya minta pihak pengurusan Parlimen senaraikan spesifikasi dan jenama komputer dan kelengkapannya secara teliti dan senaraikan juga nama syarikat pembekal. Tuan Yang di-Pertua, sebahagian besar rakan-rakan saya di Dewan yang mulia ini bukanlah berasal dari Selangor dan Kuala Lumpur yang sentiasa menghadapi masalah untuk membawa balik buku dan dokumen Parlimen yang beratnya berpuluh-puluh kilogram ke kawasan masing-masing setiap tahun. Adakah pihak pengurusan Parlimen akan mengaplikasikan supaya buku-buku jawapan lisan, jawapan bertulis dan jawapan buku laporan jawatankuasa termasuk bajet dan sebagainya dibekalkan dalam bentuk elektronik sama ada dalam bentuk CD ataupun menerbitkan di laman web Parlimen. [Tepuk]
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh isu tapak pelupusan sampah dan pencerobohan pukat tunda yang telah mengganggu serta menggugat kehidupan harian dan mata pencarian rakyat yang mana sentiasa disayangi oleh Yang di-Pertuan Agong.
Penduduk di Kampung Bukit Bakri sudah dihantui mimpi ngeri tapak pelupusan sampah lebih 20 tahun. Mereka bukan sahaja diancam oleh bau busuk malah kebakaran yang tidak tahu puncanya telah berlaku berulang kali menyebabkan mereka tidur tidak lena dan makan tidak selera setiap hari. Kesulitan yang diakibatkan oleh tapak pelupusan sampah tersebut yang belum dapat ditangani oleh pihak berkuasa.
Jawapan lisan yang bertarikh 17 Mac 2010 dari KPKT menyatakan bahawa tapak baru di kawasan Pagoh akan siap dibina dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi. Menurut soalan yang saya kemukakan pada tahun 2008 kementerian menyatakan tarikh penutupan ditunda dari tahun 2008 ke tahun 2011. Sekarang pula hendak tambah dua hingga tiga tahun lagi. Adakah dua tahun ke tiga tahun atau dua campur tiga jadikan lima tahun lagi?
Menurut rancangan Perbandaran Muar pada tahun 2005 menunjukkan bahawa tapak pelupusan sampah baru akan didirikan di kawasan Pagoh manakala tapak di Bukit Bakri akan mencapai kapasiti maksimumnya pada 2008. Saya ingin KPKT menjelaskan kenapa perlu lanjutkan masa lima tahun lagi untuk menyiapkan tapak baru sedangkan tapak lama akan mencapai tahap maksimum pada tahun 2008. Kementerian yang berpejabat mewah memang tidak elok dikerumuni oleh tapak sampah malah kesemua Ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini juga pantang berjiran dengan tapak sampah. Demi rakyat didahulukan, mimpi ngeri tapak pelupusan sampah yang menghantui rakyat perlu diselesaikan segera oleh kerajaan.
Tuan Yang di-Pertua, nelayan-nelayan di pesisir pantai Sungai Balang, Bagan dan Parit Jawa mengemukakan bantahan terhadap pencerobohan haram pukat tunda ke tempat mata pencarian mereka kepada pihak berkuasa sejak tahun 90-an. Malah satu bantahan rasmi telah ditunjukkan kepada Pengarah Badan Pencegah Rasuah Johor pada 12 Julai tahun 2007 untuk melakukan siasatan ke atas pemilik pukat tunda yang didalangi oleh sindiket yang seakan dikurniakan imuniti tapak dibelenggu oleh pihak penguat kuasa. Akan tetapi tiada sebarang maklum balas hingga hari ini - nelayan bagai tersedu di padang pasir. Mereka ini terdiri daripada pelbagai kaum yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang telah dipinggirkan sekian lama. Pukat tunda daripada Batu Pahat dan Pontian yang sering menceroboh masuk enam batu nautika dari pesisir pantai Parit Jawa secara haram bukan sahaja mengancam pendapatan nelayan tempatan yang kian sempit kehidupan kerana hasil penangkapan ikan yang makin berkurangan, bahkan habitat pemeliharaan anak dan benih ikan telah terancam dengan kautan pukat tunda telah dijangkakan masalah kepupusan ikan akan berlaku. Masih tiada sebarang tindakan diberi perhatian serius untuk membela nasib dan...
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: [Menyampuk]
Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Thank you Yang Berhormat Sri Gading, terima kasih. Dan menutup keadilan golongan nelayan tertindas ini oleh pihak yang berkaitan.
Jangan seperti wujudkan tapak bela ikan sepanjang pantai yang dikelolakan oleh kumpulan sasar untuk meringankan beban hidup masih terbantut. Kerajaan pusat dan negeri masih kebuntuan idea dan perancangan yang menyeluruh untuk menolong nelayan tersebut yang majoritinya hidup di bawah paras kemiskinan di samping membanteras masalah pencerobohan pukat tunda yang didalangi oleh sindiket yang berpengaruh. Kenapa kerajaan tidak pula merujuk kepada langkah Kerajaan Indonesia untuk membatalkan lesen pukat tunda demi menjaga kehidupan nelayan di pesisir pantai dan memelihara sumber ikan yang sedia ada?
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Panjang lagi Yang Berhormat?
Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Sedikit sahaja. Tinggal sedikit sahaja. Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Saya dipinta oleh Yang Berhormat mengehadkan ucapan dia 15 minit.
Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Tuan Yang di-Pertua, saya amat terpegun dengan jawapan lisan yang diberikan oleh Menteri tentang permohonan peruntukan khas Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang dikemukakan pada sidang yang lepas.
Kebetulan dua hari sebelum Hari Raya Haji menteri menyatakan bahawa permohonan tersebut masih dalam proses penelitian dan penilaian untuk pelaksanaan. Yang Berhormat Menteri tidak sedar bahawa salah satu permohonan adalah untuk program kebajikan sosial bagi penduduk Islam sempena bulan Ramadan 1430 Hijrah yang mana objektif utamanya adalah untuk membantu dan meringankan beban hidup umat Islam yang bernasib kurang baik seperti golongan OKU, fakir miskin dan ibu tunggal dapat sama-sama merahmati bulan yang suci ini.
Mengikut jawapan lisan yang diterima pada 18 Mac 2010 menyatakan bahawa permohonan tidak diluluskan dengan alasan yang profesional. Beberapa persoalan ingin saya bangkitkan ialah apakah senarai garis panduan yang dimaksudkan oleh Yang Berhormat Menteri? Kedua, apakah yang dimaksudkan keperluan yang benar-benar diperlukan oleh rakyat, terdesak dan perlu diberi keutamaan?
Kalau golongan OKU, fakir miskin dan ibu tunggal yang kesempitan hidup bukan kumpulan sasar yang perlu diberi keutamaan untuk menerima bantuan daripada peruntukan khas ini, golongan mana yang disasarkan kerajaan untuk merealisasikan konsep Rakyat Didahulukan? Lagipun permohonan yang satu lagi adalah untuk pemasangan lampu awam sepanjang jalan Bakri antara batu dua hingga batu enam sebagai kawasan kemalangan yang bertujuan untuk mengurangkan kejadian kemalangan dan memberikan jaminan keselamatan penduduk tempatan. Atas cadangan jasa baik YDP MPM yang mana alasannya ialah MPM kesempitan peruntukan daripada KPKT dan perlukan peruntukan khas ini untuk menjaga kebajikan masyarakat umum.
1920
Kalau kesenangan dan kebajikan rakyat bukan menunjukkan keutamaan, apakah yang dimaksudkan keutamaan kelayakan oleh Yang Berhormat Menteri.
Apakah yang dimaksudkan value for money yang agak mengelirukan kerana segala peruntukan kerajaan adalah untuk kepentingan rakyat tanpa mengharapkan sebarang keuntungan sebagai modal insan yang berpandukan kepada Tuhan.
Tuan Yang di-Pertua, di sini sudah diketahui umum bahawa pemilik kenderaan persendirian seperti motokar dan motosikal ...
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, jangan berjanji dengan saya lain kali ya.
Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Tidak, ini last sekali. Berkuasa kecil yang usianya lebih 20 tahun rata-ratanya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan menggunakannya untuk mencari nafkah hidup seperti pergi ke kebun, sawah, kilang dan sebagainya. Mereka tidak dapat menaik taraf dengan menggantikan yang baru dan terpaksa menggunakan kenderaan uzur yang kelajuannya tidak lebih daripada 40km/sejam kerana kesempitan hidup.
Contohnya, sebuah motosikal berjenama Suzuki LC 100 tahun pendaftaran 1980, nilai kos pasarannya tidak lebih daripada RM100 yang cukai jalannya cuma RM2 setahun atas keprihatinan kerajaan yang menjaga dan mendahulukan rakyat dari golongan berpendapatan rendah. Premium insuransnya cuma RM71 setelah ditolak MCB pada tahun 2009. Akan tetapi harga premium naik mendadak pada tahun 2010 iaitu RM125 atau pun 125% ... naik lebih 70% di samping terpaksa membayar premium insurans persendirian PA sebanyak RM36 yang tergolong dalam satu pakej yang mana amat membebankan.
Bagaimana Yang Berhormat Menteri menangani permasalahan ini berpandukan kepada konsep “Rakyat didahulukan dan bukanlah keuntungan syarikat insurans didahulukan ataupun dijamin. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: 19 minit 45 saat.
Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
No comments:
Post a Comment