2011-09-08

Masalah Bekalan Air di Mukim Air Hitam, Bakri Semasa Musim Perayaan


Semasa musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri yang lepas, penduduk sekitar Mukim Air Hitam, Bakri telah mengalami masalah bekalan air yang kritikal.

Bekalan air merupakan kemudahan asas yang sangat penting apatah lagi di musim perayaan sewaktu sanak saudara pulang ke kampung halaman. Sudah pastilah apabila terjadi gangguan bekalan air pada ketika itu akan mengundang kesukaran dan masalah kepada penduduk.

Hasil dari pertemuan bersama penduduk pada 6 September 2011, beberapa perkara telah dilaporkan oleh penduduk seperti yang tersebut :

Masalah gangguan bekalan air sering terjadi sewaktu musim perayaan beberapa tahun kebelakangan ini.

Penduduk mengalami gangguan bekalan air sehingga 7 hari dan ada kalanya sehingga tiada bekalan air.

Penduduk telah beberapa kali membuat aduan kepada Syarikat Air Johor (SAJ) namun tiada tindakan sehingga kini.

Cadangan daripada penduduk adalah seperti membina tangki air untuk kemudahan penduduk sekitar, menaikkan tekanan paip air dan juga membina “tube well”, namun pelbagai alasan telah diberikan oleh pihak berkenaan.

Tiada usaha-usaha dari pihak Syarikat Air Johor untuk menyalurkan bekalan air menggunakan lori-lori tangki.

Apabila masalah ini dikemukakan kepada pihak SAJ, Pegawai SAJ memberitahu bahawa SAJ sedar tentang isu ini dan sudah menyediakan lori-lori tangki dan kakitangan yang mencukupi semasa musim perayaan namun, tiada aduan yang diterima berhubung isu kekurangan bekalan air di kawasan tersebut.

Pegawai tersebut turut menjelaskan bahawa masalah ini berlaku pada setiap musim Raya di sekitar Mukim Air Hitam. Puncanya adalah kadar kegunaan air yang amat tinggi berbanding musim biasa dan menyebabkan tekanan air tidak tinggi.

Penjelasan yang diberikan jelas menunjukkan pihak SAJ tidak memberikan usaha yang mencukupi untuk mengatasi isu ini walaupun mereka menyedari bahawa isu ini sering berlaku pada setiap musim Raya. Penggunaan lori-lori tangki boleh dipertimbangkan hanya sekadar cara penyelesaian sementara untuk memudahkan urusan seharian penduduk Mukim Air Hitam.

Sebagai sebuah syarikat korporat, SAJ seharusnya menyediakan perkhidmatan bermutu untuk pengguna. Tidak dapat disangkal, SAJ harus membina sebuah tangki simpanan air yang besar di kawasan tersebut sebagai jalan penyelesaian jangka panjang. Walaupun kos pembinaan yang tinggi, pihak SAJ sepatutnya berbelanja demi kepentingan pengguna. Dan pengguna, walau apa jua peningkatan tariff air, pengguna rela membayar juga untuk menikmati bekalan air paip yang sempurna. Namun, apa yang diharapkan oleh pengguna adalah perkhidmatan dan bekalan air yang bermutu dari pihak syarikat.

Persoalan seterusnya adalah walaupun pihak SAJ menyedari akan permasalahan yang dihadapi oleh pengguna di Mukim Air Hitam, namun tidak kelihatan usaha-usaha untuk meringankan atau membantu pengguna di kawasan tersebut. Adalah sangat malang sekali bagi sebuah syarikat korporat yang mengenakan bayaran tariff yang mahal, namun hanya akan bertindak membantu pengguna sekiranya terdapat laporan atau aduan semata-mata walaupun masalah yang dihadapi bertahun-tahun itu di dalam pengetahuan dan kesedaran mereka.

Seharusnya, seiring dengan harga tariff yang mahal, rakyat Johor dapat menikmati kualiti air dan perkhidmatan bertaraf baik daripada Syarikat Air Johor. Sebaliknya, rakyat terus dibebani dengan bayaran bil yang mahal tanpa kualiti perkhidmatan yang berpatutan. Masalah gangguan bekalan air di Mukim Air Hitam saban tahun ini telah membuktikan betapa kualiti perkhidmatan Syarikat air Johor masih mempunyai masalah kritikal.

Bukan sekadar untuk memasak, mandi dan membasuh tetapi bagaimana pula apabila penduduk Mukim Air Hitam yang majoritinya merupakan Muslim ingin mengambil wudhuk sebelum menunaikan solat? Bukankah mereka akan mengalami kesukaran ekoran dari gangguan bekalan air yang berlarutan sehingga seminggu lamanya. Maka, isu gangguan bekalan air di Mukim Air Hitam ini sememangnya menuntut penyelesaian jangka panjang yang komprehensif dari pihak Syarikat Air Johor.

Sehubungan itu, saya memohon kepada Syarikat Air Johor dan juga Kerajaan Negeri Johor untuk segera mengambil langkah-langkah proaktif bagi menyelesaikan masalah ini untuk kemudahan dan juga kemaslahatan penduduk sekitar. Janganlah kita menjadi seumpama lintah yang menghisap darah. Menyedut kantung rakyat dengan tariff yang mahal tetapi kualiti perkhidmatan masih di takuk lama.

Ahli Parlimen Bakri
Er Teck Hwa
08.09.2011

1 comment:

  1. Sebenar masalah tekanan air rendah dah lama berlaku banyak kawasan di Parlimen Bakri.

    ReplyDelete