2010-10-25

ucapan diberi dalam peringkat dasar Bujet 2011


DR. 25.10.2010 MS83

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Bakri.

5.58 ptg.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua memberi peluang. Bermula dari 30 April 2008, kerajaan telah menjanjikan untuk menyiarkan sesi soal jawab secara langsung dari Parlimen. Namun masa yang diperuntukkan hanya 30 minit kerana menurut kerajaan sambutan untuk rancangan tersebut tidak menggalakkan maka siaran penuh perbahasan Parlimen tidak akan dilakukan.

Saya telah menerima banyak permintaan daripada pengundi supaya saya memuat naik siaran perdebatan dalam Parlimen ke Youtube. Jadi saya telah cuba untuk menyiarkan perdebatan dalam Parlimen di internet untuk tontonan orang ramai. Saya telah membelanjakan beberapa ribu ringgit untuk menyediakan sebuah komputer dan recorder siarannya amat murah dan tidak memerlukan sebarang sumber manusia untuk pengendalian. Apa yang harus dilakukan adalah hanya memeriksa sistem tersebut ketika waktu rehat.

16:00

Saya dapat mengendalikan sistem tersebut tanpa bantuan orang lain dan hanya membelanjakan beberapa ribu ringgit untuk sistem tersebut. Malah, saya tidak pernah menerima sumbangan dari mana-mana pihak. Wang yang dibelanjakan merupakan wang yang telah dipertanggungjawabkan oleh pengundi kepada saya supaya saya menjalankan tugas saya di dalam Parlimen.

[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar)mempengerusikan Mesyuarat]

Saya hanya menggunakan wang ini demi pengundi yang mengundi saya. Saya pernah merujukkan pertanyaan saya kepada pihak pengurusan Parlimen iaitu mengapa Parlimen tidak boleh melaksanakan siaran internet. Namun, jawapan yang diberikan ialah kerana kos yang terlibat amat tinggi. Saya ingin bertanya kepada Parlimen mengapa saya hanya perlu membelanjakan beberapa ribu ringgit sahaja, malah tidak memerlukan sebarang sumber manusia untuk mengendalikan siaran perbahasan Parlimen untuk tontonan di laman web. Mengapa Parlimen memberikan alasan bahawa siaran melibatkan kos yang tinggi iaitu beberapa kali ganda berbanding dengan wang yang dibelanjakan oleh saya.

Tuan Yang di-Pertua, seterusnya saya ingin membangkitkan isu dokumen Parlimen yang susah untuk dibawa dan meminta dokumen tersebut dihantar dalam bentuk cakera padat. Saya pernah menyampaikan soalan ini pada bulan Mac dan jawapan yang diterima daripada pihak Parlimen pada 29 Mac adalah sebarang cadangan pertukaran untuk menggantikan terus buku Penyata Rasmi Parlimen dan Aturan Urusan Mesyuarat dalam bentuk cakera padat perlulah terlebih dahulu melibatkan pindaan kepada peruntukan peraturan mesyuarat yang berkenaan.

Saya masih kabur dengan jawapan yang diberikan oleh pihak pengurusan Parlimen kerana setahu saya buku Penyata Rasmi Parlimen dan Aturan Urusan Mesyuarat sudah lama wujud di dalam bentuk PDF di laman web Parlimen untuk dimuat turun oleh rakyat.

Jadi, saya ingin tahu sama ada pindaan telah dibuat terhadap peraturan mesyuarat sebelum laman web Parlimen membenarkan dokumen tersebut dimuat turun. Sekiranya tidak, mengapa pihak pengurusan Parlimen membenarkan orang ramai untuk memuat turun buku Penyata Rasmi Parlimen dan Aturan Urusan Mesyuarat. Cadangan saya adalah untuk membolehkan rakan-rakan Parlimen saya dapat memilih sama ada menerima soal jawab Parlimen secara bertulis dan lisan Parlimen atau laporan tahunan setiap lembaga atau Laporan Audit Negara dalam bentuk bertulis atau cakera padat. Sekiranya permintaan saya telah melanggar peraturan mesyuarat, saya harap agar pihak pengurusan Parlimen menyatakan garis panduan mana yang menghalang saya daripada membuat demikian.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh satu isu penting tentang tempoh untuk jawab soalan lisan dan bertulis. Di Parlimen UK, soalan lisan boleh dikemukakan tiga hari sebelum dijawab dalam persidangan. Sebaliknya, Parlimen kita bukan sahaja memerlukan soalan-soalan dikemukakan dua minggu sebelum sesi Mesyuarat bermula.

