2011-06-16

Ucapan Penangguhan : Gangguan Seksual Terhadap Pemandu Pelancong Wanita

Teks ucapan dan rakman video ada disini:



DR-16062011 MS132

05:40PM

Ucapan Penangguhan : Gangguan Seksual Terhadap Pemandu Pelancong Wanita

Tuan Er Teck Hwa [Bakri]: Ucapan penangguhan mengenai gangguan seksual diakibatkan oleh perkongsian bilik di antara lelaki dan wanita yang bukan pasangan dalam industri pelancongan.

Kes gangguan seksual yang berlaku terhadap pemandu pelancong wanita ketika ini adalah kritikal dan memerlukan perhatian. Menurut pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Wanita Malaysia (MWTGA), Cik Erina Loo menyatakan bahawa sepanjang tiga tahun ini, terdapat 20 aduan mengenai isu ini dan lima daripadanya melibatkan kes rogol. Hal ini terjadi kerana agensi pelancongan memaksa pekerja lelaki dan perempuan mereka berkongsi bilik apabila melakukan tugasan luar.

Situasi ini telah menjadi amalan dan juga peraturan gelap untuk menjimatkan kos operasi. Selain itu, terdapat juga beberapa kes di mana pemandu pelancong wanita dipaksa menandatangani surat aku janji untuk bersetuju dalam hal perkongsian bilik ini. Perkara ini bukanlah satu rahsia bagi pemain industri ini. Terdapat juga kes-kes di mana pemandu pelancong terpaksa meletak jawatan akibat tidak berkompromi terhadap isu ini.

Setiausaha Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA), Encik Tai Poh Kim menyatakan bahawa pada 1 Jun 2009, Menteri Pelancongan memang telah mengisytiharkan bahawa pemandu pelancong wanita dan lelaki tidak boleh berkongsi bilik. Namun, peraturan tersebut hanya dikuatkuasakan pada tahun 2010 dan MWTGA tidak pernah menerima apa-apa penerangan daripada Kementerian Pelancongan. Peraturan larangan perkongsian bilik tersebut turut tidak diterima.

Kementerian Pelancongan menjelaskan perkara ini sebagai kesilapan komunikasi tetapi hakikatnya, Menteri Pelancongan sebenarnya tidak pernah mengarahkan penguatkuasaan. Kementerian tidak seharusnya mengabaikan tanggungjawab dan patut mengadakan pemeriksaan mengejut berkaitan isu ini. Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mencadangkan agar satu peraturan diperkenalkan iaitu operator agensi pelancongan harus mengambil sekurang-kurangnya 30% pemandu pelancong dan pemandu kenderaan wanita dan operator agensi pelancongan perlu memastikan jumlah 30% wanita di dalam sesebuah kumpulan pelancong.

Malah, ini bukan persoalan mengenai nisbah peratusan lelaki dan perempuan tetapi kegagalan Kementerian Pelancongan dalam penguatkuasaan dan penyelesaian dalam isu ini. Kementerian Pelancongan menyatakan tidak boleh mengambil sebarang tindakan jika tidak ada laporan. Dalam mana-mana kes seksual, mangsa sendiri biasanya amat sukar untuk tampil dan ceritakan kejadian yang berlaku dan terpulang kepada inisiatif kementerian untuk menyiasat dan memastikan peraturan-peraturan yang diisytiharkan ada dipatuhi.

Jumlah operator pelancongan sekarang telah melebihi 2,000 buah dan kementerian tidak mampu memantau kesemuanya. Persoalannya adalah kenapakah kementerian tidak menambahkan bilangan penguat kuasa untuk menyelesaikan hal ini? Rakyat tidak mengundi menteri untuk duduk di kerusi empuk kementerian di Putrajaya dan berharap agar mangsa datang jumpa anda untuk pengaduan. Hal ini menunjukkan ketidakupayaan menteri berkenaan untuk menyelesaikan masalah dan seharusnya menteri berkaitan meletakkan jawatan dan memberikan peluang kepada mereka yang berkeupayaan untuk memainkan peranan yang lebih efektif bagi membendung masalah ini. Sekian, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya, sila Yang Berhormat Menteri.

Menteri Pelancongan [Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Isu berkaitan perkongsian bilik di antara pemandu bas dan para pekerja berkaitan pelancongan adalah termaktub di bawah pindaan Peraturan-peraturan Industri Pelancongan, Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi, Pengembaraan 1992 dan telah berkuat kuasa pada 1 April 2010. Pindaan ini jelas menyatakan tentang kesalahan berkongsi bilik di kalangan pekerja industri pelancongan yang berlainan jantina dan sesiapa yang didapati melanggar peraturan ini akan diambil tindakan.

