2010-10-13

pembahasan dalam Rang Undang-undang Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia

DR. 13.10.2010 MS43

Pembahasan dalam Rang Undang-undang Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (Pemerbadanan) (Pindaan) 2010

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Bakri.

12.16 tgh.

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Hujah saya ringkas sahaja. Sungguhpun tujuan pindaan rang undang-undang ini boleh menambah hasil pendapatan Kerajaan Pusat dan negeri. Di samping memberikan peluang menambahkan kekayaan kepada tauke-tauke balak, tetapi berbalik kepada persoalan pokoknya iaitu apakah impaknya kepada golongan kaum asli di kawasan perhutanan.

Proses pembalakan yang telah lama mengancam mata pencarian hidup kaum peribumi seperti tanah cucuk tanam dicerobohi, pengangkutan, kayu balak melalui aliran sungai telah mengancam keselamatan mereka semasa menangkap ikan dan kepupusan bilangan binatang yang boleh diburu. Adakah pindaan rang undang-undang ini dapat menjamin kehidupan mereka, malah menambahkan pendapatan mereka, pembekalan kemudahan asas seperti air dan kuasa elektrik?

Dikatakan proses pembalakan di kawasan peribumi telah memberikan peluang kepada mereka untuk mengenali dunia luar. Adakah syarat pembekalan kemudahan asas tersebut perlu diberikan apabila sesuatu permit pembalakan diluluskan. Janganjangan insiden seperti pemberian komputer diperuntukkan oleh Kementerian Pelajaran di kawasan berkenaan berulang lagi? Gangguan seksual ke atas golongan wanita terutamanya di kalangan orang Penan, Sarawak yang telah lama dihebohkan di arena antarabangsa. Saya fikir ahli-ahli dalam Dewan yang mulia ini sudah lama mendengar insiden tersebut, cuma Ketua Menteri Sarawak yang tidak pernah dengar insiden gangguan seksual wanita Penan. Adakah pindaan rang undang-undang ini akan mengambil berat tentang insiden gangguan seksual demi menjamin keselamatan sosial kaum peribumi?

Akhir sekali ialah tentang keseimbangan ekosistem. Bagaimana mekanisme dijalankan supaya kadar pembalakan dikawal, supaya habitat flora dan binatang tidak diganggu-gugat. Sekian, terima kasih.

DR. 13.10.2010 MS62

Dato' Hamzah bin Zainudin: ...Kemudian saya hendak teruskan kepada soalan yang telah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bakri. Yang Berhormat ada mempersoalkan tentang impak kaum asli dalam kawasan perhutanan. Saya hendak jelaskan bahawa sebenarnya kerajaan sentiasa membantu sesiapa sahaja dalam negara kita yang memerlukan bantuan kerana kita mempunyai agenda untuk mengurangkan kemiskinan di seluruh negara.

Jadi kita tidak kira sama ada kaum asli ataupun sesiapa sahaja tetapi soalan tentang gangguan seksual kaum Penan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Bakri ini. Saya rasa Yang Berhormat terpaksa betul-betul faham tentang soalan ini kerana ini tidak ada kena-mengena dengan isu pembalakan yang berlaku dengan gangguan seksual yang berlaku pada kaum Penan. Jadi terpulanglah kepada Yang Berhormat pergi sana, tengok check balik apa masalah yang terdapat tentang isu gangguan seksual kaum Penan di kawasan tersebut.

No comments:

Post a Comment