2011-06-22

Kenyataan Rasmi: Jawapan dair JPN mengenai isu murtad yanga mengelirukan

Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom seperti yang tersiar di laman BERNAMA dalam artikel “135 Tidak Sah Masuk Islam, Tidak Timbul Isu Murtad” adalah sangat mengelirukan. Apa yang menjadi persoalan adalah bagaimana seorang Menteri boleh memberikan 2 jawapan yang berlainan di Parlimen dan di dalam media?

Sedangkan dalam jawapan yang diberikan kepada saya, dengan jelas tertulis bahawa “Permohonan menukar agama oleh orang Islam di Mahkamah Syariah”, maka disini timbul persoalan, jawapan yang mana adalah benar atau Menteri tidak memberikan jawapan yang betul di Dewan Rakyat? Dan tambah pelik, sekiranya seseorang itu tidak sah masuk Islam,bagaimana mereka boleh diisytihar keluar Islam?

Kenapakah dalam jawapan yang diberikan itu memasukkan angka-angka yang diluluskan oleh mahkamah syariah tanpa ada penjelasan lanjut mengenai jumlah yang diluluskan itu? Adakah Menteri cuba untuk menyembunyikan keadaan sebenar?

Persoalan mengenai gejala murtad ini dibangkitkan sebagai langkah yang patut diambil oleh pihak JAKIM dan Majlis-Majlis Agama Islam bagi membendung gejala ini. Malah, dalam soalan saya turut meminta penjelasan Menteri mengenai tindakan-tindakan yang diambil oleh Jabatan Agama Islam Negeri dalam menangani gejala murtad.

Perlulah difahami bahawa “tidak sah status” dan juga “keluar agama atau murtad” merupakan 2 perkara yang berbeza. Dan soalan yang saya kemukakan tidak berkisar persoalan status sah atau tidak tetapi adalah mengenai persoalan murtad atau keluar agama. Seharusnya, Menteri yang diamanahkan menjaga portfolio agama ini tidak keliru dengan 2 terma yang digunakan.

Sebelum ini, pihak Kerajaan sibuk memperkatakan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam dan Islam itu sendiri diangkat sebagai agama rasmi Negara. Namun demikian, dengan pendedahan angka ini menunjukkan betapa masih lagi terdapat kelemahan-kelemahan dalam unsur dakwah Islam di pihak berkenaan. Malahan, penghayatan Islam juga dilihat sangat lemah ekoran daripada perlaksanaan dasar-dasar Kerajaan yang tidak menekankan pemahaman Islam bukan sahaja oleh orang bukan Islam tetapi juga penganut Islam sendiri. Tidaklah pelik apabila JAKIM pernah membenarkan penjualan “bir halal” sebelum ini kerana kelemahan dalam memperkasakan Islam itu sangat ketara.

Tatkala, masyarakat Muslim sibuk memikirkan persoalan mengenai video lucah, sumpah-sesumpah, kartun yang menghina Islam oleh akhbar Melayu sendiri dan juga isu Negara Kristian, persoalan mengenai statistic Murtad ini telah mengejut penganutnya dari lena yang panjang dan berpijak di bumi nyata. Komuniti Muslim itu harus sedar bahawa ancaman terhadap Islam itu tidak semuanya datang dari luar. Apabila penghayatan Islam itu longgar, perlaksanaan dasar syariah terhadap Muslim lemah, benteng pengajaran agama di peringkat sekolah itu telah dimangsakan, apa lagi nak dihairankan dengan angka 686 permohonan keluar agama dan 135 diluluskan.

Saya selalu melihat di kawasan saya, di Bakri dan Muar, bagaimana anak muda Muslim dibiarkan bergelut dengan hiburan keterlaluan dan melalaikan hingga ada kalanya melanggar norma anutan mereka. Malah di laman maya seperti Facebook juga turut memaparkan komen atau cerita yang jauh dari ajaran agama akibat dari pengaruh dasar-dasar yang tidak sempurna. Buktinya kewujudan Sekolah Hamil di Melaka. Banyak lagi perkara pokok yang mendasari permasalahan komuniti Muslim Malaysia yang menuntut pembelaan dan penjelasan dari pemerintah.

Saya mengutarakan persoalan ini bukan untuk menjadi popular. Ini bukanlah satu benda yang boleh dijadikan alat populis. Sebaliknya lebih kepada kesedaran saya sebagai seorang yang dipilih oleh rakyat untuk menjadi wakil mereka di Parlimen. Maka, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengutarakan persoalan yang sentiasa membelit komuniti Muslim yang turut merupakan pengundi di konstituen saya. Tambahan pula, dalam menuju politik baru, adakah merupakan satu kesalahan sekiranya seorang bukan Islam mengambil berat terhadap kebajikan saudara yang beragama Islam atau pun sebaliknya? Sekiranya kita saling mengambil berat dan memahami situasi-situasi yang dialami oleh saudara-saudara di sekeliling kita dan cuba untuk membantu menyelesaikan, maka ini akan melahirkan masyarakat tanpa prejudis yang bersatu padu.

Maka, dengan ini saya menuntut penjelasan yang ikhlas dan jujur daripada pihak Menteri mengenai perkara ini. Hal ini kerana, perkara-perkara yang melibatkan pegangan agama setiap rakyat di Malaysia ini harus dipandang serius oleh pihak Kerajaan bagi menjaga kesucian dan martabat agama tersebut. Janganlah diperlekehkan persoalan-persoalan agama kerana ia akan membawa kemudaratan kepada pembangunan Modal Insan Negara.

Er Teck Hwa
Ahli PArlimen Bakri
22.06.2011

No comments:

Post a Comment