2012-03-29
Mengapa Saya Bangkitkan Isu Israel?
Saya telah menerima banyak komen-komen di dalam ruangan mesej Facebook saya dan juga melalui email yang menyatakan saya sekadar cuma bermain politik dan memperbesarkan isu mengenai perdagangan dengan Israel ini. Ketidakfahaman masyarakat Cina terhadap isu ini mungkin tidak akan tiada jalan penyelesaian dalam tempoh terdekat namun, ini merupakan batu loncatan kepada semua Wakil-Wakil Rakyat untuk tidak lagi menyuarakan isu-isu yang hanya bersangkutan dengan warna kulit, bahasa, dan juga agama masing-masing.
Dalam era dunia tanpa sempadan ini, kita sering mendengar laungan perjuangan hak samarata, keadilan dan kesaksamaan dan bermacam lagi pekikan slogan, tetapi hakikatnya kita masih lagi bermain di dalam lingkungan atau “inner circle” kita sendiri semata-mata. Inilah masa yang terbaik untuk kita semua buktikan sebagai seorang Wakil Rakyat, kita bukanlah mewakili sesuatu kumpulan semata-mata sebaliknya kita mewakili semua lapisan masyarakat termasuk juga minoriti yang tidak mengundi kita.
Ataupun kita hanya sekadar melihat saja mancis tanpa ada usaha untuk menyalakan lilin walaupun kita sebenarnya berada di dalam kegelapan?
Isu mengenai hubungan perdagangan dengan Israel boleh sahaja dibangkitkan oleh Wakil Rakyat Islam dari PAS dan PKR kerana mungkin pada pandangan sekelompok masyarakat, isu mengenai Israel ini hanya menyentuh nurani mereka yang beragama Islam sahaja. Namun, saya melihat jauh ke hadapan.
Saya mengambil tindakan yang mungkin sedikit menjolok mata rakan-rakan sebangsa saya, malahan, saya akan berhadapan dengan serangan-serangan pihak-pihak hipokrit yang selama ini mempergunakan isu Israel-Palestin ini sebagai kepentingan politik domestik mereka semata-mata dan saya yakin mengenai perkara ini serta jauh lebih buruk, saya boleh dikenakan tindakan dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Tetapi mengapa saya tetap bangkit dan bertegas menyuarakan perkara ini? Saya seorang wakil rakyat yang dipilih oleh pengundi maka sudah pastilah saya perlu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan keazaman yang tinggi walaupun menghadapi pelbagai halangan dan cabaran.
Saya sering mengungkapkan bahawa isu berkaitan Israel –Palestin berkait rapat dengan rasa kemanusiaan. Sebagai rakyat Malaysia, kita sering diajar di dalam kempen-kempen untuk menunjukkan rasa kasih sayang terhadap sesama manusia. Malahan, sebagai manusia sejati, kita turut menzahirkan perasaan kasih sayang bukan sahaja sesama manusia tetapi kepada semua makhluk ciptaan Tuhan.
Apabila saya melihat kekejaman demi kekejaman, kezaliman demi kezaliman yang sentiasa dilakukan oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin, ia sememangnya menyentuh naluri kemanusiaan saya. Tiada seorang manusia sejati pun yang dapat menafikan betapa sedihnya kita melihat gambar-gambar anak kecil yang menemui ajal ekoran hujan peluru tentera Israel. Ribuan lagi yang telah kehilangan anggota badan dan menjadi cacat seumur hidup mereka.
Tidakkah kita merasa belas kasihan? Bagaimana mungkin saya mendiamkan diri apabila saya menerima beberapa dokumen-dokumen Kerajaan yang menunjukkan wujudnya hubungan perdagangan di antara negara kita dengan Israel. Kepastian perlu dicari agar kita tidak menjadi antara negara yang membantu Israel dalam menyediakan dana persenjataan mereka.
Selain itu, saya melihat dengan wujudnya laporan Kesatuan Eropah yang menyatakan Malaysia berada di tangga ke 15 sebagai rakan dagang utama Israel dan juga beberapa laman web yang jelas memaparkan nama Malaysia sebagai antara pengeksport utama bekalan minyak sawit Israel ini dari aspek keselamatan negara.
Dengan pendedahan kesemua dokumen ini tanpa ada bantahan atau tindakan rasmi daripada pihak berwajib negara kita terhadap laporan dan laman web tersebut, ia berpotensi mendedahkan negara kita kepada kumpulan-kumpulan yang mempunyai perasaan kemarahan yang meluap dan dendam berterusan dengan negara Israel ini. Adakah kita mahu beberapa peristiwa seperti kejadian di Bali berlaku di dalam negara kita? Sudah tentu tidak.
Maka, Adakah kita mahu beberapa peristiwa seperti kejadian di Bali berlaku di dalam negara kita? Sudah tentu tidak. Maka, kewujudan laporan ini memerlukan penjelasan daripada Kerajaan dan Dewan Rakyat merupakan tempat yang paling sesuai untuk menuntut penjelasan dan tindakan segera daripada pihak Kerajaan.
Saya juga melihat isu mengenai Israel ini seringkali digunakan oleh UMNO/BN sebagai satu alat untuk memanjangkan hayat politik mereka dengan memainkan sentimen sesetengah kelompok masyarakat. Isu Israel ini sebenarnya telah lama menjadi mainan mereka. Ia dijadikan sebagai satu bahan untuk memesongkan perhatian masyarakat terhadap sesuatu isu yang boleh memberikan liabiliti kepada mereka. Dan kali ini, isu Israel kembali menggegar dunia politik Malaysia khasnya penganut Islam tatkala, isu NFC sedang mengancam kedudukan UMNO.
Hanya kerana satu temubual Ketua Pembangkang, UMNO terus menjaja cerita, mencipta prejudis rakyat terhadap satu sama lain sedangkan hakikatnya yang tidak dinafikan oleh Menteri bahawa sememangnya Jemaah Menteri pernah memberikan kelulusan perdagangan dengan Israel pada tahun 1996 turut menjadikan UMNO/BN itu tidak ubah seperti pemain wayang dongeng yang sentiasa mencipta sensasi dan menyembunyikan pekung sendiri.
Saya telahpun mengemukakan satu usul di Dewan Rakyat untuk menuntut Kerajaan menyatakan pendirian sama ada menarik balik semua kebenaran Jemaah Menteri tahun 1996 atau membiarkannya sahaja dan tidak lagi menuding jari kepada Pakatan Rakyat sebagai ejen Zionis hanya untuk menimbulkan prejudis rakyat bahawa Pakatan Rakyat ini seolah-olah “Paksi Keganasan”. Perkara ini perlu dihentikan segera kerana banyak lagi isu-isu negara yang sedang membelit negara ini dan ia adalah tumpuan utama kedua-dua belah pihak.
Dari satu sisi Akta Kastam Larangan Import Eksport Pindaan 2008 melarang perdagangan dengan Israel manakala dari sisi yang lain, Jemaah Kabinet telah membenarkannya. Mengapa wujud dua keadaan yang bertentangan. Bagaimana satu rang undang-undang yang telah digubal di Dewan Rakyat dengan sewenang-wenangnya dilanggar oleh Kerajaan? Apakah kita sendiri tidak menghormati rang undang-undang yang kita gubal? Maka, jalan terbaik adalah Kerajaan Pemerintah UMNO/BN harus menunjukkan wajah sebenar mereka dalam isu ini.
Ahli Parlimen Bakri
Er Teck Hwa
29.03.2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment