Pada 27 Ogos 2010, Majlis Perbandaran Muar, MPM telah mengadakan Pasar Ramadhan untuk menyambut bulan puasa. Pasar tersebut terdiri daripada 80 gerai yang beroperasi. Menurut Pengarah MPM, rancangan sedemikian akan diadakan semula ketika menjelang Tahun Baru Cina, Deepavali dan hari perayaan lain.
Saya menyokong penuh rancangan Majlis Perbandaran Muar tersebut kerana rancangan tersebut berjaya mengadakan peluang pekerjaan ketika negara dilanda kemelesetan ekonomi. Selain itu, rancangan tersebut telah mewujudkan suasana kemeriahan di bandar Muar.
Ketika lawatan saya ke pasar ramadhan Jalan Sisi semalam, saya mendapati hampir semua gerai yang diperuntukkan telah beroperasi dan orang ramai juga berkesempatan untuk berkunjung ke sana. Walaupun pasar tersebut mengalami sedikit masalah teknikal seperti kekurangan lampu cahaya ketika hari pelancarannya, namum masalah ini telah berjaya diselesaikan.
Namum begitu, rancangan tersebut telah dijalankan dengan terburu-buru tanpa berbincangan dengan orang ramai, inilah kebiasaan Kerajaan Barisan Nasional.
Peniaga di sekitar Jalan Sisi hanya menerima notis pemberitahuan daripada Majlis Perbandaran Muar pada 25 Ogos dan masih ada lagi peniaga yang gagal menerima sebarang pemberitahuan. Mereka hanya mengetahui rancangan tersebut apabila diberitahu secara lisan oleh pegawai dari Majlis Perbandaran Muar. Selain itu, pengurus gerai di situ juga sempat memberitahu bahawa mereka langsung tidak tahu mengenai rancangan tersebut. Mereka hanya tahu setelah diberitahu oleh kawan mereka dan pegawai dari Majlis Perbandaran Muar.
Hal ini menunjukkan pihak Majlis Perbandaran Muar gagal melakukan kajian yang mendalam ketika pelaksanaan projek tersebut. Selain itu, mereka juga gagal untuk berbincang dan memberitahu rancangan tersebut kepada penduduk setempat.
Sebagai pengurus bandar yang bertanggungjawab, mereka harus berpegang kepada prinsip demokrasi walaupun mereka bukan dipilih melalui undi oleh rakyat. Pihak Majlis Perbandaran Muar harus memberitahu rancangan tersebut kepada penduduk setempat. Suatu sesi perbincangan dengan penduduk setempat harus diadakan supaya pendapat dapat disuarakan. Pelan rancangan harus diubah sekiranya perlu dan akhirnya tarikh pelaksanaan diumumkan. Beginilah yang dikatakan sistem pengurusan yang berpegang kepada prinsip demokrasi. Kualiti pengurusan boleh ditafsir melalui cara pelaksanaan sesuatu rancangan, dan jika dirujuk kepada cara pelaksanaan Majlis Perbandaran Muar kali ini nampaknya mereka masih gagal mendengar suara rakyat atas nama demokrasi.
Saya menyeru pihak Majlis Perbandaran Muar supaya lebih berinteraksi dengan orang ramai sekiranya sesuatu rancangan bakal dilaksanakan. Mereka harus mengalakkan penglibatkan rakyat dalam sesuata projek pembangunan masyarakat. Mereka juga harus membuang sikap buruk Barisan Nasional yang dulu.
Ahli Parlimen Bakri
Er Teck Hwa
29.08.2010
No comments:
Post a Comment