Namun, soalan-soalan ditolak tanpa alasan yang munasabah. Di samping itu, jawapan bertulis yang kita terima ambil masa selama tiga hingga empat bulan. Saya ingin bertanya mengapa isu yang kita bangkitkan ambil masa hampir setengah tahun untuk kerajaan memberikan jawapan? Apakah alasannya? Saya minta Parlimen mengadakan pindaan dalam peraturan mesyuarat supaya soalan yang dibangkitkan oleh rakan-rakan kita di Dewan yang mulia ini dijawab dalam tempoh yang munasabah.

Selain itu, saya ingin bertanya, berapakah kos yang terlibat bagi setiap soal lisan dan bertulis yang dijawab oleh kementerian-kementerian. Senaraikan kos-kos ini dengan pecahan tahunan daripada tahun 2000 sehingga kini.

Tuan Yang di-Pertua...

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Minta mencelah Yang Berhormat.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Okey.

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Bakri, saya bersetuju dengan permasalahan yang ditimbulkan berkenaan dengan soalan-soalan Parlimen ini. Saya sendiri mengalami pengalaman yang sama, soalan saya ditolak tanpa sebab diberikan. Cuma, dirujuk kepada peraturan mesyuarat suruh baca sendiri dan apabila kita baca peraturan mesyuarat itu banyak sebab atau alasan yang digunakan. Kita pun tidak tahu yang mana satu.

Kedua, Yang Berhormat Bakri setuju atau tidak di mana kebanyakan jawapan lisan yang diberi secara bertulis oleh pegawai-pegawai kerajaan ini tidak jawab pun soalan. Saya bagi contoh Tuan Yang di-Pertua, saya tanya soalan berapa banyak kilang arak yang diluluskan lesen di Malaysia dan berapa ramai umat Islam yang diambil bekerja oleh kilang-kilang ini. Soalan kedua ditolak tidak ada sebab. Sila rujuk peraturan ini. Soalan pertama dijawab sebanyak berapa belas kilang arak diluluskan dan sila rujuk kepada SSM untuk bukti. Dia suruh kita pula pergi tanya Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Jadi, saya nampak kualiti jawapan pun tidak ada, malahan ada jawapan itu salah. Saya tanya satu soalan mengapa saudara Irwan Abd. Rahman dikenakan pendakwaan.

Jawapan yang saya terima masih disiasat sedangkan saudara Irwan sudah pun dicaj di mahkamah di bawah Akta SKMM ini.

Jadi, Yang Berhormat Bakri setuju atau tidak bahawa banyak lagi improvement penambahbaikan boleh dibuat untuk meningkatkan kualiti yang diberikan kepada Ahli-ahli Parlimen ini.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat Bakri, cuba duduk sekejap. Saya beri penjelasan sedikit Yang Berhormat. Ya, saya akan beri elaun satu minit yang saya cakap Yang Berhormat. Kita sebenarnya Ahli Parlimen tidak boleh bertanya supaya minta kerajaan ataupun kementerian menjawab persoalan-persoalan pengurusan dalaman Parlimen. Jikalau itulah yang kita tanya, nescayanya kita telah meminta pihak eksekutif masuk campur dalam urusan dalaman Parlimen.

