2011-06-15

usul mengenai "Nude Squat 2.0" and urgensinya

Pada 24 November 2005, Surat khabar Bahasa Cina "China Press" membuat liputan sensasi berhubung kes ketuk-ketampi bogel yang berlaku di Balai Polis Petaling Jaya. Sekarang muncul pula "Nude Squat 2.0" melanda agensi penguatkuasaan undang-undang Negara. Kes yang mirip kejadian sewaktu zaman Tun Abdullah Badawi ini dilaporkan berlaku ke atas 2 orang wanita rakyat Singapura pula.

Pada 13 Jun 2011, media Singapura telah mendedahkan 2 orang wanita warganegara Singapore diarah melucutkan pakaian dan ketuk ketampi. Mereka telah ditahan selama 24 jam atas kesalahan kemasukan yang tidak sah oleh kerana passport mereka yang tidak dicop oleh pihak Imigresen. Mereka telah melalui kaunter 2 di Pos Pemeriksaan namun tiada Pegawai Bertugas kelihatan dan mereka telah cuba menggunakan perkhidmatan intercom. Mereka turut mendapati tiada Pegawai untuk mengendalikan sistem pengesahan cap jari. Semasa mereka berpatah balik untuk memastikan passport mereka dapat di cop namun sebaliknya, mereka ditahan atas alasan kemasukan yang tidak sah.

Terdapat satu lagi kes yang berlaku di Johor Bahru baru-baru ini perlu juga diambil perhatian. Pada 26hb Mei 2011, dua orang pemancing Chew Chong Yow, 24, and Tan Kok Beng, 26, telah ditahan oleh pihak tentera dan dibawa ke kem tentera di Gelang Patah, Johor untuk disoal siasat. Mereka ditahan atas tuduhan menjadi perisik Singapura namun dibebaskan selepas disoal siasat. Mereka mendakwa telah ditampar dan diperlakukan dengan kasar semasa disoal siasat.

Kedua-dua kes yang tersebut diatas seolah-olahnya tidak berhubung antara satu sama lain. Namun, mereka mempunyai banyak persamaan.

Sebutan "perisik Singapore" bukan kali pertama didengar tetapi sudah ulangkali dipergunakan oleh propoganda UMNO-Barisan Nasional untuk agenda politik tertentu supaya mencapai hinaan antara kaum dimana Singapore dianggap sebagai ancaman kepada Malaysia. Satu kes yang terkini berlaku di sesi mesyuarat Dewan Rakyat pada 16 Mac 2011 dimana Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin merujuk Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua sebagai "Singapore Agent". Apa yang dikhuatiri ialah adakah agenda politik telah diperguna dan disebarkan dalam anggota keselamatan di negara kita? Adakah propoganda sebegitu telah mempengaruhi anggota keselamatan di negara kita sehingga mereka sanggup anggap semua ancaman negara adalah berpunca dari Singapore?

Dalam kedua-dua kes ini terlibat kelakuan rasuah mengikut dakwaan oleh mangsa. Dalam insiden yang berlaku di Gelang Patah, salah satu dari empat anggota tentera yang terlibat tanya En Tan, sama ada beliau akan setuju untuk bayar sekiranya dia menelefon untuk minta wang nanti. Tan juga diberitahu, sekiranya telefonnya tidak dijawab, mereka akan pergi rumah beliau berjumpa dia. Dalam insiden yang berlaku di "Nude Squat 2.0" pula, salah satu pegawai kastam minta 3000 ringgit dari dua orang wanita warganegara Singapore yang ditahan sebagai syarat untuk mereka dilepaskan.

Dalam kedua-dua kes ini juga mencerminkan pentadbiran kita yang tidak selaras. Dalam insiden yang berlaku di Gelang Patah, persoalan terus bermain apabila wujud kenyataan yang berbeza di antara Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Mahmud Adam yang menjelaskan belum menerima laporan berhubung kes ini namun, pada hari yang sama juga Pengarah Imigresen Johor mengatakan bahawa mereka telah menjalankan siasatan dan telah menyerahkan laporan ke Putrajaya. Apakah Jabatan Imigresen tidak memaklumkan kepada Kementerian berhubung kes yang serius begini? Perkara yang sama juga berlaku di insiden Gelang Patah. Bukankah kelakuan disiplin diantara tentera seharunya ditanggungjawab dan disiasat oleh polis tentera dan penerangan sepatutnya dibuat oleh pihak tentera? mengapa OCPD Nusajaya Supt Abdul Aziz Ahmad pula yang menjalankan siastan dan menjalankan kenyataan rasmi?

Kelakuan seperti didalam insiden "Nude Squat 2.0" sebegitu serius melibatkan aspek keselamatan Negara dan juga boleh menjejaskan sector pelancongan. Dakwaan mangsa berkaitan tiada Pegawai Bertugas kelihatan di Pos Pemeriksaan sewaktu kejadian perlu disiasat segera. Sekiranya benar, ini perkara yang amat ditakuti kerana Negara bakal berhadapan dengan musibah yang besar sekiranya pegawai-pegawai penguatkuasa di sempadan Negara lalai dan culas dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sehingga menyebabkan sempadan Negara diceroboh masuk.

Tindakan sebegini boleh merendahkan nama Negara di persada dunia dalam soal hak asasi manusia dan hak wanita. Dengan laporan yang dihebahkan oleh media Singapura, ia berupaya menimbulkan rasa takut pelancong asing untuk datang ke Malaysia. Tindakan memalukan ini merupakan satu penghinaan kepada seluruh kaum wanita. Tindakan keterlaluan ini telah meninggalkan kesan mendalam terhadap mangsa dan ini sangat dikesali.

Selain itu, tindakan melucutkan pakaian dan ketuk ketampi adalah merupakan satu tindakan keterlaluan dan sangat tidak bertamadun. Jika kita imbas kembali tahun 2005, perkara sebegini pernah berlaku dan sebuah suruhanjaya telah ditubuhkan. Tetapi perkara seperti ini masih berlaku lagi malah telah berjangkit pula kepada agensi penguatkuasaan yang lain. Ini menunjukkan tiada keikhlasan dan keseriusan pihak-pihak terlibat dalam memastikan untuk membendung penularan perkara memalukan ini.

Dengan penularan perkara seperti ini di dalam agensi penguatkuasaan Negara kita, maka, sudah sampai masanya penubuhan satu suruhanjaya bebas bagi menyiasat dan memantau prosedur standard dan juga mengelakkan dari berlaku lagi perkara seperti ini.

Er Teck hwa
Ahli Parlimen Bakri

No comments:

Post a Comment