2012-07-04

Kenyataan Rasmi: DAPSY Johor selesai proses pendigitalan untuk DEIA RAPID secara manual

Badan Bertindak Save Pengerang dan Gabungan NGO Pengerang telah menyemak Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar Terperinci (DEIA) RAPID yang dikeluarkan dua minggu lalu.

Oleh sebab kekurangan dana, Gabungan NGO tersebut perlu mengumpul dana untuk membeli DEIA tersebut daripada konsultan. Saya mewakili Gabungan ini dan bertanggungjawab atas pembelian DEIA tersebut yang telah diserahkan kepada badan bertindak untuk disalin dan didigitalkan.

Seluruh proses menyalin dan pendigitalan memerlukan 12 orang tenaga kerja dan 5 mesin pencetak dan berjaya diselesaikan dalam masa sembilan hari bekerja. Proses ini berjalan siang dan malam berterusan sehingga selesai pada 1 Julai yang lalu.

Kepentingan pendigitalan maklumat

Pada 27 Jun 2012, semasa sesi debat berkenaan Akta (Pindaan) Kualiti Alam Sekitar 2012, saya menyuarakan beberapa ketidakadilan dalam penglibatan orang awam dalam DEIA, iaitu:

1. DEIA hanya dipertonton kepada umum di pejabat-pejabat yang tertentu sahaja, iaitu JAS, balai polis, dewan awam, perpustakaan dan pejabat Penghulu. Orang awam dibenarkan menyemak dokumen tersebut hanya di tempat-tempat yang tersenarai.

Dengan kata lain, orang awam diminta duduk meneliti dokumen tersebut di situ, membaca laporan yang tebal dalam jangka masa yang lama dan memberi komen selepas itu.

DEIA merupakan satu laporan yang menyeluruh dan penuh dengan perincian teknikal. Sebagai contoh, DEIA RAPID mengandungi 3440 muka surat dan dijilidkan dalam lima buku yang berbeza. Sehingga kini, JAS tidak menyediakan EIA atau DEIA dalam

bentuk salinan digital yang boleh dimuat turun. Ini merupakan satu bentuk halangan kepada hak dan kebebasan orang awam untuk mendapatkan maklumat. Polisi hanya membenarkan ringkasan eksekutif laporan ini diletakkan secara online dan ini dikira ketinggalan zaman dalam era digital ini.

Laporan EIA atau DEIA adalah sangat rumit dan tenaga pakar diperlukan untuk memahami dan mentafsirkan isinya. Tidak semua orang dapat memahami perincian teknikal dalam laporan ini. Jika tiada petugas yang dapat membantu orang awam

membaca laporan ini di pejabat-pejabat tersenarai, bagaimana mereka dapat memberi maklumbalas berkenaan laporan tersebut?

3. Masa yang diberi untuk menyemak laporan ini juga tidak mencukupi. Hanya empat minggu diperuntukkan dan masa tersebut terhad kepada waktu pejabat sahaja. Maklumbalas perlu diberikan dalam minggu kelima. Ini bermaksud, orang awam yang

bekerja pada waktu pejabat tidak dapat menyemak laporan ini. Kesimpulannya, tempoh yang diberi terlalu singkat untuk menyemak dan memahami laporan ini dan menyediakan maklumbalas yang bersesuaian.

4. Laporan DEIA terlalu mahal. Harga yang biasa dikenakan adalah RM1,500 dan ia hanya boleh dibeli daripada konsultan yang menyediakan laporan tersebut untuk pengusul projek. Harga ini menghalang ramai orang untuk membelinya, apatah lagi

menyemaknya. Tambahan lagi, seseorang perlu menempah dahulu untuk membeli laporan tersebut. Belian tidak boleh dilakukan secara terus.

Berdasarkan keterangan di atas, dalam Parlimen, saya mencadangkan JAS supaya memuat naik laporan penuh EIA atau DEIA dalam laman web mereka dan membenarkan orang awam memuat turun dokumen tersebut secara percuma. Menteri yang terlibat

menjawab bahawa beliau akan mempertimbangkan cadangan yang diberikan lalu isu ini tidak dibincangkan lagi dalam Dewan.

Pernilaian Umum yang “sulit”

Semasa saya meminta maklumat lanjut daripada DoE mengenai pembelian laporan DEIA RAPID, saya telah diarahkan untuk berhubung dengan syarikat konsultan bernama Integrated Enviotech Sdn. Bhd. Saya telah diminta untuk menurunkan tandatangan ke atas satu dokumen P&R oleh syarikat tersebut untuk membolehkan tempahan dokumen dilakukan. Saya menolak untuk menurunkan tandatangan kerana DEIA merupakan dokumen rasmi untuk tatapan umum dan syarikat tersebut tidak berhak menghalang apa-apa usaha untuk menyebarkan laporan tersebut kepada umum.

Walaupun syarikat konsultan tersebut memiliki hak cipta laporan tersebut, penyediaan laporan tersebut telah dilakukan dengan pengarahan oleh pengusul projek, PETRONAS. PERTRONAS merupakan sebuah syarikat berkaitan kerajaan dan dikira

sebagai hak milik Kerajaan Persekutuan. Maka, syarikat konsultan tersebut tidak boleh meminta sebarang tambahan dana daripada orang awam atau mengenakan sebarang syarat sulit.

DEIA yang diterbitkan untuk muatturun

Saya telah dimaklumkan oleh sumber tidak rasmi bahawa JAS akan mula mengeluarkan DEIA dalam format digital mulai 1 Julai 2012 dan orang awam dibenarkan untuk memuat turun laporan tersebut dari laman web JAS.

Walaupun begitu, JAS masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi sehingga hari ini. Jika sumber tersebut benar, kami sangat mengalu-alukan usaha ini kerana ia benar-benar mencerminkan etika tadbir urus yang baik dan mematuhi semangat keterbukaan dan ketelusan.

Sebelum pengumuman rasmi mengenai EIA yang boleh diperolehi secara percuma online ini, badan bertindak kami membuat keputusan untuk melancarkan salinan digital DEIA RAPID yang lengkap kerana ini penting untuk kemaslahatan orang awam.

Selain itu, kami telah menjemput tenaga-tenaga pakar dari Malaysia, Amerika Syarikat da Taiwan untuk bersama-sama dengan kami dalam mengkaji DEIA RAPID. Tarikh tutup untuk maklumbalas DEIA ini adalah 16 Julai 2012.

**Karangan ini diterjermah oleh Anis Afida Mohd Azli

Er Tek Hwa
Ahli Parlimen Bakri
04.07.2012

No comments:

Post a Comment