Akan tetapi, boleh ditanya mengapa jawapan yang diberi oleh pihak kementerian ataupun pegawai kerajaan tidak lengkap, tidak betul dan tidak tepat. Namun, kalau bertanya soalan yang tidak dimasukkan di dalam senarai, itu soalan dalaman Parlimen. Sepatutnya, Speaker tidak duduk di sana menjawab Yang Berhormat. Cadangkan apa yang patut Yang Berhormat fikirkan. Terima kasih Yang Berhormat, sila.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Okey. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Ucapan Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu tadi saya memang setuju dan masuk dalam sebahagian ucapan saya.

Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Sungai Petani menulis surat menyentuh isu elaun Ahli Parlimen dalam ucapan beliau. Jadi, saya tidak mahu mengulangi topik ini tetapi saya cuma menekankan hujah yang sama iaitu Parlimen Indonesia membekalkan empat researcher untuk setiap Ahli Parlimen. Parlimen UK juga membekalkan empat researcher. Malangnya, Parlimen kita tidak memberi researcher tetapi seorang pemandu.

16:10

Ini menunjukkan Parlimen kita lebih mementingkan jawatan pemandu. Itulah mencerminkan minda Parlimen.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Ini boleh Yang Berhormat. Ini boleh.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Okey. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, di sini saya hendak – lagi satu bencana jerebu yang dibawa oleh angin monsun barat daya dari negara jiran sudah lama membawa mudarat kepada kesihatan rakyat kita. Pembakaran terbuka negara jiran yang tidak bertanggungjawab telah mengurniakan kita satu fenomena yang merunsingkan. Kualiti udara tercemar teruk. Bencana El-Nino, tahun 1997 kerana pembakaran terbuka di Kalimantan, ditambah pula dengan musim kemarau yang panjang telah menyusahkan kehidupan harian orang Sabah ketika itu.

Daerah Muar sudah dilanda teruk jerebu tersebut pada 19 Oktober 2010. Indeks Pencemaran Udara (IPU) sudah mencecah paras 400 iaitu satu tahap yang amat bahaya. Pesakit-pesakit di daerah Muar yang mengalami sakit batuk, sesak nafas, sakit tekak, sakit mata dan selesema telah meningkat 30% dalam tempoh ini. Kandungan karbon monoksida dalam jerebu akan menyebabkan penyakit seperti asma, pneumonia dan penyakit paru-paru. Jika tidak diubati dengan segera, akan membawa kepada maut. Bencana jerebu ini juga akan menjejaskan perindustrian pelancongan kita.

Sudah tentu pelancong tidak berminat berkunjung ke sini jika kualiti udara dalam keadaan bahaya. Harapan industri pelancongan untuk menambahkan KDNK kita tentu tidak akan tercapai.

Pada 25 November 2003, negara-negara ASEAN telah bersepakat untuk merangka pelan ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution untuk mengatasi masalah jerebu. Namun begitu, pengeksport utama masalah jerebu di negara ASEAN iaitu Indonesia masih belum mengiktiraf kata sepakat yang dicapai dalam pelan tersebut. Ternyata negara-negara ASEAN tidak dapat melakukan sebarang tindakan termasuk memaksa Indonesia untuk menandatangani perjanjian tersebut walaupun Indonesia tidak menghiraukan kata sepakat yang dicapai.

Saya minta kerajaan menyatakan perkembangan Pelan ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution. Kerajaan juga harus menjelaskan, apakah persetujuan yang dicapai oleh Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Indonesia dalam masalah jerebu dan menyatakan kerugian yang diakibatkan oleh masalah jerebu yang melanda negara kita mengikut pecahan tahunan sejak tahun 2000 sehingga kini.

Sehingga hari ini, usaha kerajaan untuk menangani masalah jerebu ini hanya setakat seruan supaya memakai topeng mulut, membatalkan aktiviti kokurikulum, kurangkan aktiviti sukan, banyak minum air sahaja. Tidak ada satu usaha kerjasama dua hala antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Indonesia untuk membanteras kegiatan pembakaran terbuka haram.