Pindaan peraturan yang dimaksudkan adalah peraturan 6(1)(n), Peraturan-peraturan Industri Pelancongan, Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan di mana pemegang lesen hendaklah mematuhi apa-apa syarat lain sebagaimana yang ditentukan oleh pesuruhjaya dari semasa ke semasa.

Manakala, pematuhan syarat-syarat lesen Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan yang ditetapkan oleh pesuruhjaya di atas adalah seperti berikut.

Syarat 13. Tanggungjawab ke atas pegawai, kakitangan syarikat-syarikat pemegang lesen hendaklah tidak membenarkan pegawai, kakitangan berlainan jantina termasuklah pemandu pelancong dan pemandu bas persiaran berkongsi bilik penginapan semasa mengendalikan pakej pelancongan. Peraturan-peraturan yang mengawal selia profesion pemandu pelancong juga telah pun ditetapkan di bawah Peraturan-peraturan Industri Pelancongan, Pelesenan dan Pengawalan Pemandu Pelancong 1992. Semua pemandu pelancong perlu mematuhi peraturan 11(1) berkaitan tataetika dan kawalan tatatertib iaitu tiap-tiap pemandu pelancong berlesen hendaklah mematuhi tataetika yang diperuntukkan dalam Jadual Kelima.

Tuan Yang di-Pertua, sebagai langkah proaktif ketika peraturan ini sedang dipinda, kementerian ini telah menghantar surat kepada persatuan, pihak industri termasuk Persatuan Pemandu Pelancong Wanita Malaysia (MWTGA) pada 13 Mac 2009, menggesa pihak MATTA untuk mengambil langkah-langkah memberi kesedaran kepada ahli-ahlinya untuk mematuhi sepenuhnya larangan amalan berkongsi bilik di antara pemandu pelancong wanita dengan pemandu pelancong atau pemandu bas pelancong lelaki dalam aktiviti pelancongan yang diaturkan.

Kementerian ini turut menyarankan persatuan-persatuan berkenaan untuk membuat laporan kepada kementerian ini atau pihak berkuasa sekiranya berlaku kes yang melanggar peraturan termasuk perkongsian bilik untuk diambil tindakan segera.

Peraturan ini diedarkan kepada semua persatuan dan syarikat pengendalian pelancongan semasa kelulusan lesen baru dan pembaharuan lesen. Sebagai tambahan, kementerian ini telah mewajibkan semua pemandu pelancong mengambil kursus selama 500 jam sejak tahun 1996 bagi mendapatkan sijil pemandu pelancong mereka yang turut mengandungi aspek-aspek pelaksanaan undang-undang. Peraturan dan rekod etika pemandu pelancong, dalam hal ini setiap pemandu pelancong telah mengetahui perkongsian bilik yang berlainan jantina adalah merupakan kesalahan dari segi etika dan peraturan.

Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Dewan yang mulia ini, kes mengenai perkongsian bilik ini hanyalah diketahui oleh pihak kementerian melalui akhbar sahaja pada 20 Mei 2011. Ekoran daripada itu, saya telah mengambil inisiatif sendiri dengan meminta ketua setiausaha kementerian ini untuk menghubungi pihak MWTGA pada 21 Mei 2011 bagi mendapatkan penjelasan. Seterusnya, semasa mesyuarat dengan pihak terbabit di antara ketua setiausaha kementerian dengan MWTGA pada 23 Mei 2011, kementerian telah meminta pihak MWTGA dan pemandu pelancong terbabit membuat laporan dengan segera agar siasatan lanjut dapat dilakukan dengan serta-merta.

Untuk itu, hanya MWTGA membuat aduan. Sehingga ke hari ini, sekarang, tiada aduan diterima daripada pemandu pelancong wanita berkenaan. Kementerian ini telah memulakan siasatan dengan mengambil kenyataan bertandatangan oleh pengurus inbound syarikat sewa bas pelancongan tersebut pada 24 Mei 2011, pengurus operasi syarikat pengusaha pelancongan pada 24 Mei 2011, pegawai tempahan dan pengurus keselamatan pihak hotel pada 30 Mei 2011, pemandu bas yang dimaksudkan pada 31 Mei 2011 dan pemandu pelancong wanita terbabit pada 2 Jun dan 3 Jun 2011.

