BERNAMA 15.06.2011
KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom Rabu menafikan sebuah laporan portal berita mengenai 135 kes permohonan murtad diluluskan bagi tempoh 2000 hingga 2010.
Beliau menegaskan bahawa sehingga kini belum ada satu pun kes murtad yang diluluskan oleh Mahkamah Syariah.
Jamil Khir menjelaskan 135 kes itu dipohon di bawah murtad tetapi setelah diteliti oleh Mahkamah Syariah mereka didapati tidak sah masuk Islam, sekaligus tidak timbul soal (mereka) murtad.
"Timbul kekeliruan di sini, contohnya seseorang itu memohon untuk kedudukannya sebagai Islam, tetapi kemudian mahu kembali ke agama asalnya, setelah disiasat, mahkamah mendapati dia bukan Islam, jadi tidak timbul soal murtad.
"Sama juga untuk pasangan berkahwin yang hendak daftar untuk perceraian, tetapi mahkamah mendapati mereka berkahwin secara tidak sah di Thailand kerana tiada saksi dan wali, jadi tidak timbul soal perceraian," katanya kepada Bernama Rabu.
Portal berita Malaysiakini semalam melaporkan bahawa jumlah permohonan untuk murtad adalah 686 manakala permohonan yang diluluskan adalah 135 orang.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment