2012-03-09

Kenyataan Rasmi: Kera dihutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan

Loji nadir bumi Lynas di Gebeng telah menimbulkan keresahan penduduk setelah pendedahan dibuat tentang risiko yang boleh ditanggung seandainya sisa-sisa radioaktif dari loji tersebut tidak diuruskan dengan baik. Ribuan rakyat berbilang kaum telah berhimpun di Kuantan 26 Februari lalu membantah operasi syarikat terbabit. Himpunan Hijau 2.0 bukan sahaja telah berlaku di Kuantan malahan di beberapa bandar utama di Malaysia menyaksikan rakyat bangkit memberikan isyarat jelas buat Pemerintah, rakyat tidak mahu negara ini menjadi tong sampah radioaktif.

Ada yang memberikan hujah bahawa Loji Lynas ini akan memberikan pulangan baik kepada pendapatan negara. Saya sebenarnya tidak ingin menyangkal hujah ini namun, peluang pekerjaan yang dibuka adalah sebanyak 350 sahaja tambahan lagi, pengecualian cukai diberikan hingga 12 tahun. Kita sangat baik apabila memberikan industri yang menghasilkan sisa buangan radioaktif pengecualian cukai begini walaupun industri ini dianggarkan akan membuat untung berbillion ringgit pada tahun pertama pembukaannya. Apakah pihak Pemerintah tidak menyedari akan tindakan mereka memberikan pengecualian cukai ini ibarat “Kera dihutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”.

Apabila negara mula melibatkan diri dalam pemprosesan bahan radioaktif, kajian menyeluruh perlu dijalankan sebelum apa-apa lesen atau arahan dikeluarkan untuk memulakan pembinaan. Hanya satu bencana yang melibatkan sisa radioaktif memadai untuk menjadi ancaman yang serius dan kekal lama kepada semua. Kita telah lihat bencana radioaktif yang berlaku di Bukit Merah dulu. 8 kes leukimia dan 7 kes kematian telah berlaku. Walaupun telah ditutup pada tahun 1992, namun kerja-kerja pembersihan sisa masih berjalan hingga hari ini (hampir 20 tahun) dan telah menelan belanja lebih RM300 juta. Apakah kita tidak mempelajari daripada kesilapan kita dahulu?
Kilang-kilang yang terletak di dalam lingkungan 5KM dari Loji nadir bumi Lynas 
Di sekeliling loji Lynas ini terdapat banyak kilang-kilang yang telah dibina lama dahulu. Kilang-kilang seperti BASF Petronas Chemical, BP Chemicals (Malaysia) Sdn. Bhd, W.R Grace Speciality Chemicals (Malaysia) Sdn. Bhd, Kaneka Innovative Fibers Sdn. Bhd, Cargill Palm Products (Kuantan) dan banyak lagi. Pelbagai produk-produk pengguna dihasilkan oleh kilang-kilang ini, daripada lampin pakai buang untuk bayi, tuala wanita, minuman jus, air mineral, lampu, produk rambut,nutrisi haiwan dan macam-macam lagi. Apakah alasan Kerajaan Pemerintah untuk membenarkan pembinaan loji berbahaya ini berdekatan dengan industri-industri begini? Apakah pihak Kerajaan Pemerintah tidak memikirkan mengenai nasib ribuan pekerja-pekerja industri yang mencari rezeki untuk menyara keluarga di Pusat Perindustrian Gebeng ini? Bagaimana pula dengan nasib 309 nelayan laut dalam di sekitar Kuantan? Sektor perikanan di Kuantan adalah antara yang terbesar. Sekiranya terjadi kebocoran sisa atau kemalangan radioaktif bukankah ini turut memberikan kesan kepada industri perikanan?

Manakala, di pihak kilang-kilang lain, adakah anda tidak berani untuk menyuarakan kebimbangan pekerja-pekerja anda terhadap loji penapisan nadir bumi ini? Sekiranya berlaku kebocoran atau kemalangan radioaktif, tidakkah anda sedar ia akan menjejaskan kesihatan pekerja-pekerja anda dan juga produk-produk yang anda hasilkan? Apakah Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri bersedia untuk memindahalihkan kesemua kilang-kilang di sekeliling loji ini sebagai menuruti syarat minimum seperti yang ditetapkan oleh Kerajaan Australia?
Bandar-bandar yang terletak di dalam lingkungan 40KM dari Loji nadir bumi Lynas 
Sedangkan dalam industri pemprosesan Cyanide, jarak selamat diantara loji pemprosesan dengan kawasan penempatan penduduk adalah sekitar 10 km seperti yang dinyatakan oleh International Cyanide Management Institute (ICMI). Namun, loji pemprosesan Nadir Bumi Gebeng ini hanya berjarak 2 KM dari Balok dengan kepadatan penduduk seramai 16700 orang. Apakah kita boleh menutup sebelah mata terhadap nasib penduduk Balok dengan membenarkan pembinaan loji pemprosesan Nadir Bumi yang mengandungi pelbagai logam berat ini berdekatan dengan penempatan mereka? Jika diambil kira keluasan evakuasi di Fukushima, dalam jarak 40KM dari Gebeng Kuantan, kebocoran sisa radioaktif akan melibatkan keseluruhan penduduk di Kuantan, Gambang, Cherating malah Kemaman di Terengganu sekalipun. Jumlah penduduk yang mungkin terlibat boleh mencecah hampir 800 hingga 900 ribu secara keseluruhannya dengan Kuantan sahaja di sekitar 600 hingga 650 ribu orang. Bersediakah kita untuk menghadapi sebarang kemungkinan? Bagaimana dengan pelan evakuasi dan kontigensi melibatkan hampir 1 juta penduduk ini?

Perdana Menteri menyatakan bahawa Kerajaan ingin memastikan keselamatan rakyat sewaktu mengumumkan keputusan untuk mengarahkan Lynas mengalihkan tempat pengumpulan sisa ini ke lokasi yang lebih jauh dari penempatan. Namun, ini tidak menjelaskan penyelesaian sebenar kerana Loji Nadir Bumi LYNAS ini tidak seharusnya dibenarkan wujud di bumi Malaysia ini sekiranya Kerajaan Pemerintah dan Perdana Menteri benar-benar ikhlas dalam memastikan keselamatan dan nyawa rakyat.

Ahli Parlimen Bakri
Er Teck Hwa
09.03.2012

No comments:

Post a Comment