2011-06-15

USUL DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT 18(1)

Tarikh : 15.06.2011

Tan Sri Tuan Yang Di Pertua
Dewan Rakyat
Parlimen Malaysia

Tan Sri,

Pemberitahuan Usul Di Bawah Peraturan Mesyuarat 18 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat

Dengan segala hormatnya, saya ingin memberikan notis pemberitahuan di bawah Peraturan Mesyuarat P.18 untuk mengemukakan usul seperti berikut:

Pada 13hb Jun 2011, media Singapore telah mendedahkan bahawa pada 9hb Jun 2011, 2 orang wanita rakyat Singapura telah ditahan oleh Penguatkuasa Kastam Johor Bahru, diarahkan melucutkan pakaian dan ketuk ketampi. Mereka telah ditahan selama 24 jam atas kesalahan kemasukan yang tidak sah oleh kerana pasport mereka yang tidak dicop oleh Pihak Kastam. Mereka telah melalui Pos Pemeriksaan namun tiada Pegawai Bertugas kelihatan, cuba menggunakan perkhidmatan interkom malahan, tiada pegawai untuk mengendalikan sistem pengesahan cap jari. Mereka telah berpatah balik untuk memastikan pasport mereka di cop tetapi telah ditahan.

26hb Mei 2011, dua orang pemancing telah ditahan oleh pihak tentera dan dibawa ke kem tentera di Gelang Patah, Johor untuk disoal siasat. Mereka ditahan atas tuduhan menjadi perisik Singapura namun dibebaskan selepas disoal siasat. Mereka mendakwa telah ditampar dan diperlakukan dengan kasar semasa disoal siasat.

Kes-kes tersebut melibatkan agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab ke atas keselamatan Negara iaitu pihak Kastam dan Tentera. Tun Abdullah Ahmad Badawi telah gagal menubuhkan IPCMC yang bertujuan memulihkan kredibiliti agensi penguatkuasa dan sekarang berjangkit kepada agensi yang lain.

Malahan, peristiwa yang berlaku di Tambak Johor itu telah mendedahkan betapa mudah pelancong asing memasuki Negara kita tanpa pemantauan Pegawai Penguatkuasa di Pos Pemeriksaan.

Isu ini turut memberikan kesan terhadap sektor pelancongan Negara dan mengheret nama Negara sebagai sebuah Negara yang tidak menghormati hak asasi manusia. Dengan laporan yang telah dihebahkan oleh media Singapura termasuk juga di internet, ini boleh mendatangkan rasa takut pelancong asing untuk datang ke Malaysia.

Berdasarkan alasan di atas, insiden sebegini mencerminkan aspek keselamatan telah terjejas. Maka ia perlu dibahas dengan serta-merta dalam usaha menghindari keselamatan Negara dan rakyat terancam dan mendapat mudarat oleh kerana sikap begini dan saya berharap agar usul ini dapat dibahaskan oleh semua Ahli Dewan.

Sekian, Terima Kasih

Yang Benar,

Er Teck Hwa
Ahli Parlimen Bakri

No comments:

Post a Comment