2011-06-21

USUL DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT 18(1)

Tarikh : 21.06.2011

Tan Sri Tuan Yang Di Pertua
Dewan Rakyat
Parlimen Malaysia

Tan Sri,

Pemberitahuan Usul Di Bawah Peraturan Mesyuarat 18 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat

Dengan segala hormatnya, saya ingin memberikan notis pemberitahuan di bawah Peraturan Mesyuarat P.18 untuk mengemukakan usul seperti berikut:

Pada 19hb Jun 2011, Presiden PERKASA telah mengeluarkan kenyataan bertujuan untuk menimbulkan kegelisahan umum dengan mengingatkan sekiranya terjadi perkara-perkara yang tidak diingini pada 9hb Julai 2011 ini, maka, orang-orang Cina terpaksa membeli stok makanan dan kata-kata ini sengaja dilakukan untuk menimbulkan perasaan takut rakyat serta berupaya menjejaskan keharmonian rakyat berbilang kaum Negara ini.

Penganjur BERSIH tidak pernah sesekali mengeluarkan kenyataan tentang pergaduhan atau keganasan. Mereka hanya bercakap mengenai isu kebersihan dan ketelusan perlaksanaan Pilihanraya di Negara ini dan ingin menggunakan perhimpunan ini untuk menunjukkan manifestasi rakyat yang tidak berpuas hati tentang perlaksanaan PRU selama ini.

Ini bukanlah kali pertama, Presiden PERKASA memberikan ucapan berbaur perkauman yang mengajak rakyat untuk bergaduh sesama sendiri. Namun, sehingga kini, tiada tindakan diambil oleh Pihak Polis bagi menghalang beliau dari terus mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian. Sejak Negara mencapai kemerdekaan sehinggalah sekarang, tidak pernah seorang individu yang berkelakuan seperti ini terlepas dari undang-undang dan tindakan ini merupakan sesuatu yang serius.

Malahan, budaya perkauman atau Asabiyah ini tidak dianjurkan oleh Islam. Nabi Muhammad pernah bersabda: “Bukan di kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada ‘asabiyyah, bukan sesiapa yang berperang atas ‘asabiyyah, dan bukan di kalangan kami sesiapa yang mati atas ‘asabiyyah.” Hadis riwayat Abu Daud

Berdasarkan alasan di atas, insiden sebegini mencerminkan aspek keselamatan dan keharmonian telah terjejas. Oleh kerana 9 Julai semakin hampir, maka ia perlu dibahas dengan serta-merta dalam usaha menghindari keselamatan Negara dan rakyat terancam dan mendapat mudarat oleh kerana sikap begini dan saya berharap agar usul ini dapat dibahaskan oleh semua Ahli Dewan.

Sekian, terima kasih

Er Teck Hwa
Ahli Parlimen Kawasan Bakri

No comments:

Post a Comment