2011-05-11

Kenyataan: komen Mengenai Draf Rancangan Pembangunan Daerah Muar

Saya ingin menyorot perhatian masyarakat Muar mengenai Draf Rancangan Tempatan Daerah Muar 2002-2020 yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Johor. Draf Rancangan daerah Muar ini adalah berdasarkan kepada draf rancangan asal yang dikeluarkan pada tahun 2002. Kandungan draf perancangan ini terlalu luas dan ia melibatkan terlalu banyak espek. Sehubungan itu, saya ingin memberikan beberapa cadangan untuk dijadikan perhatian kepada pihak terlibat.

1. Buku Draf Rancangan Pembangunan Daerah Muar

Pihak Majlis Perbandaran Muar (MPM) menyatakan bahawa orang ramai tidak berminat mengenai draf rancangan ini seperti yang dinyatakan di dalam media. Dalam kenyataan saya yang lepas mengenai isu ini, perkara pokok adalah orang ramai tidak berpeluang untuk memperoleh maklumat ini dan orang ramai pula terpaksa membayar kepada pihak MPM untuk sebuah draf rancangan yang masih belum ditetapkan lagi hanya untuk memberikan cadangan mengenainya. Perkara ini adalah sangat tidak adil kepada orang ramai. MPM hendaklah membuka ruang kepada segenap lapisan masyarakat untuk menganalisis atau memberi pendapat mengenai kandungan draf tersebut. Saya juga telah menerima banyak aduan daripada orang ramai dan MPM seharusnya menunjukkan keikhlasannya berhubung perkara ini.

Draf Rancangan Tempatan ini dikeluarkan melalui dua jilid. Jilid pertama mengandungi ringkasan mengenai keadaan semasa di daerah Muar manakala Jilid kedua mengandungi butiran terperinci mengenai draf rancangan tersebut. Apabila orang ramai membeli buku Draf Rancangan Tempatan ini, MPM hanya membekalkan mereka dengan Jilid Pertama sahaja. MPM menyatakan Jilid Kedua adalah untuk kegunaan dan juga rujukan Pegawai sahaja. Saya sangat keliru apabila MPM mengatakan orang ramai tidak berminat mengenai draf rancangan ini tetapi dalam masa yang sama mereka tidak memberikan peluang kepada orang ramai untuk mendapatkannya. Ini melibatkan kepentingan orang ramai dan ia seharusnya dipermudahkan untuk memperoleh maklumat berkaitan.

Saya telahpun memuatnaik Jilid Pertama ke internet dan orang ramai boleh memuat turun kandungan draf rancangan ini untuk menjadi rujukan kepada mereka. Saya menyeru agar pihak MPM untuk turut melakukan langkah seperti ini. Maklumat berkaitan orang ramai perlu dibuka dan diberi peluang untuk mereka mendapatkannya dengan mudah. Hal ini merupakan hak asasi setiap rakyat untuk mengetahui apa jua perancangan pihak berkuasa tempatan dan ia juga melibatkan kepentingan mereka secara langsung atau tidak.

LINK untuk muat turun disini:http://mp-bakri.blogspot.com/2011/05/draf-rancangan-tempatan-daerah-muar.html

2. Pengangkutan dan Pengurusan Lalu Lintas

Dalam Jilid Pertama, Perkara 6.2.7 mencadangkan pembinaan jalan raya empat lorong di kawasan Muar - Parit Jawa – Batu Pahat dan Muar – Bukit Pasir – Pagoh – Bukit Kepong. Saya menyambut baik dengan cadangan ini. Pembangunan daerah Muar adalah sangat bergantung kepada sistem pengangkutan dan pengurusan lalu lintas yang mana pada ketika ini kelihatan sangat sesak. Terutamanya di kawasan – kawasan tersebut diatas dan juga di kawasan Muar – Tangkak. Untuk menjadikan daerah Muar sebagai sebuah hub industri, maka kita seharusnya mengambil perhatian penuh terhadap factor logistik yang melibatkan pengangkutan barangan dan juga manusia. Pembinaan jalan raya empat lorong ini akan melancarkan keadaan trafik dan pada masa yang sama akan turut membantu mengurangkan kadar kemalangan.

3. Pembangunan Industri

Draf Rancangan ini turut melibatkan kawasan di dalam Parlimen Bakri apabila 2 kawasan perindustrian iaitu Kawasan Perindustrian Jeram dan Muar Integrated Furniture Town termasuk di dalam draf tersebut. Walaupun kedua – dua projek ini telah wujud semenjak dari draf rancangan ini disediakan iaitu pada tahun 2002 namun, perkembangannya adalah sangat perlahan dan tidak memuaskan.

Kawasan Perindustrian Jeram merupakan sebuah kawasan yang baru dibuka dengan keluasan hampir 198 ekar dan fokus utama adalah untuk industri campuran dan perabot. Menurut pemerhatian saya, pelabur kurang berminat dengan kawasan ini. Hal ini terjadi kerana beberapa factor antaranya kurangnya bantuan kewangan dari pihak Kerajaan dan kos operasi yang terlibat untuk proses pemindahan kilang.