Hasil siasatan kementerian ini mendapati sebuah bilik telah disediakan khas kepada pemandu pelancong wanita berkenaan oleh syarikat pengusaha pelancong terbabit dan tiada arahan untuk beliau untuk berkongsi biliknya dengan pemandu bas yang dimaksudkan. Manakala pemandu bas tersebut turut diberikan elaun penginapan oleh syarikat bas terbabit. Pemandu pelancong wanita itu dalam kenyataan, dengar baik-baik ya, percakapan telah mengakui dia tidak dipohon untuk berkongsi bilik oleh syarikat pelancongan terbabit tetapi telah memberi kunci biliknya kepada pemandu bas tersebut secara sukarela. Dengar baik-baik Yang Berhormat. Oleh yang demikian, tiada kes terhadap pengusaha syarikat pelancongan terbabit kerana pihak syarikat telah menyediakan bilik khas kepada pemandu pelancong tersebut. Sebarang kejadian yang berlaku di dalam bilik berkenaan adalah kes jenayah yang perlu dilaporkan kepada pihak polis.

Yang Berhormat adalah Yang Berhormat Dewan yang mulia ini. Yang Berhormat tahu di negara kita, kita ikut undang-undang. Mana-mana kes sexual harassment atau rogol jikalau tidak dilaporkan, macam mana nak ambil tindakan?

Tuan John Fernandez [Seremban]: Prepare, adakah ini dalam teks atau luar teks?

Dato' Sri Dr. Ng Yen Yen: Kementerian ini tidak mempunyai kuasa untuk kes sebegini tetapi pihak kementerian akan membantu beliau untuk merujuk perkara ini kepada pihak polis. Akan tetapi sehingga sekarang, walaupun Kementerian Pelancongan sudah bagi nasihat untuk laporkan kepada polis, tidak buat lagi. Tuan Yang di-Pertua, saya amat dukacita dengan isu berkongsi bilik ini walaupun pihak kementerian telah meminda peraturan dengan melarang perkongsian oleh pekerja pelancongan. Saya ingin tegaskan sekali lagi, peraturan yang dipinda adalah untuk melindungi hak-hak mereka sebagai seorang pekerja. Semenjak tahun 2009 sampai April 2011, kementerian ini telah menerima 724 aduan berkaitan pengusaha pelancongan, pemandu pelancong, kenderaan pelancongan dan hotel tetapi tiada satu pun laporan mengenai isu perkongsian bilik dan gangguan seksual daripada sesiapa pun termasuk MWTGA.

Tuan Yang di-Pertua, sekali lagi saya ingin tegaskan di sini bahawa semua pengusaha pelancongan telah maklum mengenai pindaan peraturan ini kerana ia telah diedarkan kepada semua pihak yang terlibat semasa membuat lesen dan turut terkandung di dalam subjek khusus yang diberikan oleh kementerian ini kepada mereka. Semua pihak industri termasuk pemandu pelancong perlu mematuhi peraturan yang telah dikuatkuasakan. Kementerian ini akan mengambil tindakan yang tegas terhadap sebarang pihak yang melakukan mana-mana kesalahan tersebut seperti mana yang telah termaktub di bawah Akta Industri Pelancongan dan dalam kes ini, sesiapa yang memberikan dengan kerelaannya kunci ke bilik hotel itu sudah melanggar akta dan undang-undang ini. Sekian terima kasih.

2 comments:

  1. Salam sejahtera YB,

    Saya juga PEMANDU PELANCONG LELAKI bersetuju dengan pandangan dan gesaan YB.

    RAKYAT DIDAHULUKAN....Pemandu Pelancong Dirogol
    PEMBANGUNAN DIUTAMAKAN....Promosi (RM) Pelancongan Diutamakan.

    Do something to help a person....don't try using act, code or ethic to put a blame or insiden happened back to the person ( victim ).

    Itu baru pemimpin....PEMANDU PELANCONG sering digelar DUTA KECIL negara....DUTA kalau dirogol ...apa kerajaan akan buat...

    Ini adalah cadangan penambahbaikan.

    Dari PEMANDU PELANCONG LELAKI. aktivis

    ReplyDelete
  2. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada komen anda.

    Sebenarnya saya ada tulis satu atikel mengenai isu ini. Saya akan poskan di sini.

    Walaupun saya sudah menekankan NYY memberikan penerangan menganai penguatkuasaan, sehingga hari ini, beliau masih enggan membuat kenyatan di Dewan Rakyat.

    Apa yang anda baca di khabar adalah berasas kpd soalan yg saya tanya di minggu lepas.

    Saya akan membangkitkan isu ini di Dewan pada hari esok sehingga Kementerian Pelancongan melakukan sesuatu yng proaktive and bukan kenyatan untuk mengelirukan orang mumum shj.

    Terima kaish.

    ReplyDelete