YB Er Teck Hwa memberikan pandangan terhadap isu tapak Kolam Renang Muar akan ditukar menjadi bangunan baru MPM |
Menurut laporan audit, kompleks tersebut telah dibina di atas tanah rizab kerajaan seluas 1.4 hektar yang terletak di Jalan Sultanah. Kompleks itu dibina pada tahun 1977 dengan kos RM1.50juta. Tujuan projek ini adalah untuk mengalakkan penyertaan orang awam dalam aktiviti renang dan mempelbagaikan lagi kemudahan rekreasi di kawasan Majlis Perbandaran Muar (MPM).
Semakan Audit mendapati kompleks kolam renang tersebut telah dibiarkan selama 12 tahun sejak tahun 1998 lagi. Menurut laporan audit tersebut, MPM pernah memohon peruntukan untuk cadangan membaikpulih sejumlah RM2 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan pada tahun 2001 dan sejumlah RM2.2 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 2003. Jumlah keseluruhannya adalah RM4.2juta. Namun, laporan tersebut tidak menyebut sama ada Kerajaan Persekutuan telah memberikan peruntukan kepada MPM atau tidak, dan sama ada peruntukan tersebut telah digunakan untuk membaik pulih kolam renang tersebut.
Selain itu, laporan juga menyebut MPM pernah membuka tawaran kepada mana-mana syarikat yang sanggup membangunkan semula kolam renang tersebut tetapi tidak mendapat sambutan hangat. Kerosakan kompleks tersebut berlaku disebabkan MPM kurang membuat kerja penyenggaraan pada peringkat awal terutamanya semasa tempoh pengurusan kompleks kolam renang ini dipajak kepada sebuah syarikat swasta dari tahun 1986 hingga 1992. Oleh sebab itu, kemudahan dalam kolam renang tersebut didapati tidak dapat berfungsi lagi apabila ia diambil alih oleh MPM.
Menurut laporan audit tersebut, pada halaman 144 telah menyebut MPM pernah membuat permohonan kepada Pejabat Tanah Daerah Muar supaya tapak kolam renang tersebut dijadikan hak milik Majlis dan dijadikan tapak bangunan pejabat baru Muar.
Kekurangan ruang pejabat di bangunan MPM telah memaksa MPM untuk menyewa pejabat baru yang terletak di Marina Jabatan Laut Semenanjung Malaysia di Tanjung Emas Muar dan Dewan Jubli Intan untuk menempatkan sebahagian daripada kakitangannya.
Sistem pengurusan yang baik dan terancang adalah pengurusan yang dapat merancang keperluan keluasan kawasan pejabat untuk menampung pertambahan kakitangan MPM pada masa akan datang. Maka, sebelum pejabat MPM menjadi semakin sesak, pihak MPM seharusnya melaporkan kepada Kerajaan Persekutan supaya MPM dapat mencari tapak baru untuk dijadikan pejabat baru MPM. Namun, kegagalan MPM untuk menyediakan ruangan pejabat baru untuk menampung pertambahan bilangan kakitangannya menunjukkan MPM gagal dalam sistem pengurusannya.
Masalah ini telah membawa satu persoalan yang serious terhadap perancangan MPM, sekiranya perkara yang remeh temeh seperti pengurusan ruangan pejabat juga tidak dapat diselesaikan oleh MPM, apatah lagi kebolehan mereka untuk merancang pelan pembangunan jangka panjang di Muar? Adakah MPM mampu untuk melaksanakan Draf Rancangan Tempatan Daerah Muar 2002-2015?
Menurut laporan audit tersebut, MPM berniat untuk menjadikan tanah rizab tersebut menjadi tapak baru pejabatnya. MPM telah mempajak kolam renang tersebut kepada sebuah syarikat swasta namum ia gagal diuruskan. Perkara ini memaksa MPM telah mengambil alih kolam renang tersebut dan menutup kolam renang tersebut. Sikap MPM yang tidak mempedulikan masalah kekurangan tempat rekreasi di Muar amat merisaukan, sebaliknya mereka bertindak untuk menukar tapak kolam renang tersebut kepada tapak pejabat baru MPM.
Saya pernah berbincang dengan bekas pengerusi MPM, Adbul Wahab berkenaan dengan isu kolam renang tersebut namum beliau langsung tidak menyebut hasrat MPM untuk menjadikan tapak kolam tersebut kepada tapak pejabat baru MPM. Sebaliknya beliau menegaskan MPM tidak mampu untuk memperbaiki kolam renang tersebut. Beliau juga menyebut tanah tersebut merupakan tanah rizab kerajaan negeri Johor maka MPM tidak berkuasa untuk memperbaiki kolam renang tersebut.
MPM telah memberikan segala alasan dimana mereka tidak mampu untuk memperbaiki kolam renang tersebut. Namum kesungguhan MPM untuk membina pejabat baru MPM telah menunjukkan kebolehan mereka untuk membina sebuah bangunan baru. Selain itu, mereka juga mampun untuk memohon kepada Pejabat Tanah Daerah Muar untuk menukarkan tapak milik kerajaan negeri kepada tanah milik MPM. Jadi mengapa mereka masih memberikan alasan untuk tidak membaikpulih kolam renang tersebut?
Kawasan tersebut terletak di kawasan rekreasi Muar maka ia tidak sesuai untuk dijadikan lokasi untuk pejabat baru MPM. Hal ini kerana langkah tersebut akan mengundang masalah kesesakan lalu lintas ke kawasan tersebut lalu merosakan suasana yang aman dan sunyi di kawasan tersebut.
Oleh yang demikian, saya ragu dengan kebolehan MPM untuk membuat merangka peracangan pembangunan Muar. Tindakan MPM untuk membina sebuah pejabat baru di tempat rekreasi Muar telah menunjukkan pihak MPM gagal untuk menyediakan satu perancangan pembangunan Muar yang sempurna.
Saya tidak membantah tindakan MPM untuk mencari tapak pejabat baru kerana masalah kesesakan ruang di pejabat MPM, malah saya berpendapat Kerajaan Persekutuan harus memandang serius masalah ini untuk membolehkan kakitangan MPM bekerja di suasana yang selesa. Namum, saya membantah tindakan MPM untuk menjadikan tapak rekreasi Muar sebagai lokasi pejabat baru MPM. Saya berpendapat, MPM harus mencari lokasi lain yang sesuai dan membaikpulihkan semula kompleks kolam renang tersebut untuk mempelbagaikan tempat rekreasi untuk penduduk Muar.
Ahli Parlimen Bakri
Er Teck Hua
27.10.2010
No comments:
Post a Comment