Untuk membuka kilang di sesuatu kawasan, perkara utama yang menjadi perhatian pelabur adalah kemudahan untuk mendapatkan bahan – bahan asas keperluan kilang mereka dengan mudah. Namun, di kawasan ini, pertumbuhan industri – industri yang berkaitan adalah sangat minimal. Contohnya bagi pelabur kilang perabot, mereka akan membina sebuah kilang di kawasan yang turut mempunyai kilang cat untuk memudahkan mereka mendapatkan bahan – bahan cat tanpa perlu mencari atau menempah dari tempat lain yang seterusnya akan melambatkan produktiviti mereka. Perkara ini seharusnya menjadi perhatian pihak MPM kerana ini adalah satu faktor penting yang akan membantutkan kedatangan pelabur – pelabur ke kawasan perindustrian ini.

4. Pembangunan Tanah

Daerah Muar Selatan sehingga ke Bukit Mor adalah merupakan kawasan tanah rata atau lebih rendah dari paras laut. Oleh itu, pembangunan tanah di kawasan ini mestilah mengambil perhatian soal pengurusan sistem pengairan dan longkang. Banyak kawasan telah ditukarkan daripada kawasan tanah pertanian kepada tanah kediaman. Semua kawasan ini adalah terdiri daripada tanah paya gambut dan fungsi utama tanah gambut ini adalah sebagai penyerap air.

Sekiranya tanah pertanian ini dijadikan kawasan perumahan, bangunan dan jalanraya yang dibina telah menganggu struktur tanah gambut sebagai penyerap air dan kawasan penyerapan air turut berkurangan. Hal ini adalah kerana sebelum membina kawasan perumahan, kebiasaannya kawasan–kawasan ini akan ditambak menjadi lebih tinggi. Apabila hujan, air akan mengalir ke kawasan yang rendah dan kawasan pertanian dan menyebabkan terjadi banjir.

Pihak Berkuasa Tempatan seharusnya mengambil perhatian terhadap perkara seumpama ini dan juga mengenai bangunan–bangunan yang telah lama dibina yang akan “tenggelam” atau menjadi semakin rendah berbanding dengan kawasan – kawasan baru diteroka dan ditambak.

5. Perlindungan Alam Semulajadi

Pada 6 Mac 2011, saya telah mengeluarkan satu kenyataan mengenai Kegiatan Perlombongan di Hutan Simpanan Kekal Air Hitam Utara. Saya telah mengutarakan pertanyaan kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berhubung perkara ini dan jawapan yang telah diberikan oleh pihak Kementerian adalah kawasan ini telah diwartakan sebagai kawasan perlombongan. Saya turut telah meminta satu salinan PEIA (Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling) namun sehingga kini saya masih belum menerimanya.

Mengenai Draf Rancangan ini, tiada disebut dengan teliti mengenai perlindungan alam sekitar di kawasan perlombongan tersebut. Saya merasa sangat berdukacita kerana ini. Di dalam draf rancangan tersebut tidak dinyatakan sebarang rancangan bagaimana untuk memulihara kawasan itu daripada kerosakan yang disebabkan oleh aktiviti perlombongan.

Selain itu, hutan pokok bakau yang terletak di sepanjang kawasan persisiran pantai juga merupakan satu isu yang harus diambil perhatian oleh orang ramai. Walaupun di dalam draf rancangan tempatan ada menyatakan bahawa kawasan persisiran pantai dijadikan kawasan rezab pengawalan hakisan dan banjir namun adakah Pihak Berkuasa akan memastikan pokok bakau tidak terjejas?

6. Kawasan Perlupusan Sampah Bukit Bakri

Draf Rancangan Tempatan Daerah Muar tidak menyatakan langsung mengenai rancangan pemulihan di Pusat Pelupusan Sampah tersebut selepas ditutup. Perkara ini sangat mengecewakan. Seperti yang diketahui ramai, Pusat Pelupusan Sampah ini akan ditutup pada bila – bila masa sahaja. Maka, adalah merupakan satu tragedi apabila rancangan pemulihan kawasan ini tidak termasuk di dalam Draf Rancangan Pembangunan Daerah Muar 2002-2020. Sebaik sahaja ia ditutup nanti, program pemulihan merupakan satu tindakan genting yang sangat penting dan perlu disegerakan untuk pembangunan masa depan Bukit Bakri. Saya menyeru agar Pihak Berkuasa untuk turut menyertakan rancangan pemulihan kawasan ini di dalam Draf Rancangan tersebut.

Ahli Parlimen Bakri
YB ER TECK HWA
11hb Mei 2011

1 comment:

  1. Macam mana tentang pembangunan serta perkembangan sektor pelancongan dan sektor membeli-belah atau "retail"??? Seri Manjung pun sudah ada AEON. Kesimpulannya, sudah 56 tahun merdeka, setiap hari cuti am, setiap hari minggu, setiap cuti sekolah dari minggu ke minggu, bulan ke bulan, tahun ke tahun, sudah entahlah berapa ramai warga Muar berbelanja, terhibur dan beriadah di Melaka, alangkah lebih baik jikalau duit wang ringgit itu boleh memanfaatkan peniaga-peniaga, perniagaan-perniagaan dan warga-warga Muar sendiri seperti apa yang berlaku di Batu Pahat dan Kluang??? Sudah 56 tahun kenapa kerajaan persekutuan tidak panggil orang Melaka juga beriadah, berhibur dan berbelanjadi Muar serta memanfaatkan orang serta warga Muar??? Kenapa "MANFAAT" ini kena SEHALA SAHAJA??? ADIL dan SAKSAMA tak???

    ReplyDelete