Rakyat Malaysia sudah menanggung malu atas insiden baling najis di kedutaan kita di Indonesia. Harap kerajaan khasnya Kementerian Luar Negeri melakukan sesuatu yang positif dengan negara jiran supaya rakyat kita tidak lagi terdedah kepada bencana jerebu setiap tahun. Untuk menjunjung konsep “rakyat didahulukan”, tentu kerajaan perlu lakukan sesuatu yang tegas dan lantang supaya kesihatan dan nyawa rakyat tidak lagi terancam oleh jerebu yang berpunca daripada pembakaran terbuka negara jiran.

Tuan Yang di-Pertua, isu yang saya hendak sentuh lagi satu ialah seseorang yang tidak dapat berfikiran logik dalam melakukan perbuatan yang diketawakan oleh orang lain. Manakala sesebuah kerajaan yang tidak mengikut logik akan menghasilkan polisi kerajaan yang memutarbelitkan kebenaran.

Pada 19 Oktober 2010. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Padang Rengas telah mengesahkan bahawa kerajaan telah menghentikan jawatan kedua-dua pengetua sekolah yang telah mengeluarkan kenyataan perkauman untuk siasatan lanjut. Pengetua sekolah di Kedah telah menerima amaran dari pihak Kementerian Pendidikan, manakala pengetua sekolah di Johor masih menghadapi tindakan disiplin. Kerajaan juga mengesahkan tindakan undang-undang akan diambil terhadap penulis lagu di laman web, Wee Meng Chee yang didakwa telah mengeluarkan kenyataan perkauman. Namun, kerajaan masih mengkaji undang-undang yang akan diambil terhadapnya.

Kedua-dua pengetua sekolah pernah mengeluarkan kenyataan rasis. Hajah Siti Inshah binti Mansor dari negeri Johor pernah mengatakan sini tidak memerlukan pelajar Cina dan mereka boleh balik ke negara China atau sekolah Fon Yew. Dia juga menyamakan pelajar India sebagai “anjing” kerana tali keagamaan yang dipakai oleh mereka di bahagian tangan dan leher. Menurut Siti Inshah, hanya anjing yang harus diikat sebegini. Ungku Aznan bin Ungku Ismail dari Kedah juga pernah berkata sekiranya tidak puas hati, maka mereka boleh balik ke China dengan kapal terbang AirAsia.

Sekiranya seseorang itu tidak dapat membezakan sama ada kenyataan tersebut mengandungi unsur perkauman ataupun tidak, maka dia juga tidak akan membezakan bahan letupan plastik dengan gula getah. Jadi adalah amat bahaya sekiranya seseorang itu menjadi pengawal kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana mereka akan menganggap gula getah sebagai bahan letupan plastik ketika menjalankan tugas mereka.

Wee Meng Chee telah merakamkan sebuah lagu di internet untuk membantah kenyataan perkauman dari kedua-dua sekolah tersebut. Wee menentang semangat perkauman melalui nyanyi lagunya. Tajuk utama The Star pada 20 Oktober 2010 adalah UMNO menghormati kesemua kaum. Namun, sikap kerajaan yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap kedua-dua pengetua sekolah. Mereka telah menyuruh pelajar Cina untuk balik ke China dan menyamakan pelajar India dengan anjing kerana tali keagamaan yang dipakai oleh mereka. Sebaliknya, kerajaan akan mendakwa penyanyi dari Muar yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan perkauman melalui lagunya.

Kerajaan akan mendakwa seorang penyanyi yang membantah semangat perkauman, sebaliknya kerajaan tidak akan mengambil tindakan terhadap kedua-dua pengetua sekolah yang mengeluarkan kenyataan rasis tersebut. Jadi...

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Yang Berhormat Bakri. Tuan Yang di-Pertua...

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Sekejap, saya habiskan ini. Sekejap lagi. Jadi, adakah ini bermakna kerajaan menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua pengetua sekolah tersebut?

16:20

Kalau begitu, semangat menghormati kesemua kaum yang ditonjolkan dalam Perhimpunan UMNO harus dibuang kerana UMNO cakap tidak serupa bikin. Saya juga minta Yang Berhormat Timbalan Menteri...

