jeti Tanjung Musuh, Pengerang |
Sehingga ini, terdapat lebih kurang 80 orang nelayan menghuni kampung tersebut. Ini bermakna sekiranya pelan pemindahan ini dilaksanakan, kampung ini terpaksa menerima seramai 645 orang nelayan dan 400 bot lagi. Ini akan menyebabkan jeti sedia ada berpotensi mengalami kesesakan dan persaingan untuk meraih hasil akan menjadi lebih sengit. Menurut pemahaman saya, nelayan-nelayan sedia ada di kampung tersebut telah pun menghuni dan mencari rezeki di perairan berhampiran selama tiga generasi. Menurut maklum balas yang diterima, dari tahun 2010 sehingga kini, pendapatan mereka semakin berkurangan di mana dahulu mereka berupaya meraih pendapatan sehingga RM 3000 sebulan tetapi kini menjadi semakin kurang iaitu sekitar RM 800 - RM 1000 sahaja. Nelayan-nelayan sedia ada di kampung tersebut merasa amat kecewa dan tidak berpuas hati dengan perancangan pemindahan ini. Mereka bukan sahaja terpaksa menghadapi saingan dengan 400 bot yang bakal berpindah malah mereka terpaksa bersedia untuk menerima hakikat bahawa sumber rezeki mereka akan semakin mengecil sebaik proses pemindahan ini dilakukan.
Nelayan-nelayan yang sedia ada di Kampung Tanjung Musuh ini adalah merupakan nelayan yang menggunakan bot bersaiz sederhana dan kecil sahaja. Bagi bot bersaiz sederhana, jarak zon perikanan hanyalah sekitar lingkungan 60 km sahaja, iaitu sehingga ke Tanjung Sedili manakala bagi bot bersaiz kecil pula, jarak zon perikanan mereka sekitar 3 batu nautika. Nelayan-nelayan ini bukanlah nelayan laut dalam yang mampu untuk ke laut lepas mencari hasil tangkapan yang lebih banyak.
Semenjak dua tahun kebelakangan ini, terdapat kapal-kapal yang tidak dikenali telah datang ke kawasan sekitar zon perikanan berhampiran kampung tersebut untuk membuang tanah-tanah kotor. Tindakan kapal-kapal ini telah menyebabkan kerosakan karang laut hingga mengakibatkan jaring-jaring nelayan ini menjadi rosak akibat daripada kerja-kerja membuang tanah ini. Tindakan ini juga telah mengakibatkan nelayan-nelayan terlibat mengalami kemerosotan hasil perikanan yang drastik.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani tidak menjawap soalan yang saya bangkitkan di Dewan Rakyat sejujurnya. Jawapan bahawa Kementerian dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor (UPEN) untuk memastikan pemindahan berjalan lancar dan Pejabat Perikanan Daerah Kota Tinggi bersama-sama Persatuan Nelayan Pengerang akan memastikan kehidupan nelayan-nelayan ini tidak terjejas adalah satu jawapan yang lemah.
Perkara yang patut menjadi keutamaan Kementerian adalah memberikan statistik-statistik dan juga langkah-langkah penyelesaian yang lengkap agar rakyat dapat diberikan penjelasan kukuh berhubung kesesuaian proses pemindahan ini. Bukannya membiarkan rakyat terkapai-kapai dengan persoalan yang membelenggu pemikiran mereka dan keluarga mereka dan memberikan satu jawapan yang tidak konkrit. Timbalan Menteri hanya memberikan satu lagi jawapan yang tipikal, mengutarakan janji-janji yang tidak affirmatif dan konstruktif sebagai jalan penyelesaian buat rakyat Pengerang. Inikah contoh terbaik Timbalan Menteri sebuah Kerajaan yang mendahulukan rakyat?
Ahli parlimen Bakri
Er Teck Hwa
04.04.2012
No comments:
Post a Comment