2012-03-22

Kenyataan: petisyen dilancarkan di Pengarang di bawah P.M. 19

Sejak tahun lepas, penduduk-penduduk tempatan Pengerang sudah pun menghantar tidak kurang daripada 4 memorandum kepada pihak tertentu termasuk kepada Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan mengenai pelbagai isu yang berkaitan dengan Projek Terminal Petroleum Laut Dalam atau RAPID (Refinery And Petrochemical Integrated Development) di Penggerang, Johor namun tiada apa-apa tindakan yang dilaksanakan. Ribuan tandatangan telah diperolehi oleh persatuan-persatuan penduduk tempatan, namun ia tidak dilayan.

Maka, saya memetik Perkara 19, Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat untuk mengadakan satu rayuan berhubung perkara tersebut di atas, untuk mendapatkan pandangan sebenar kebanyakkan penduduk tempatan sama ada bersetuju atau tidak dengan pembinaan projek ini dan saya membawa usul berhubung perkara ini ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan.

Saya telah mengemukakan pertanyaan kepada Bahagian Perundangan Parlimen dan mendapati bahawa sepanjang tempoh 10 tahun ini, usul dibawah Perkara 19 tidak pernah dibentangkan dalam Dewan rakyat. Usul ini akan mengandungi tandatangan penduduk tempatan dan objektif saya adalah untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 1/3 daripada penduduk tempatan menandatangani rayuan ini. Malahan, Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional mewar-warkan slogan Rakyat Didahulukan, jadi saya memohon agar usul ini dapat dibahaskan di dalam Dewan Rakyat sesuai dengan konsep “Rakyat Didahulukan” tersebut.

Ahli Parlimen Penggerang, YB Azalina Othman Said telah menyatakan bahawa semasa perhimpunan penduduk membantah projek berkenaan, banyak kereta-kereta bernombor pendaftaran Singapura kelihatan di tapak perhimpunan dan beliau mengesyaki bahawa perhimpunan itu telah disertai oleh rakyat negara asing.

Dalam Perbahasan Titah Di Raja, saya telah membangkitkan bahawa saya mempunyai gambar-gambar mengenai peserta semasa perhimpunan tersebut. Tuduhan rambang YB Azalina sebenarnya telah membangkitkan kemarahan penduduk kerana hakikatnya ramai penduduk-penduduk yang terpaksa mencari rezeki, bekerja di Singapura ekoran daripada kekurangan peluang pekerjaan di Penggerang untuk penduduk yang berpendidikan tinggi, kadar pertukaran matawang Singapura yang lebih tinggi dan ramai di kalangan penduduk Penggerang memilik kenderaan berpendaftaran Singapura.

Sekiranya YB Azalina berhasrat untuk turun padang meninjau perkara ini, saya bersedia bersama-sama beliau untuk melihat sejauh mana kebenaran tuduhan beliau itu. Tambahan pula, penganjur Perhimpunan ini adalah kebanyakkan terdiri daripada ahli-ahli UMNO dan MCA. Sekiranya dia menuduh peserta perhimpunan adalah rakyat Negara lain maka, adakah YB Azalina cuba untuk menuding jari terhadap saudara-saudaranya di dalam Barisan Nasional yang membawa masuk rakyat-rakyat Negara lain itu?

Ahli Parlimen Bakri
Er Teck Hwa
22hb Mac 2012

No comments:

Post a Comment