Dato’ Shamsul Anuar Nasarah [Lenggong]: Yang Berhormat Bakri, laluan sedikit.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Pelajaran dan Yang Berhormat Timbalan Menteri Dalam Negeri memberikan penjelasan...

Dato’ Shamsul Anuar Nasarah [Lenggong]: Yang Berhormat Bakri, berilah saya sekejap.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Terhadap perkara ini kerana perkara ini...

Dato’ Shamsul Anuar Nasarah [Lenggong]: Yang Berhormat Bakri.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Terlibat dalam kedua-dua kementerian tersebut.

Tuan Yang di-Pertua...

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Yang Berhormat Bakri.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Sekejaplah sedikit. Saya tinggal masa sedikit.

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Sudah habis.

Dato’ Shamsul Anuar Nasarah [Lenggong]: Berilah sedikit.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Tuan Yang di-Pertua...

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Kata sudah habis.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Tidak sekejap.

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: You, kata mahu habiskan ayat tadi.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Ya.

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Berilah saya mahu cakap. You punya kenyataan tidak betul. Saya hendak perbetulkan.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Tidak mengapa.

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Sekejap sahaja sebab nanti Yang Berhormat Bakri...

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Berilah dia habiskan.

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Nantilah. Nanti Yang Berhormat. No. [Dewan riuh] Dia...

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Tidak mengapa.

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Yang Berhormat Bakri sedang mengelirukan Dewan. Saya hendak perbetulkan.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Saya tidak mengelirukan Dewan.

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Saya hendak...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat... [Dewan riuh]

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Saya tidak...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Dua-dua Yang Berhormatlah. Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu dan Yang Berhormat Lenggong duduklah Yang Berhormat. Dia tidak beri ruang, Yang Berhormat.

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Tuan Yang di-Pertua, saya hendak buat peraturan mesyuarat.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Ya, Yang Berhormat. Dia tidak beri peluang Yang Berhormat. Kalau dia beri, beri.

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Saya hendak buat peraturan mesyuarat hendak betulkan.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Peraturan mesyuarat, saya perlu duduk. Dia tidak buat peraturan mesyuarat, saya teruskan ucapan seterusnya.

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Saya hendak buat peraturan mesyuarat dia tidak beri jalan. Saya hendak buat peraturan mesyuarat, perbetulkan fakta itu. Tidak betul sebab Yang Berhormat Bakri Tuan Yang di-Pertua...

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Peraturan mesyuarat...

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Peraturan mesyuarat...

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Membuat kenyataan bahawa kerajaan akan mengenakan pendakwaan terhadap penyanyi Namewee sedangkan saya sendiri dalam soalan lisan kepada Dewan minggu lepas, jawapan yang diberikan oleh kerajaan pada 14 Oktober lepas, jelas menyatakan bahawa Peguam Negara telah memutuskan bahawa tidak akan mendakwa Namewee. [Disampuk] Akan tetapi, ini salah satu contoh bagaimana DAP suka memutarbelitkan fakta. Ikut syok dia sahaja bercakap. [Disampuk] 14 Oktober AG buat kenyataan jelas dalam Parlimen bahawa Namewee tidak akan didakwa. Sebaliknya seorang...

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Tuan Yang di-Pertua...

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Hey! Tambi, diamlah.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Saya teruskan ucapan saya.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: [Menyampuk]

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: You, settle sama you punya Timbalan Presiden. Bakal Timbalan Presidenlah.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Tuan Yang di-Pertua...

Dato’ Shamsul Anuar Nasarah [Lenggong]: Yang mana berani...

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu... Dia pecat...

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Timbalan Presiden panggil you ‘paria’.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Poorah!

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Hey! Tambi! Duduklah.

Tuan Liang Teck Meng [Simpang Renggam]: [Bangun]

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Apa Tambi?

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: [Ketawa]

Tuan Liang Teck Meng [Simpang Renggam]: Yang Berhormat.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Apa Tambi?

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: You tambi lah. You punya Timbalan Presiden panggil you ‘paria’ tahu tidak?

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Kamu sakit jiwakah atau sakit gila?

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: You lah yang sakit!

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, Yang Berhormat cukup Yang Berhormat. Saya sudah mendengar.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Ini orang minta peraturan mesyuarat....

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: You punya Naib Presiden....

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat...

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Masuk Parlimen buat apa?

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: You ada...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, sudah cukup Yang Berhormat. [Dewan riuh] Yang Berhormat, cukup, cukup Yang Berhormat.

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: You punya Naib Presiden samseng...

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu, Yang Berhormat duduklah Yang Berhormat. Sudahlah Yang Berhormat.

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Kasihan sama you lah.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Mahu kasihan buat apa?

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Kasihanlah.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara].

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat Padang Serai [Dewan riuh]... Yang Berhormat Padang Serai, Yang Berhormat Padang Serai.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Semua...

Seorang Ahli: Poorah!

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, sudah, sudahlah itu Yang Berhormat.

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: You punya Presiden pun panggil you ‘paria’.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat Kulim Bandar Baharu, sudah!

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Tuan Yang di-Pertua...

Tuan Liang Teck Meng [Simpang Renggam]: Yang Berhormat Bakri.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Saya teruskan ucapan saya.

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Saya hendak perbetulkan fakta.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Tidak perlu Yang Berhormat. Tidak perlu betulkan fakta itu. Kalau dia salah, dia salah Yang Berhormat.

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Jadi, dia tidak boleh sepatutnya meneruskan...

Seorang Ahli: Peraturan mesyuarat...

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Kenyataan tersebut.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, tidak perlu ajar saya Yang Berhormat. Yang Berhormat, Yang Berhormat kalau dia salah, Yang Berhormat nanti berucap saya beri peluang berucap, nanti cakaplah. Yang Berhormat...

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Untuk Yang Berhormat Bakri...

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Tuan Yang di-Pertua, saya...

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Tarik balik. Kenyataan itu tidak betul.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Teruskan ucapan saya. Tuan Yang di-Pertua, setiap kali bajet dibentangkan, tiada satu...

Tuan Liang Teck Meng [Simpang Renggam]: Yang Berhormat Bakri, boleh minta mencelah sekejap? Sekejap sahaja. [Disampuk]

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Tuan Yang di-Pertua, saya ada berapa minit lagi? Tiada masa...?

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Dia tidak beri Yang Berhormat. Duduk Yang Berhormat.

Tuan Liang Teck Meng [Simpang Renggam]: Soalan yang pendek sahaja.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Okey, saya teruskan. Tuan Yang di-Pertua...

Tuan Liang Teck Meng [Simpang Renggam]: Tentang penyanyi Namewee ini.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Tidak mengapa. Tuan Yang di-Pertua, setiap kali bajet dibentangkan, tiada satu angka peruntukan yang jelas tentang pembangunan daerah Muar yang mana merupakan satu kawasan yang strategik di bahagian utara Johor, berjiran dengan negeri Melaka, terkenal dengan perindustrian perabot dan tempat melahirkan tokoh politik seperti Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar Johor dan Yang Berhormat Timbalan Menteri Belia dan Sukan sekarang.

Pembangunan perindustrian di Daerah Muar sudah ketinggalan jauh berbanding dengan Melaka dan Batu Pahat. Tapak perindustrian baru di Tangkak dalam keadaan nyawa-nyawa ikan, manakala projek pembangunan tapak perindustrian makanan di Bukit Kangkar sudah terbengkalai lebih 20 tahun. Daerah Muar pernah digelar sebagai bandar tidur. Tapak-tapak perindustrian lain cuma dimonopoli oleh perindustrian perabot dan industri ringan. Apakah perancangan kerajaan dalam memesatkan lagi perindustrian perabot di samping projek pembangunan perindustrian lain untuk membangunkan daerah Muar supaya peluang pekerjaan dicipta untuk mencegah anak muda mencari kerja di luar? Tuan Yang di-Pertua, sekian terima kasih.

No comments:

Post a Comment